Siri Faham Islam - Siri 304 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja



*Siri Faham Islam - Siri 304 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman VS Ilmu Pengetahuan*

_Kecelaruan Dalam Peranan Iman Dan Ilmu._

Sebahagian manusia beranggapan bahawa cukup sekadar dengan ilmu maka iman tidak berguna lagi. Manusia tidak lagi memerlukan agama apabila kemajuan dan teknologi itu seolahnya mampu mencapai segalanya. Keilmuan manusia yang terlalu hebat dikatakan sehingga mampu mencipta dirinya sendiri. Ini dianggap sebagai kemuncak kemajuan apabila manusia mampu untuk mencipta manusia lain tanpa melalui proses biologi. 

Untuk itu kesombongan manusia itu sudah mencapai tahap tertinggi. Mereka sudah menganggap diri mereka setaraf dengan tuhan. Dengan itu tuhan tidak lagi diperlukan di dalam hidup mereka. Itu pemikiran sebahagian manusia. Mereka mengatakan bahawa agama menyekat kebebasan manusia. Dan seharusnya manusia sepatutnya bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki kerana kebebasan itu adalah milik manusia. Mereka mengatakan terdapat beberapa keuntungan apabila manusia dilepaskan daripada cengkaman agama. 

Pertamanya, golongan ini menganggap pegangan akidah dan agama itu menyebabkan kebodohan kepada orang-orang berilmu dan terpelajar. Ini kerana mempercayai Tuhan dan perkara yang ghaib dan tidak dapat dilihat itu tidak boleh dibuktikan dengan dalil yang nyata serta eksperimen yang boleh dilakukan. Oleh yang demikian pembuktian secara ilmiah dan saintifik tidak boleh menjelaskan tentang kewujudan tuhan dan perkara ghaib. Hal ini dianggap sebagai kebodohan oleh mereka kerana agama dipegang juga oleh golongan yang berilmu dan terpelajar. 

Kedua, dengan mempercayai Tuhan dan nabi-nya serta segala risalah bawaannya merupakan satu belenggu dan cengkaman terhadap kebebasan manusia. Manusia seharusnya dibebaskan dari sebarang bentuk cengkaman, seperti garis halal dan haram yang mana sepatutnya segala keseronokkan dunia itu harus dinikmati oleh semua manusia. Adalah suatu yang membataskan serta menyekat kemerdekaan jiwa dan diri manusia apabila terdapatnya perkara-perkara yang tidak dibolehkan oleh agama. Hanya dengan melepaskan diri manusia daripada agama, mampu membawa manusia kepada kebebasan yang bakal menjurus kepada ketinggian keilmuan.

Ketiga, agama ini dianggap sebagai memusuhi kehidupan keduniaan. agama dianggap sebagai meremehkan urusan dunia serta mengajak manusia kepada pengibadatan sahaja. Dan ibadah itu semestinya hanya merujuk kepada urusan-urusan pada hari kebangkitan. Pada mereka urusan dunia dan akhirat itu sepertinya dua perempuan yang dimadukan. Dimana jika dilebihkan salah satu daripadanya maka yang satu lagi itu akan cemburu dan berasa iri hati. Sedangkan dalam pemahaman yang benar, agama bukanlah cenderung kepada salah satu bahagian tersebut, akan tetapi mengajak kepada pengimbangan di antara kehidupan di dunia dan di akhirat. Bahkan disuruh juga mengejar keduniaan itu untuk mendapat keuntungan akhirat. 

Ini antara tuduhan yang diberikan kepada golongan beragama. Ianya mendapat sambutan yang luas terutamanya di barat yang hanya berpegang kepada logik akal tanpa ada merujuk kepada kefahaman wahyu. Kami akan mengupas dan menjelaskan tentang kekeliruan pemikiran dan tuduhan ini. Dengan demikian ini dapat menjadi suatu penjelasan dan bukti yang kuat bagi orang-orang yang mahu menggunakan akal mereka. 

Ust Abdul Halim Ismail
8 Ogos 2020
18 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments