Siri Faham Islam - Siri 64 : Asas Ketujuh ; Keperluan Bertaqlid Dalam Mazhab dan Tuntutan Ijtihad Sekadar Mampu.

Keperluan Bertaqlid Kepada Mazhab

Syariat Islam telah melalui proses yang panjang sejak kewafatan baginda Nabi lebih kurang satu ribu empat ratus tahun yang lepas. Ilmu-ilmu syariat berkembang dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan umat Islam yang meniti arus pembangunan dan kemodenan dan melalui pelbagai sejarah dan peristiwa. Justeru sudah tentunya ia menuntut ijtihad dan pendapat yang lebih semasa dan disesuaikan dengan adat dan kefahaman setempat.

Dalam 3 kurun pertama pasca kewafatan Nabi, telah muncul 4 mazhab fiqh yang agung dan terkenal serta masih diguna pakai pendapat mereka ini dalam fiqh sehingga ke hari ini. Kewujudan 4 orang imam mazhab ini iaitu Maliki, Syafie, Hanafi dan Hambali ini menyebabkan perkembangan fiqh tertumpu hanya berkisar kepada kaedah dan pendapat yang dikeluarkan oleh 4 mazhab fiqh ini sahaja. Maka tidak hairanlah mereka ini diikuti oleh ramai pengikut seluruh dunia dan boleh dikatakan umat Islam pada hari ini bertaqlid kepada pendapat 4 mazhab ini.

Sememangnya keperluan bertaqlid ini sangat perlu kerana kita mungkin tidak mampu untuk mengeluarkan ijtihad berdasarkan Nas daripada Al-Quran dan Sunnah yang menjadi rujukan utama kepada agama ini. Ini kerana dalam berijtihad ianya memerlukan beberapa ilmu khusus yang melengkapi disiplin ilmu untuk mengeluarkan hukum seperti ilmu usul fiqh, kaedah fiqh, ilmu tafsir dan juga beberapa ilmu hadis yang lain untuk menghuraikan nas-nas yang datangnya daripada Al-Quran dan Sunnah. 

Pada asalnya kita memang diperintahkan untuk mengikuti Al-Quran dan Sunnah namun apabila kita tidak punya kemampuan kita boleh mengikut imam daripada mana-mana mazhab yang kita yakin berada di atas kebenaran. Oleh yang demikian adalah lebih baik di kalangan orang awam yang tidak menguasai ilmu-ilmu tersebut untuk sekadar bertaklid mengikuti mazhab-mazhab yang sedia ada dalam beramal dalam fiqh.

Dalam pada itu kita juga dituntut untuk menuntut ilmu supaya kita juga boleh berijtihad dalam kadaran kemampuan kita sendiri untuk menyelesaikan permasalahan permasalahan feqah yang timbul dalam kehidupan seharian kita. Ini kerana hukum fekah adalah sesuatu yang fleksibel dan juga ianya boleh berubah mengikut tempat dan juga situasi semasa. Namun begitu bukan sekadar semudahnya untuk kita berijtihad kerana keperluan terhadap ilmu-ilmu tertentu yang telah kami sebutkan sebelum ini. Ini adalah penting kerana bukan suatu yang mudah untuk berijtihad bagi menjaga ketulusan ilmu agama ini dan juga menjaga disiplin ilmu dalam mengeluarkan sesuatu hukum. 

Antara isu yang timbul dalam mana kita bertaklid kepada mana-mana mazhab adalah ketaksuban yang melampau terhadap sesuatu mazhab yang diikuti. Sedangkan dalam etika dan adab bermazhab itu kita harus berlapang dada dalam menerima pendapat-pendapat lain yang mungkin lebih tepat berbanding dengan mazhab anutan kita. Ini adalah satu sikap yang tidak benar di dalam kita mengikuti sesuatu mazhab kerana pengasas mazhab itu sendiri contohnya imam as Syafi'i juga merupakan anak murid kepada imam Maliki yang merupakan pengasas mazhab yang lain. Sekiranya Imam Syafi'e kekal dengan pendapat gurunya Imam Malik maka tidak akan munculnya mazhab as-syafi'e yang kita anuti pada hari ini di Malaysia.

Secara kesimpulannya kita boleh bertaklid kepada mana-mana pendapat atau mazhab akan tetapi kita tidak perlu terlalu taksub kepada mazhab ataupun pendapat yang kita ikuti pada hari ini. Dalam pada masa yang sama juga kita juga dituntut untuk menuntut ilmu agar kita juga boleh berijtihad dalam lingkungan permasalahan fiqh yang kecil supaya tidak terlalu terkongkong dengan pendapat mazhab tertentu yang mungkin tidak berapa sesuai dengan keadaan dan situasi semasa yang dihadapi pada masa kini.

Ust Abdul Halim Ismail
15 Oktober 2019
16 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments