Siri Faham Islam - Siri 58 : Asas Keempat ; Kemungkaran Yang Wajib Diperangi ; Tangkal & azimat adalah khurafat yang menghampiri syirik.

Tangkal & Azimat khurafat ke arah kesyirikan



Walaupun dalam era moden dengan zaman yang semakin canggih, keterlibatan manusia terhadap tangkal dan azimat masih lagi menebal di kalangan masyarakat Islam pada hari ini. Suatu masa dulu, tangkal dan azimat dibuat dengan menggunakan kain dan benang, diikatkan di mana-mana bahagian tangan, atau dipakaikan di leher sebagai kalung. Kononnya tangkal dan azimat ini mampu memberi manfaat tertentu seperti menjaga keselamatan kepada si pemakai. Tidak kurang juga sebagai penaik seri wajah atau sebagai pemangkin memudahkan untuk cepat mendapat jodoh atau memurahkan rezeki.

Kesemua ini adalah suatu karut marut yang diada-adakan manusia dan ianya adalah permainan jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia daripada menjalani kehidupan dengan akidah yang benar. Sesungguhnya tidak akan sesuatu itu memberi manfaat atau mudharat melainkan dengan izin Allah. Adakah kita sebagai manusia yang diberikan akal yang waras, otak yang cerdik dan pemikiran yang panjang mempercayai suatu lembaran benang atau secebis kain yang dijadikan tangkal boleh mengubah hidup manusia? Sedangkan manusia itu sendiri mempuyai kudrat dan tenaga yang mampu mengubah dunia menjadi tempat tinggal yang lebih baik untuk manusia.

Nabi melarang keras perbuatan menggunakan tangkal dan azimat ini seperti yang dinukilkan di dalam hadis ini:


عَنْ عَبَّادِ بْنِ تَمِيمٍ أَنَّ أَبَا بَشِيرٍ الْأَنْصَارِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَخْبَرَهُ أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ ، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ : حَسِبْتُ أَنَّهُ ، قَالَ : وَالنَّاسُ فِي مَبِيتِهِمْ ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا " أَنْ لَا يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلَّا قُطِعَتْ " .

Daripada Abu Basyir al-Ansori radiallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa beliau pernah bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebahagian musafir baginda. -Abdullah (perawi hadis) berkata: Aku rasa Abu Basyir ada berkata: orang ramai ketika itu berada di tempat tidur mereka-. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menghantar utusan untuk memastikan tiada sebarang kalung di leher unta melainkan ia mesti dipotong.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad, hadis no: 2799]

Walaupun tiada dalil secara umum untuk melarang penggunaan tangkal dan azimat tertentu,  akan tetapi hadis-hadis umum seperti ini sudah cukup untuk kita fahami bahawa penggunaan tangkal dan azimat ini adalah suatu yang dilarang, hampir kepada khurafat, membawa kepada kesyirikan dan ianya juga membodohkan akal kerana mempercayai sesuatu yang manusia sendiri perbuat untuk melindungi dirinya atau mendatangkan manfaat tertentu.

Pada hari ini, aplikasi tangkal telah berevolusi. Ianya tidak lagi menggunakan cebisan kain atau benang akan tetapi ianya pula diagamakan dengan mengaitkan kepada perkara tertentu. Kami pernah ditawarkan oleh seorang yang membawa sebahagian dari kain kiswah kaabah yang mempunyai ayat Al-Quran tertentu untuk dijual kepada kami dengan harga belasan ribu. Orang itu menawarkan dengan menyimpan kiswah kaabah di rumah boleh memudahkan rezeki masuk ke rumah. Ada pula yang menjual lukisan bentuk capal nabi yang dikatakan boleh membawa keberkatan kepada tuan rumah jika disimpan dan digantung di dalam rumah. Ini semuanya adalah bentuk baru tangkal dan azimat yang telah berevolusi dan lebih malang ianya dikaitkan dengan rasullullah dan juga dianggap sebagai perkara agama.

Maka berhati-hatilah dengan golongan yang mengagamakan sesuatu yang karut marut yang tidak ketahuan punca asalnya dari mana amalan tersebut. Semoga Allah lindungi umat ini dari amalan-amalan yang mempunyai unsur khurafat dan menjauhkan kita dari kesyirikan kerana tipu daya mereka yang mencari keuntungan dunia dengan menunggang agama.

Ust Abdul Halim Ismail
7 Oktober 2019
8 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.
_Untuk mengikuti siri penulisan ini setiap hari, sila Whatsapp ke nombor_ 0196733014

_Terima kasih atas sokongan anda._







Post a Comment

0 Comments