Siri Faham Islam - Siri 303 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja



*Siri Faham Islam - Siri 303 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*

_Tawakkal Dan Penyerahan Kepada Tuhan._

Tawakkal itu berserah. Berserah kepada tuhan dalam keadaan kita telah mengusahakan sesuatu dengan sehabis baik. Tawakkal itu tidak bermaksud kita menyerahkan kepada tuhan dengan sebulatnya tanpa ada sebarang usaha yang mencukupi untuk mendapatkan sesuatu yang kita harapkan atau yang diusahakan. Tawakkal yang sebegitu adalah salah dan tidak menepati pemahaman sebenar maksud tawakkal yang dibawakan oleh nabi.

Umar Al-Khattab ketika mengusir beberapa orang yang tidak bekerja dan hanya duduk di masjid mengatakan "Langit tidak pernah menurunkan hujan emas atau perak." Beliau memaksudkan bahawa tidak ada keajaiban yang bakal berlaku di atas dunia ini. Semuanya dan segalanya adalah kerana sunnatullah iaitu hukum tuhan yang telah ditetapkan dalam perjalanan peraturan alam ini.  Tidak kan ada sesuatu itu datang dengan sendirinya. Semuanya adalah kerana usaha. Kalau mahu kaya, kita berusaha bekerja atau berniaga . Kalau mahu pandai dan alim, perlu ada usaha belajar bersungguh-sungguh. Kalau mahu kuat perlu kepada bersukan atau bersenam bagi membina otot dan tulang. Tidak ada sesuatu itu datang dengan sendiri. Orang yang nak jadi kuat tidak berjumpa dengan mana-mana bomoh untuk meminum air tangkal supaya jadi kuat.

Maka begitu juga lain-lain perkara yang berjalan atas hukum alam di dunia ini. Tiada jalan pintas yang mudah bagi mecapai satu kehebatan lebih tinggi dari orang lain, melainkan dengan usaha yang jitu daripada orang itu sendiri. Suatu usaha itu adalah daripada diri kita sendiri manakala hasil dan keputusannya itu adalah dari tuhan. Apabila kita telah berusaha dengan sedayanya akan sesuatu, maka hendaklah kita menyerahkannya kepada tuhan yang maha kuasa dan berkehendak. Itulah yang sebenarnya dimaksudkan dengan tawakkal.

Golongan yang malas berusaha selalu menyalagunakan suatu hadis nabi sebagai sandaran hujah mereka untuk tidak keluar bekerja dan berusaha.  Hadis tersebut ialah "Kalau kamu tawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya tuhan akan memberi rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepda burung, keluar di waktu pagi hari dengan perut yang kosong, dan kembalinya di waktu petang dengan perut kenyang." Golongan ini menganggap bahawa sesuatu yang telah ditentukan kepada seseorang maka tidak akan lari ke mana jika telah ditaqdirkan. Sedangkan jika dilhat secara dekat hadis tersebut, burung yang keluar itupun adalah berusaha dalam mencari makanan. Maka sudah tentulah diberikan rezeki oleh tuhan kerana hukum alam memang sememangnya berjalan begitu.

Maka tanggapan bahawa, tawakkal ini adalah semata-mata penyerahan kepada tuhan dan tuhan bakal memberikan sesuatu itu berdasarkan ketetapan yang telah tertulis, maka itu adalah menyalahi dari konsep hukum alam yang sebenar. Mana mungkin tuhan sendiri memungkiri hukum yang telah dia ciptakan sendiri, maka itu sudah menunjukkan seperti tuhan itu seolahnya berdusta kepada hambanya. Apa yang kita harus faham adalah, kemahuan dan kesungguhan kita berusaha dalam melakukan sesuatu itu adalah sangat penting dalam menjamin kejayaan kita. Tidak kira kejayaan dunia atau akhirat.

Tidak akan berlaku dengan mudah dan senang akan sesuatu melainkan ada sebab dan musabab serta punca dan akibat. Segalanya adalah megikut sunnatullah iaitu ketetapan tuhan yang ditetapkan kepada alam ini. Apabila kita berusaha dengan betul, maka tuhan akan memberikan kita balasan dan hasil sebaiknya selaras dengan apa yang kita usahakan. Jika ianya tidak berlaku dengan sedemikian, maka itu adalah suatu yang di dalam lingkungan kehendak tuhan.

Ust Abdul Halim Ismail
7 Ogos 2020
17 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments