Siri Faham Islam - Siri 302 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja



*Siri Faham Islam - Siri 302 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*

_Mempercayai Akhirat Bukan Bermaksud Meninggalkan Urusan Dunia._

Agama Islam ini bukanlah agama yang mengajak manusia meninggalkan urusan dunia kerana menumpukan kepada akhirat, bahkan sebenarnya ianya menuntut kepada kedua-dua bahagian kehidupan tersebut. Walaupun pada hakikat nya hari akhirat itu seharusnya dipentingkan dan diberi keutamaan, namun usaha di dunia itu bukanlah suatu yang sia-sia melainkan hanyalah untuk menjadi sebahagian daripada amalan yang diusahakan untuk hari akhirat. 

Atas dasar itu maka tidak timbul bahawa kita meninggalkan urusan dunia kerana menumpukan soal akhirat. Kita dituntut juga mengusahakan dunia dan meletakkan tujuannya untuk kepentingan akhirat. Agama ini menuntut kita supaya melaksanakan setiap urusan dengan bersungguh-sungguh. Kita berjuang membangun dan mengusahakan kemakmuran adalah untuk menjadikan dunia ini makmur dan dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Tetapi pada niatnya bukan sekadar kepentingan dunia, melainkan usahanya itu untuk mendapat ganjaran pada hari akhirat. 

Pendek kata orang yang beriman itu menggunakan dunia ini sebagai ladang untuk dituai pada hari akhirat. Orang yang beriman itu tahu bahawa usahanya di dunia itu tidak boleh dipetik semua dan diraih pada ketika ini. Sebahagiannya akan disimpan dan diberikan oleh Tuhan selepas hari kebangkitan nanti. Oleh yang demikian dia tetap melakukan sesuatu usaha dunia itu dengan bersungguh-sungguh. Walaupun mungkin ganjaran dunianya itu sedikit atau upah yang tidak tinggi, akan tetapi ganjaran pahala untuk hari akhirat itu adalah lebih berharga dan bermakna buat dirinya. Maka itu sudah memadai. 

Para sahabat disekeliling menjadi nabi merupakan orang yang pelbagai latar belakang. Mereka terdiri daripada kaum tani, saudagar, ahli pertukangan dan sebagainya. Apabila datangnya Islam kepada mereka dan agama mengajarkan kepada mereka tentang hari akhirat. Maka baginda nabi tidak menyuruh mereka meninggalkan pekerjaan yang dilakukan pada ketika itu. Bahkan mereka terus-menerus melakukan pekerjaan tersebut dengan lebih bersemangat kerana dorongan Iman yang menjanjikan sesuatu yang lebih baik di atas usaha walaupun dalam urusan dunia.

Sabda baginda Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wasallam,

"Ketika kiamat terjadi sedang di tangan seorang kamu masih ada sebuah anak tamar maka kalau dia boleh menanamnya hendaklah ditanamnya juga."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Imam Ahmad)

Suatu yang jelas di sini bahawa nabi menekankan kalaupun sedang hendak berlaku kiamat suatu urusan dunia itu hendaklah diselesaikan, apatah lagi jika kita masih belum tahu apa-apa bila datangnya kiamat itu. Oleh yang demikian segala usaha terhadap dunia dan memakmurkannya hendaklah sentiasa diusahakan dengan bersungguh-sungguh seolahnya kita tidak akan mati pada esok hari. Cuma urusan dunia itu hendaklah diniatkan untuk mendapat ganjaran di akhirat. Selagi mana ianya suatu yang baik, tidak diharamkan oleh syariat apatah lagi ianya memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain, maka usaha dunia itu adalah suatu yang dianggap mulia dan mempunyai ganjaran yang tinggi di sisi tuhan.

Ust Abdul Halim Ismail
6 Ogos 2020
16 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments