Siri Faham Islam - Siri 301 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Mencetuskan Pembaharuan



*Siri Faham Islam - Siri 301 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*

_Memakmurkan Bumi Dengan Usaha Keduniaan._

Antara kesilapan dalam memahami agama adalah dengan menganggap bahawa orang-orang yang kuat berpegang kepada agama itu hanya duduk dan beribadah sepanjang hari atau sepanjang hidupnya. Kehidupan dunianya pula dia bergantung kepada orang yang lain dengan meminta-minta supaya dia dapat meneruskan hidup. Orang yang sebegini adalah orang yang kononnya suci serta boleh menyucikan orang lain yang bergelumang berbuat dosa apabila berjumpa dengan orang-orang suci ini kononnya.

Namun dalam tradisi Islam bukanlah begitu. Walaupun kaedah sebegitu begitu subur dalam agama-agama samawi yang lain, namun kedatangan Muhammad S.A.W. telah merubah segalanya terhadapa amalan dan praktis agama sedemikian rupa.  Ianya bakal memperlihatkan yang ahli agama itu adalah lekeh dan seolahnya seperti pengemis yang meminta-minta.  Perbuatan sedemikian hanya merugikan sumber manusia yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang hebat dan boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Di dalam agama ini, orang yang beriman itu adalah mereka yang bersusah payah, mereka itu bekerja sepertimana orang lain berusha dan bekerja, mereka juga menunaikan kewajipan terhadap anak dan isteri serta keluarga yang lain dengan mencari nafkah untuk mereka. Dan semua itu dilakukan adalah kerana ianya juga sebahagian daripada tuntutan agama kepada manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Tuntutan terhadap manusia itu ada dua, pertamanya pengibadatan kepada tuhan secara khusus seperti solat, puasa dan lain-lain ibadah. Keduanya pula tuntutan terhadap manusia adalah memakmurkan dunia ini supaya bumi ini menjadi tempat tinggal yang lebih baik untuk manusia.

Dalam agama ini, tidak ada satu hari pun yang dikhususkan untuk melakukan ibadah sahaja dari pagi ke malam. Ianya menuntut kita mengimbangi kehidupan keduniaan dan juga peruntukan masa untuk tuhan. Di dalam Islam, setiap hari adalah hari yang boleh bekerja untuk urusan keduniaan. Walaupun ada tuntutan meninggalkan sementara perniagaan pada hari Jumaat misalnya, ianya tidak menutup terus pintu dan ruang mencari rezeki seseorang hanya kerana untuk mengkhususkan kepada ibadah. Oleh itu sangat jeleklah mereka yang hanya mengabdikan diri kononnya dengan duduk di masjid atau tikar sejadah dengan mengatakan mereka mentaati dan mengibadati tuhan pada sepanjang masa. Bahkan meinggalkan urusan keduniaan itu adalah lebih engkar kepada tuhan kerana telah meninggalkan perintah dan tuntutannya.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلٰوةُ فَانْتَشِرُوا فِى الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

(Surah Al-Jumu'ah 62: Ayat 10)

Sayyidina Umar pernah melihat sekumpulan orang yang duduk di sudut masjid sesudah solat Jumaat. Lalu beliau bertanyakan kepada mereka itu siapakah mereka. Lalu mereka menjawab, "Kami adalah orang yang bertawakkal kepada Allah." Umar kemudiannya mengusir mereka dengan cemetinya dengan berkata, "Janganlah kamu berhenti mencari rezeki dengan berdoa kepada tuhan 'Ya Allah berilah kami rezeki,' sedangkan dia mengetahui bahawa langit belum pernah menurunkan hujan emas atau perak."

Begitulah tuntutan agama ini terhadap urusan mencari rezeki. Betapa manusia ini perlu menyeimbangkan di antara urusan keduniaan dan urusan ibadat agar tidak melebihi di antara satu dengan yang lain. Kesederhanaan inilah yang menyebabkan agama ini sangat sesuai dengan fitrah manusia yang tidak melampau dan mencintai kehidupan di dunia untuk dituai hasil di hari akhirat nanti.

Ust Abdul Halim Ismail
5 Ogos 2020
15 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.



Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments