*Siri Faham Islam - Siri 300 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*
_Ibadah Tidak Menjejaskan Produktiviti & Keberhasilan Pekerjaan._
Ada sesetengah yang berpendapat bahawa, orang yang kuat pegangan agamanya bakal menjejaskan keberhasilan usahanya terhadap urusan dunia sama ada dia bekerja dengan majikan atau dia itu seorang yang bekerja sendiri atau berniaga. Pada hemat mereka, pengibadatan itu memerlukan masa yang banyak dan mengganggu pekerjaan. Kewajipan-kewajipan yang telah ditentukan agama itu seperti solat contohnya memerlukan masa yang banyak untuk diberi perhatian. Lalu ia dianggap sebagai suatu perbuatan yang menjadi beban ke atas manusia.
Manusia dianggap sebagai ketinggalan zaman hanya kerana melaksanakan solat 5 waktu yang akhirnya dikatakan solat 5 waktu itu boleh bakal menjejaskan keberhasilan terhadap usaha-usaha yang telah dilakukan. Jika dilihat pada satu segi, dalam kebanyakan agama ibadat adalah sesuatu yang menuntut kepada masa. Akan tetapi di dalam agama ini, ibadat yang dituntut adalah sangat sedikit. Seseorang muslim itu hanya dituntut untuk melakukan ibadah yang wajib sahaja dan tidak dituntut untuk melakukan yang tambahan melainkan mereka yang ada peluang dan ruang masa.
Suatu yang harus kita faham bahawa ibadat yang dilaksanakan itu bukanlah terbuang masa dengan sia-sia. Ibadah itu pada hakikatnya menghubungkan hati dengan tuhan yang mencipta manusia. Ianya mampu membina kekuatan jiwa dan kekentalan hati dalam berusaha di atas dunia. Ia menyebabkan manusia itu semakin bermotivasi dan bersemangat di dalam melaksanakan tugasan hariannya untuk memakmurkan dunia. Ibadah itu menempa kemahuan dan kekuatan yang baru kepada sesiapa yang melaksanakannya.
Menurut agama, solat itu sangat memberi pengaruh dan kesan yang mendalam ke dalam hati manusia. Ianya mengandungi ciri-ciri pendidikan seperti kebersihan, kebudayaan dan latihan budi pekerti yang tinggi semasa melaksanakan ni. Bahkan dalam solat berjemaah, ianya mengajarkan nilai-nilai kepimpinan, semangat hidup bermasyarakat, berkasih sayang sesama manusia serta melatih disiplin yang tinggi dalam pelaksanaan bekerja di dalam kumpulan.
Maka pengibadatan itu bukanlah sesuatu yang merugikan kepada usaha dan pekerjaan dunia. Bahkan ianya memberikan suatu impak yang lebih baik terhadap prestasi dan kekuatan jiwa orang yang bekerja. Akhirnya akan tercetuslah usaha yang tidak berhenti dan tidak mengenal penat dan lelah. Bekerja dengan semangat, dada yang lapang serta keyakinan yang kuat. Manakala mereka yang bangun lewat, tidak mempunyai motivasi yang tinggi serta pergi bekerja di dalam keadaan kusut dan sempit. Sudah tentulah tenaga yang dihasilkan adalah suatu tenaga yang mempunyai unsur kemalasan yang tinggi. Maka amat beruntunglah mereka yang beriman serta konsisten di dalam melakukan amal ibadat. Merekalah yang akan menjadi tonggak dan harapan di kalangan mereka yang bekerja.
Memang benar pekerjaan kita di atas dunia adalah suatu yang bakal menentukan kehidupan akhirat kita. Namun usaha-usaha di dalam memakmurkan dunia ini harus diperkuatkan dengan ibadat kepada Tuhan supaya hubungan manusia dengan Tuhan itu akan terus kukuh dan menunjukkan bahawa betapa perlunya manusia kepada Tuhan.
Ust Abdul Halim Ismail
4 Ogos 2020
14 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.
Ikuti kami di media sosial
0 Comments