Siri Faham Islam - Siri 299 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Mencetuskan Pembaharuan



*Siri Faham Islam - Siri 299 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*

_Menghargai Masa._

Tuhan merakamkan sumpahnya terhadap masa. Apabila tuhan sendiri yang bersumpah, maka kita tahu ianya suatu yang sangat-sangat penting yang hendak disampaikan kepada manusia. Tuhan mengatakan bahawa kebanyakan manusia itu adalah di dalam kerugian apabila tidak memanfaatkan masa kepada perkara kebaikan. Tidak kira sama ada kebaikan itu bersifat bermanfaat untuk manusia itu pada hidupnya di dunia, begitu juga kemanfaatan itu bakal dikecapi di akhirat. Atau juga manfaat itu buka untuk dirinya sendiri, tetapi ia melaksanakan sesuatu pekerjaan itu untuk manfaat orang lain walaupun setelah dia mati.

Orang yang beriman menyedari hakikat masa ini yang bakal pergi takkan kembali. Hari ini yang berlalu tidak akan bakal sama dengan hari esok yang akan menjelma. Walaupun hari dan jam itu bakal berulang dan berpusing kembali kepada nama asal hari itu atau jam itu. Itu tidak bermakna masa itu berulang semula. Kerana itu manusia telah menciptakan kaedah merekod masa secara spesifik. Tarikh, hari, jam, minit dan saat adalah berbeza di antara suatu masa dengan suatu masa yang lain.

Orang yang beriman itu akan memanfaatkan masa dengan cermat. Masa yang dia miliki takkan dibiarkan hilang dan dibazirkan dengan begitu sahaja. Pada hemat mereka, masa dan waktu itu adalah satu-satunya modal yang mahal yang tidak mungkin dibuangnya dengan begitu sahaja. Ianya merupakan suatu nikmat. Nikmat itu wajib disyukuri. Tidak cukup dengan sekadar mengucapkan syukur kepada tuhan atas masa yang diberikanNya, nikmat yang diterima itu juga harus digunakan sebaiknya. Itulah tanda syukur yang terbaik bagi seorang hamba.

Apabila matahari terbit pada setiap pagi hari, ianya seolah-olah menempelak kepada semua manusia agar menggunakan hari yang diberikan oleh tuhan hari ini dengan sebaik-baik pekerjaan. Tidak kira sama ada pekerjaan yang mendatangkan manfaat di dunia, ataupun pekerjaan yang memanfaatkan hidup di akhirat. Kedua-duanya adalah dituntut kepada manusia agar terus berusaha dan mendapatkan kejayaan terhadap keduanya. Kerana apabila masa itu hilang, maka kita tidak akan mampu mengundurkannya lagi. Kita hanya boleh melihat masa yang terlepas itu berlalu pergi.

Maka orang yang beriman itu bakal sentiasa memikirkan harinya. bagaimana harus dia bertindak supaya hari ini bakal menjadi lebih baik dari semalamnya. Bagaimana pula esok yang sepatutnya lebih baik dari hari ini. Jika ini dilakukan oleh setiap manusia, sudah pasti dunia ini akan aman dan sangat makmur kerana manusia sentiasa memperbaiki diri mereka. Tiada akan wujud kemalasan, tidak pula munculmereka yang bermudah-mudah dengan masa. Semua perkara terancang akan berlaku pada masa dan waktu dengan tepatnya. Ya, dunia sudah pasti menjadi semakin sempurna.

Hargailah masa yang dikurnia kepada kita. Kita memang tidak punya banyak masa, tapi masa itu kita ada dan memilikinya. Penuhilah dengan segala amalan yang bakal boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik dan mempunyai upaya untuk maju dari hari ke hari. Masa yang kita miliki sama harganya dengan masa yang dimiliki oleh orang lain. Maka jika berjanji, penuhilah hak masa orang lain dengan adil. Janganlah kita pula yang menjadi seorang pencuri masa sedangkan kita akui dengan hati dan lisan bahawa kita adalah orang yang beriman kepada tuhan yang benar. Kerana orang yang beriman kepada tuhan yang benar tidak akan membazirkan masanya bahkan jauh sekali untuk mencuri masa orang lain kerana mereka sangat tahu betapa besarnya harga sebuah masa.

Ust Abdul Halim Ismail
3 Ogos 2020
13 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.



Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments