Siri Faham Islam - Siri 298 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Mencetuskan Pembaharuan

Siri Faham Islam - Siri 298 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Mencetuskan Pembaharuan

*Siri Faham Islam - Siri 298 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*

_Jiwa Yang Tenang Mempengaruhi Produktiviti Dan Prestasi._

Jiwa orang yang berima itu adalah sentiasa dalam keadaaan tenang, lapang dada dan penuh pengharapan dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasannya. Jiwanya diperkuatkan lagi dengan rasa cinta dan kasih sayang sesama keluarga dan manusia lain, serta tidak menyimpan perasaan-perasaan negatif yang memungkinkan kejatuhan moral dan motivasinya. Sudah tentunya golongan yang mempunyai tahap kebahagiaan yang tinggi sebegini bakal mempunyai prestasi kerja yang bagus serta produktiviti yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Sebaliknya pula di kalangan mereka yang jiwanya kacau dan keluh kesah. Manusia yang putus asa, hilang pengharapan, dan penuh di jiwanya dengan perasaan dendam kepada orang lain akan mengganggu prestasi dan produktiviti dirinya. Hasil usahanya sudah tentunya tidak memuaskan dan dan ini adalah suatu kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi. Mana mungkin orang yang tidak tenang jiwanya boleh menyelesaikan permasalahan pekerjaannya dengan baik apatah lagi jika dia pembuat keputusan bagi satu-satu organisasi. Sudah tentunya keputusan yang dibuat bakal bercelaru dan tidak menepati kepada keperluan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua dan pemimpin di tempat bertugasnya.

Orang yang beriman itu hidup dalam batas dan kompaun yang ditentukan oleh tuhan. Kehidupannya dijauhkan dari melakukan perkara-perkara yang haram seperti arak dan maksiat yang lain. Kehidupannya tidak dirosakkan dengan hanyut dalam kancah kemungkaran dan maksiat kepada tuhan yang memberinya rezeki. Dia berasa malu kepada tuhan yang memberikan pelbagai nikmat kepadanya dalam keadaan dirinya berlumuran dengan lumpur maksiat dan dosa kepada tuhannya. orang beriman itu menjauhi sumber rezeki haram seperti judi yang dikatakan menjanjikan keuntungan yang besar. Dia sedar setiap hartanya yang diterima itu bakal dipersoalkan oleh tuhan dari mana datangnya hartanya itu dan kemana dibelanjakan harta tersebut.

Orang beriman sentiasa menjaga akalnya daripada terjerumus kepada sesuatu yang boleh merosakkan kewarasannya sebagai manusia. Minuman keras yang memabukkan tidak diambil kerana dia tahu dengan perkara tersebut menjadi punca kepada kerosakan moral dan mental sehingga mencacatkan maruah dan kehormatan dirinya. Kesan daripada amalan yang buruk ini juga bakal merosakkan prestasi dan produktiviti dalam pekerjaan hariannya.  Kerana dia tahu bahawa kekuatan akalnya itu yang membantu mempertingkatkan prestasi dan produktivitinya dan membolehkannya berkhidmat dengan cemerlang dalam pekerjaannya.

Maka jiwa yang tenang itu sudah tentulah sangat penting bagi manusia supaya manusia boleh mengeluarkan potensi sebenar dirinya agar menjadi manusia yang bersemangat dan berjaya. Dengan itu juga dapat memperbaiki produktiviti dan prestasi kerja dirinya dan memberi khidmat yang terabaik kepada masyarakat.

Ust Abdul Halim Ismail
2 Ogos 2020
12 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.



Ikuti kami di media sosial


Post a Comment

0 Comments