Siri Faham Islam - Siri 297 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Mencetuskan Pembaharuan

Siri Faham Islam - Siri 297 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja

_Melakukan Sesuatu Dengan Sehabis Baik._

Oleh kerana setiap perbuatan dan pekerjaan orang yang beriman itu merupakan dorongan dari dalam jiwanya, dan bukan kerana paksaan akan sesuatu, maka segala amal dan perbuatannya akan dilakukan dengan sehabis baik. Dia akan bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaannya supaya perkerjaan itu akan dilihat sempurna. Bukan sekadar untuk kepuasan dirinya, akan tetapi dilakukannya dengan mengharapkan keredhaan tuhan yang maha melihatnya.

Pekerjaan dan amalan yang dimaksudkan ini bukan sekadar perkara-perkara ibadah kepada tuhan sahaja, akan tetapi apa-apa jua pekerjaan lain yang dilakukan seharian termasuklah dalam pekerjaan yang mendatangkan pendapatan dan rezeki kepadanya. Orang yang beriman itu melakukan dengan sempurna, sepenuh hati dan segala tenaga dicurahkan dalam menyempurnakan pekerjaan tersebut. Dia tidak berbuat kerana hanya untuk menampakkan majikannya melihat dia seorang yang rajin agar upahnya bakal diberikan lebih, atau gajinya dinaikkan atau juga dapat diberikan bonus berganda pada penghujung tahun nanti.

Inilah baru dikatakan dia memahami ertikata ihsan yang pernah disebutkan oleh baginda nabi dalam melakukan sesuatu amalan. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam,

_Ihsan (berbuat sesuatu dengan baik) ertinya engkau mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya. Dan kalau engkau tidak boleh seolah-olahnya melihatNya, maka hendaklah engkau ingati bahawa Allah melihat engkau._

(H.R Bukhari dan Muslim)

Melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh juga bakal meyebabkan manusia bakal menyukai perbuatan yang dilakukan oelh seseorang itu. Maka dengan meniatkan sesuatu perbuat dengan mengharapkan keredhaan tuhan, juga bakal mendapatkan kasih sayang manusia jika kita melakukan bersungguh-sungguh. Adalah tidak benar beranggapan bahawa, suatu pekerjaan didunia yang kita mempunyai kewajipan terhadapnya hanya sebagai satu wadah mencari rezeki sahaja, akan tetapi ianya juga bakal mendapatkan ganjaran yang baik dan dihitung oleh tuhan di hari kemudian nanti.

Maka bekerjalah dengan bersungguh dalam setiap pekerjaan kita. Apatah lagi jika pekerjaan seharian kita itu berkait dengan urusan awam yang melibatkan orang ramai dan rakyat. Jika kita seorang pegawai yang menguruskan hal ehwal awam seperti penjawat awam atau pegawai kerajaan, segala urusan kita usahakan dengan cara terbaik, paling pantas serta bersifat memudahkan urusan rakyat. Kita tidak akan bersikap mementingkan diri sendiri dengan hanya memikirkan mudahnya kita menyelesaikan kerja kita sendiri tanpa memikirkan kepentingan urusan rakyat yang pelbagai. Suatu yang tidak patut kita mengambil sesuatu pekerjaan yang berkaitan dengan urusan itu dengan berlengah atau sambil lewa sehingga menyusahkan orang lain dalam menyelesaikan masalah dan urusan mereka yang berkaitan dengan pentadbiran pemerintah atau kerajaan.

Apatah lagi jika kita mengambil kesempatan kepada mereka dengan mengambil rasuah atau mengugut mereka dengan kuasa yang kita ada. Maka itu sudah menyalahi etika bahkan berdosa di sisi tuhan. Ingatlah bahawa tuhan itu sentiasa ada dan mengawasi segala gerak geri kita dan segala perbuatan itu bakal dihadapkan di depan tuhan untuk dinilai dan diberikan dengan balasan setimpal. Kesempurnaan pekerjaan itu datangnya dengan dua perkara iaitu jujur dan ikhlas. Ikhlas itu tertampak apabila pekerjaan yang kita lakukan itu dilakukan dengan sempurna dan kejujuran kita semasa melaksanakannya.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَالْمُؤْمِنُونَ  ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلٰى عٰلِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): *Beramallah kamu (Bekerjalah kamu akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;* dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, *kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."*

(Surah At-Taubah 9: Ayat 105)

Orang beriman itu, jika dia seorang peniaga, maka dia akan memberikan barangan dan perkhidmatan terbaik serta jujur dalam perniagaannya itu. Jika dia seorang majikan, dia akan berusaha menyediakan perkhidmatan dan menjadi ketua yang baik agar disenangi oleh orang bawahannya. Jika dia seorang yang bekerja denga perkhidmatan awam dan rakyat, maka dia akan memikirkan jalan paling baik dalam memudahkan urusan orang ramai bagi menyelesaikan urusan mereka sehari-hari. Tidak kira siapapun dia, orang yang beriman akan mengusahakan yang  paling baik dalam pekerjaannya dan menjadikan pekerjaan itu sesempurna mungkin agar tuhan meredhai usahanya dan semuanya itu berlaku atas dorongan dalaman dari hatinya sendiri.

Ust Abdul Halim Ismail
1 Ogos 2020
11 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.



Ikuti kami di media sosial


Tags: #SFInew
August 01, 2020 at 06:43AM
Open in Evernote

Post a Comment

0 Comments