*Siri Faham Islam - Siri 293 : Peranan Iman Di Dalam Kehidupan : Iman Meningkatkan Produktiviti dan Prestasi Kerja*
_Keimanan Yang Melahirkan Amalan, 2 Perkara Yang Dimaksudkan Dengan Amal._
Sebahagian besar daripada kita mempunyai tanggapan bahawa, dia telah beriman apabila dia mempunyai satu iktikad di dalam hati. Iktikad yang dimaksudkan itu adalah yang mana dia telah mempercayai atau mengimani Allah sebagai tuhan yang menjadikan dan mentadbir alam, maka itu sudah memadai baginya. Sedangkan dalam maksud sebenar keimanan itu, iktikad itu sebenarnya belum memadai. Sebenarnya, ada tiga perkara yang menunjukkan keimanan iaitu iktikad, perbuatan atau amalan dan keikhlasan. Jika ada tiga perkara ini dalam diri seseorang itu maka barulah dia dikatakan benar-benar beriman. Maka perbuatan atau amalan itu tidak dapat dipisahkan daripada mencapai keimanan yang sempurna.
Sabda nabi Sallallahu Alaihi Wasallam,
_"Iman itu bukanlah merupakan harapan, dan bukan pula perhiasan lahir melainkan apa yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan (amalan)."_
(Riwayat Ibn Najjar & Ad-Dailami)
Di dalam Al-Quran pula disebutkan lebih daripada tujuh puluh ayat yang menyebutkan bahawa keimanan itu adalah sejajar dengannya adalah amalan. Bahkan bukan sekadar amalan yang atau perbuatan sahaja akan tetapi amal perbuatan kebaikan _(amilus solehat)_ . Demikian pula amalan soleh atau perbuatan baik ini bukan sahaja bermaksud dan bertumpu kepada perkara-perkara yang melibatkan ibadah khusus sahaja seperti solat, puasa, zikir dan lain-lain amalan yang berbentuk ibadah. Akan tetapi segala perbuatan baik kita yang memberi manfaat kepada manusia, yang memberi kebaikan kepada orang juga termasuk dalam perkara amalan dan perbuatan yang baik.
Oleh yang demikian perbuatan kita berusaha mencari rezeki seperti berniaga dan memberi manfaat kepada orang lain, atau bekerja yang mana kita mendapat gaji atau berkhidmat dalam perkhidmatan awam juga sebahagian daripada amalan baik yang disebutkan oleh Al-Quran. Atas sebab itu kita dituntut untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan bersungguh-sungguh. Apabila bekerja atau berkhidmat di dalam suatu organisasi, hendaklah melakukannya dengan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab. Maka dengan itu barulah kita dikatakan beriman dengan sebenar-benar iman. Bukan sekadar memenuhi kewajipan kerukunan Islam yang lima itu sudah menunjukkan kita sudah beriman. Akan tetapi dengan bekerja walaupun mendapat kemanfaatan dunia seperti gaji atau keuntungan dari perniagaan, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh sudah tentunya ianya termasuk amalan soleh yang memungkinkan tuhan memberikan ganjaran pahala yang menjadi pemberat timbangan kita ke syurga.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
الَّذِى خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيٰوةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: *siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;* dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);"
(Surah Al-Mulk 67: Ayat 2)
Ust Abdul Halim Ismail
28 Julai 2020
7 Zulhijjah 1441H
Bukit Katil, Melaka.
Ikuti kami di media sosial
Tags: #SFInew
July 27, 2020 at 07:00PM
Open in Evernote
0 Comments