Siri Faham Islam - Siri 63 : Asas Keenam ; Membersihkan Semua Manusia Dari Kemaksuman Kecuali Rasulullah.

Hanya Perkataan Rasullullah Adalah Maksum dan Selainnya Boleh Diterima Atau Ditolak.



Allah SWT berfirman:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوٰىٓ

"Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri."

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌ يُوحٰى

"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."

(QS. An-Najm 53: Ayat 3-4)


Kefahaman yang benar dalam memahami Islam ialah meyakini bahawa setiap perkataan yang datangnya daripada orang awam, para imam, ahli-ahli fiqh, kiyai, tuan guru, para sheikh, mufti atau sesiapa sahaja yang ahli dalam agama hatta para imam mazhab sekalipun, adalah tidak maksum dan terdedah kepada risiko kesalahan dalam menyampaikan pendapat mereka sekalipun sebesar mana kitab mereka, seramai mana murid mereka atau sehebat manapun tutur kata bicara mereka.

Walau seluas mana kefaqihan dan kedalaman ilmu seseorang itu, harus diingat mereka ini adalah hanya manusia biasa yang boleh melakukan kesalahan. Pendapat mereka ini walaupun dianggap benar, jika ianya terdapat percanggahan dengan Al-Quran dan sunnah, maka ianya boleh ditolak dengan mengutarakan hujah yang berkaitan jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat yang telah dikeluarkan oleh mereka. 

Hanyalah perkataan Nabi sahaja yang dianggap sebagai maksum dan menjadi sumber hukum kepada agama selepas Al-Quran. Mereka yang ijtihadnya tidak diterima haruslah berlapang dada manakala mereka yang ijtihadnya diterima tidak harus untuk mengata atau mengungkit-ungkit kesalahan ijtihad yang tidak diterima. Perkara-perkara yang berkaitan dengan khilafiah haruslah diuruskan dengan baik dan para mujtahid hendaklah mengajarkan disiplin ilmu yang betul kepada para pengikut agar perbezaan antara pendapat-pendapat dapat diharmonikan dengan baik dan tidak berakhir dengan menganggap pendapat sendiri sahaja benar dan yang selain mereka adalah salah. 

Antara kepincangan ilmu yang berlaku pasca zaman kehebatan 4 mazhab fiqh yang besar adalah ketaksuban para murid kepada guru masing-masing menyebabkan ilmu-ilmu Islam tidak berkembang sejajar dengan arus kemodenan yang membangun pada ketika itu. Sedangkan Al-Quran merupakan kitab panduan manusia yang membawa kemajuan dan ketamadunan. 

Akan tetapi sebaliknya kepada umat Islam dimana perkembangan ilmu yang sepatutnya subur dengan panduan Al-Quran, akhirnya lesu dan tidur dalam dakapan ketaksuban kerana takutnya para ahli ilmu mengeluarkan pendapat baru, menerokai ijtihad terkini dan menafsir Al-Quran dengan pandangan yang lebih sesuai dengan kehendak semasa dan dalam struktur pemikiran semasa. Berlakunya kelesuan ilmu ini antara faktornya adalah ketakutan untuk melebihi khazanah ilmu sedia ada dan terlalu berbangga dengannya. 

Ketakutan ini haruslah dipecahkan kerana pintu ijtihad tidak pernah tertutup, bahkan sentiasa terbuka agar perkembangan ilmu itu kekal segar dalam fikrah terkini dan tidak ia mati atau tidur disebabkan takjub dan taksubnya kita kepada khazanah sedia ada sedangkan ianya menuntut untuk diperbaharui dalam menyelesaikan isu-isu semasa yang lebih mencabar dan membawa pemikiran orang Islam ke tahap lebih baik setanding dengan pemikiran dan ilmu yang dibangunkan oleh ilmuan bukan Islam dari barat.  

Ust Abdul Halim Ismail
14 Oktober 2019
15 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments