Siri Faham Islam - Siri 62 : Asas Kelima ; Mentaati Ijtihad Untuk Kemaslahatan dan Beribadah Kerana Allah, Bukan Sekadar Hikmah.

Tujuan Utama Beribadah Adalah Kerana Allah dan Bukan Sekadar Hikmah





Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

(QS. Az-Zariyat 51: Ayat 56)

Ibadah yang diterima oleh Allah adalah ibadah yang niatnya ikhlas kepada Allah dan ianya bertepatan dengan sunnah yang dibawa Rasulullah. Dua syarat inilah yang menjadi asas kepada sesuatu ibadah itu diterima Allah kerana ianya bersih daripada unsur sebab yang selainnya dan mengikut kehendak berdasarkan wahyu yang diturunkan. 

Dalam satu pendapat, manusia disyariatkan beribadah tanpa perlu memikirkan kenapa ibadah itu diperintahkan sedemikian. Ianya adalah bertujuan agar ibadah yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas kepada Allah tanpa mengharapkan sesuatu apapun. 

Pandangan ini bertujuan, agar sesuatu ibadah itu tidak akan dipersoalkan pensyariatannya dari sudut akal kerana tiada jawapan yang konkrit dan jelas yang disebutkan didalam mana-mana dalil pensyariatan. Sebagai contoh soalan-soalan seperti, mengapa solat lima waktu tidak tiga atau dua, ataupun persoalan mengapa berpuasa wajib bulan Ramadhan tidak disuruh puasa wajib di bulan lain. 

Persoalan seperti ini akhirnya akan membawa kepada ketidakrelevanan sesuatu ibadah ini dilaksanakan dan boleh diubah seperti mana yang berlaku kepada umat terdahulu. Sebagai contoh apabila Bani Israel diperintahkan untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu kerana seruan bersembahyang pada hari tersebut. Mereka mempertikaikan larangan tersebut dari sudut akal mencari hujah menolak perintah tersebut. Akhirnya larangan itu dilanggar dan hari beribadah tersebut ditukar pada hari lain. 

Namun begitu dalam satu pendapat aliran yang lain, ibadah yang disyariatkan, adalah sepatutnya dilihat konteks hikmah kerana ianya akan memberikan impak yang lebih positif daripada kita tidak memahami hikmahnya. Bezanya, hikmah yang dicari secara tersirat tidak dibincangkan dalam sudut qat'ie atau perkara tetap yang tidak boleh dibincangkan seperti soalan-soalan yang kami kemukakan dalam pendapat aliran pertama tadi. Akan tetapi hikmah yang cuba diterokai adalah memandang dari sudut mengapa ibadah itu disyariatkan. 

Sebagai contoh ibadah zakat, perbincangan mengenai hikmah tidak dibincangkan tentang perkara qat'ie atau dasar seperti mengapa 2.5% kadaran zakat, atau mengapa gunakan timbangan emas sebagai penimbang nisab tahunan zakat. Akan tetapi hikmah dibincangkan adalah pensyariatan zakat itu sendiri mengapa perlu berzakat, antara hikmahnya adalah merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, menghakis sifat kedekut dan juga hikmah yang disebutkan dalam Al-Quran iaitu sebagai pembersihan harta dan Allah memberikan ketenangan kepada si pembayar zakat. 

Hikmah-hikmah sebegini dibenarkan untuk dicari di dalam perkara ibadah kerana ianya akan memberikan selain motivasi kepada orang yang beribadah, ianya juga memberi penjelasan logik maksud suatu ibadah itu dilakukan bertepatan dengan fitrah.  Ilmu-ilmu ini dipanggil sebagai ilmu Maqasid Syariah yang mana ianya ilmu memahami maksud dan sebab sesuatu pensyariatan itu diperintahkan oleh Allah. Ianya menjadi satu panduan dan memberi kepuasan fitrah kepada manusia didalam melaksanakan sesuatu ibadah yang diperintahkan. 

Maka dengan ini kita dapat memahami, ibadah yang menepati sunnah, dibuat dan dilaksanakan dengan sepenuh keikhlasan hati adalah suatu yang penting di samping kita memahami hikmah ibadah tersebut untuk melunasi keperluan fitrah yang mana Allah telah kurniakan akal kepada manusia untuk memahami sesuatu maksud pensyariatan atau ibadah tertentu untuk dilaksanakan oleh manusia. 

Ust Abdul Halim Ismail
13 Oktober 2019
14 Safar 1441H
Bandar Baru Bangi.

Post a Comment

0 Comments