Siri Faham Islam - Siri 61 : Asas Kelima ; Mentaati Ijtihad Untuk Kemaslahatan dan Beribadah Sekadar Yang Diperintahkan ; Mentaati Ijtihad Pemerintah Sebahagian Tuntutan Islam.

Mentaati Ijtihad Pemerintah Dalam Perkara Kemaslahatan Adalah Tuntutan Agama




Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِى الْأَمْرِ مِنْكُمْ  ۖ فَإِنْ تَنٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْأَاخِرِ  ۚ ذٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

"Wahai orang-orang yang beriman, *taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.* Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

(QS. An-Nisa' 4: Ayat 59)

Al-Quran secara prinsipnya menerangkan perkara-perkara dasar yang menjadi panduan hidup manusia. Karakter Al-Quran sebagaimana yang kami sebutkan sebelum ini menerangkan prinsip-prinsip kehidupan secara umum dan perinciannya diterangkan di dalam sunnah ataupun berdasarkan ijtihad sekiranya dalam urusan agama. Namun begitu, dalam perkara yang luar dari urusan agama, keperluan terhadap berijtihad itu adalah perlu terutamanya dalam perkara keduniaan dan memerlukan undang-undang yang diciptakan manusia.

Ketamadunan manusia telah melewati suatu sejarah yang panjang. Pembinaan Islam sebagai agama yang membawa ketamadunan sakhsiah dan akhlak adalah suatu sumbangan tak ternilai kepada dunia dalam membina karakter manusia beriman kepada Allah dan berakhlak mulia. Justeru, dari masa ke semasa, undang-undang diwujudkan oleh manusia sebagai menjaga kepentingan maslahat umum selain menjadikan juga manusi hidup dalam suasana berperaturan dan tersusun.

Dalam sebuah negara, peraturan atau undang-undang dibuat untuk mengawal gerak geri manusia supaya tidak melampaui had kebebasan sepatutnya setelah kebebasan itu diberi oleh pemerintah itu sendiri. Sebagai contoh kebebasan seseorang untuk membeli kenderaan. Sesiapa sahaja dibenarkan membeli kenderaan dan dibenarkan memandu kemana sahaja dan pada bila-bila masa. Namun dalam pada kebenaran diberi untuk memandu kenderaan masing-masing, pemerintah meletakkan syarat-syarat tertentu supaya kebebasan tidak digunakan secara membabi buta. Lesen memandu diwajibkan supaya pemandu yang benar-benar terlatih sahaja dibenarkan memandu di jalanraya supaya tidak berlaku kemalangan atas sebab ketidakcekapan kerana tiada latihan pra-pemanduan.

Begitu juga dalam hal beragama. Sesetengah golongan merasakan undang-undang pernikahan dalam negara ini adalah menyusahkan kerana menyukarkan orang bernikah. Kata mereka lagi, tidak termasuk dalam rukun nikah yang digariskan agama untuk melalui proses-proses tertentu seperti kursus asas perkahwinan, saringan HIV, pelbagai borang dan pengesahan kerana menyukarkan para pemuda-pemudi dalam melaksanakan perkahwinan. Kesukaran ini akhirnya dituduh kepada penggalakkan kepada perzinaan dan pelbagai gejala lain dalam masyarakat.

Akan tetapi, jika tiada semua proses tersebut, lebih banyak permasalahan bakal timbul seperti penceraian yang sangat tinggi kerana kekurangan ilmu rumahtangga, menularnya penyakit berjangkit yang merosakkan keturunan, tiadanya rekod perkahwinan yang menukarkan urusan seperti pengurusan harta pusaka, dan lain-lain urusan berkaitan. Semua perkara ini memang tiada dalam Islam tetapi ianya perlu dalam keadaan masa kini untuk menjaga kemaslahatan semua pihak walaupun ianya sedikit menyukarkan.

Oleh yang demikian, ijtihad seperti ini dilihat perlu dan sentiasa perlu diperbaharui serta diperbaiki apabila timbul masalah lain seperti birokrasi dan sebagainya. Harus difahami juga ianya adalah sebahagian dari tuntutan agama kerana mentaati pemerintah adalah suatu yang dianjurkan oleh Al-Quran seperti yang kami petik ayat di awal penulisan ini. Harus diingat juga selagi mana ianya tidak melampaui prinsip syariat, ianya dibenarkan begitu juga sekiranya melanggari prinsip syariat hendaklah perkara itu ditegur atau ditentang menerusi saluran aman yang ada seperti pilihanraya dan sebagainya.

Semua undang-undang dan peraturan ini adalah semestinya untuk maslahat umum dan bukan peribadi. Oleh yang demikian menjadi suatu tuntutan untuk kita menjadi rakyat yang bijak dalam menentukan siapa pemimpin yang baik dan juga menilai perbuatan pemimpin sama ada bertepatan dengan prinsip kemaslahatan dan keadilan atau sebaliknya. Semoga Allah melindungi dan merahmati segala usaha baik kita dalam membangunkan umat serta membina kejayaan di dunia mahupun akhirat.

Ust Abdul Halim Ismail
11 Oktober 2019
12 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments