Siri Faham Islam - Siri 60 : Asas Keempat ; Kemungkaran Yang Wajib Diperangi.

Menilik Nasib Dan Mendakwa Mengetahui Perkara Ghaib.



Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطٰنِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

(QS. Al-Ma'idah 5: Ayat 90)

Antara ancaman kerosakan akidah dalam masyarakat hari ini adalah perbuatan menilik nasib. Jika dahulu, amalan menilik nasib ini dilakukan seperti dengan menggunakan anak panah, kad daun terup, menggunakan burung, melihat garisan pada tangan dan berbagai cara macam kaedah lagi.

Namun begitu, walaupun kaedah menilik nasib dengan kaedah tradisional ini perlahan-lahan sudahpun semakin hilang dan dilupakan, akan tetapi ancaman kerosakan akidah atas perbuatan menilik nasib ini masih terus berlaku. Pada hari ini kita mendengar kaedah menilik nasib dengan menggunakan horoskop. Orang yang lahir pada sekian haribulan bakal mendapat manfaat atau kesusahan tertentu pada bulan-bulan tertentu.

Tidak kurang juga menilik nasib dengan menggunakan tarikh lahir sehingga kiraan tarikh lahir sampai nombor tertentu, maka disebut karakter dan personaliti seseorang berdasarkan nombor orang tersebut. Golongan ini tidak mengakui perbuatannya itu adalah menilik nasib dan mengistilahkannya sebagai ilmu fizik.

Telah menjadi trend di media sosial di mana menilik nasib dengan menggunakan aplikasi di facebook. Pengguna akan ditanya dengan satu soalan lamaran, contohnya; "Apakah pekerjaan bakal suami barumu?" Ini merupakan kaedah menilik nasib yang paling halus hanya menggunakan aplikasi dan jawapan-jawapan mengarut akan diberi. Walaupun perbuatan ini dirasakan hanya sebagai suka suka, akan tetapi ianya tetap salah, haram dan berdosa jika dilakukan. Oleh yang demikian, amat perlu bagi kita menjauhi perbuatan-perbuatan ini supaya kita kekal berpegang akidah tuhan yang satu yang menentukan qada dan qadar kita selaku manusia.

Mendakwa mengetahui perkara ghaib

Sesetengah orang mendakwa boleh mengetahui perkara ghaib seperti mengetahui sejarah silam seseorang walaupun orang itu tidak dikenalinya. Perbuatan ini adalah suatu yang khurafat malah boleh menjadi syirik kepada Allah kerana menjalin perhubungan dengan syaitan atau jin. Kesemua amalan ini adalah perkara-perkara khurafat yang hanya menjauhkan hubungan hamba dengan tuhannya. Semoga Allah menyelamatkan kita dari sebarang pembohongan yang membawa kepada kesesatan agar kita tetap taat kepada tuhan yang satu, tuhan yang menjadikan alam ini serta tiada tuhan lain yang boleh kita memohon pertolongan melainkan pertolongan daripadanya.

Ust Abdul Halim Ismail
10 Oktober 2019
11 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.
 
_Untuk mengikuti siri penulisan ini setiap hari, sila Whatsapp ke nombor_ 0196733014

_Terima kasih atas sokongan anda._


https://sirifahamislam.blogspot.com/

Post a Comment

0 Comments