Konsep umat di dalam Islam
Apalah ertinya jika sebuah kerajaan tanpa umat atau rakyat, dan tidak akan tertegak sebuah negara jika rakyat tidak memberi wala' kepada kerajaan dan kerajaan yang tidak bersifat Rahmah kepada umat rakyatnya. Pengertian umat atau rakyat adalah sekolompok manusia yang tinggal di dalam satu wilayah yang dihimpunkan atas dasar satu budaya, bahasa atau bangsa.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ ءَايٰتِهِۦ خَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوٰنِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذٰلِكَ لَءَايٰتٍ لِّلْعٰلِمِينَ
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan."
(QS. Ar-Rum 30: Ayat 22)
Allah menjadikan manusia pelbagai bangsa dan warna kulit, tinggal bertebaran di atas muka bumi, yang melahirkan pelbagai bangsa dan budaya semuanya atas tujuan yang satu iaitu mengabdikan diri kepada Allah dalam mana menuju negeri abadi.
Dalam konteks Islam, tautan umat yang sebenarnya adalah tautan dari segi akidah yang sama iaitu menyembah Allah SWT. Selain daripada memahami bahawa manusia ini adalah datang daripada manusia pertama yang satu iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa kepada seluruh manusia. Kesatuan umat dalam Islam melangkaui batas bangsa, bahasa, budaya, sejarah dan geografi kerana setiap muslim harus berpegang semua manusia adalah sama dan orang muslim sesama muslim adalah bersaudara tanpa mengira sempadan bangsa dan bahasa.
Atas dasar ini, Islam melarang umatnya daripada mencintai bangsa dengan melampau sehingga menidakkan kebenaran sebenar. Ini kerana terdapat sesetengah kelompok yang berperang dengan bangsa lain hanya kerana sifat kebangsaan yang melampau dan akhirnya mengenepikan kebenaran walaupun kebenaran sebenar ada pada bangsa yang diperanginya. Penyakit asobiyah ini adalah suatu yang serius kerana ianya menyebabkan hilangnya pertimbangan manusia dalam mencari kebenaran sesuatu perkara.
Walaupun manusia dihubungkan dengan ikatan bangsa, bahasa dan budaya, namun dalam konteks Islam, manusia boleh disatukan cukup sekadar dengan akidah yang satu iaitu keimanan kepada Allah walaupun berbeza dari segi bangsa, bahasa dan budaya. Atas dasar ini maka terbentuklah umat yang seimbang, tidak ekstrim dan menjadikan akidah sebagai titik persamaan dan bukan menjadikan perbezaan sesama manusia kerana berbeza warna kulit dan lain-lain ketidaksamaan.
Ust Abdul Halim Ismail
6 Januari 2018
18 Rabiul Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.

0 Comments