Siri Faham Islam - Siri 59 : Asas Keempat ; Kemungkaran Yang Wajib Diperangi ; Jampi dan Mantera Yang Mendekati Kesyirikan.


Jampi & Mantera Yang Mendekati Syirik

Dalam ilmu perubatan tradisional, jampi dan mantera adalah antara perkara wajib yang perlu diketahui oleh pengamal perubatan tersebut, sebagai menjadi pemangkin kepada ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit. Biasanya perubatan jenis ini menggunakan khidmat jin atau syaitan untuk mengubati pesakit yang lazimnya juga adalah kerana gangguan jin dan syaitan juga.

Namun begitu, amalan menggunakan jampi adalah suatu yang dilarang  dalam Islam kerana biasanya mengandungi pemujaan terhadap syaitan atau meminta pertolongan selain dari Allah yang menyebabkan berlakunya perkara syirik yang menyekutukan Allah. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

_“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir pengasih adalah syirik”._

(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002)

Antara kekeliruan dan kecelaruan terbesar dalam masyarakat adalah kesukaran membezakan antara jampi atau mentera dengan ruqyah-ruqyah yang yang dibenarkan oleh syariat. Pada hakikatnya hanya terdapat satu garisan kurus yang sangat kecil dalam pada kita membezakan ruqyah yang menepati syariat dengan jampi mantera yang mendekati kepada kesyirikan.

Pada hari ini, ada kecenderungan di kalangan pengamal perubatan yang juga menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai jampi. Hal ini tidak salah selagi mana ayat-ayat Al-Quran tersebut terdapat dalam pengamalan Rasulullah dalam mengubati penyakit. Akan tetapi sekiranya tiada dalam pengamalan sunnah, maka penggunaan terhadap ayat-ayat Al-Quran tersebut boleh dikatakan telah diselewengkan kerana ianya telah dimanipulasi oleh jin dan syaitan yang cuba menyesatkan manusia walaupun disandarkan kepada ayat-ayat tersebut.

Sebagai contoh satu ayat di dalam surah Al-Anfal yang menceritakan peristiwa perang Badar yang mana nabi melemparkan debu tanah kepada tentera Quraisy lalu semua tentera kafir seramai seribu orang itu dimasuki pasir dan sukar untuk mereka melihat.

Allah SWT berfirman:

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُمْ  ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمٰى  ۚ وَلِيُبْلِىَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَآءً حَسَنًا  ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. *Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir),* dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

(QS. Al-Anfal 8: Ayat 17)

Ayat ini telah disalahguna dengan dijadikan sebagai mentera. Apa yang dipegang oleh pengamal mantera ini adalah apabila mereka meleparkan pasir tersebut, hendaklah diyakini yang melempar itu bukan dirinya tetapi Allah yang melemparkan. Makanya meyakini sesuatu dengan mensyirikkan Allah dengan diri sendiri sudah termasuk dalam kelompok manusia yang menyekutukan Allah. Maka atas sebab itulah syaitan memanipulasi perbuatan syirik tersebut dan membantu manusia-manusia sesat ini supaya terus sesat maka terjadilah perkara-perkara luar biasa yang tidak berlaku dalam keadaan kemampuan manusia biasa.

Maka adalah perlu, dalam pada mana kita untuk belajar, atau mengambil ruqyah atau bacaan tertentu yang disandarkan kepada agama dan dikatakan sebagai pengubatan Islam. Sedangkan padanya itu terkandung perbuatan syirik yang tidak kita sedari yang merosakkan akidah kita sebagai seorang muslim yang meyakini dan tidak mempersekutukan Allah dengan suatu apapun.

Apa yang kami ingin sarankan adalah, dalam mengubati dengan kaedah alternatif, doa-doa yang ma'thur adalah lebih baik daripada sewenangnya menganmbil petikan Al-Quran lalu disalahguna dengan alasan makna ayat tersebut menghampiri tujuan pengubatan atau penghasilan luar biasa yang meleibatkan bantuan jin dan syaitan. Sesungguhnya ini adalah fitnah halus dalam jin dan syaitan hendak menyesatkan manusia supaya berlaku syirik dan meyekutukan Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada perbuatan sebegini dan melorongkan kita perbuatab yang benar sepanjang penghidupan kita di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, *menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."*

(QS. Al-Jinn 72: Ayat 6)

Ust Abdul Halim Ismail
8 Oktober 2019
9 Safar 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments