Siri Faham Islam - Siri 23 : Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih tiada bezanya ; Islam adalah Ibadat yang sahih



Islam adalah Ibadat yang sahih

Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Surah Az-Zariyat 51: Ayat 56

Penciptaan manusia dan alam ini semestinya untuk menunjukkan kebesaran Allah sebagai tuhan yang maha pencipta dan maha berkuasa akan setiap sesuatu. Sebagai manusia biasa, pengibadatan kepada tuhan merupakan suatu fitrah yang asas yang dicampakkan ke dalam hati manusia sejak dari awal penciptaan manusia pertama lagi. Oleh yang demikian fitrah mahu beribadat kepada sesuatu kuasa besar yang dipercayai menguasai dan mengawal alam ini adalah sangat kuat dalam jiwa manusia. Oleh yang demikian, manusia memerlukan petunjuk yang benar dari langit, agar kekal menyembah dan mengibadati tuhan yang sebenar dan beribadat dengan kaedah dan cara yang dimahukan oleh tuhan sebenar itu.

Sejarah manusia telah menunjukkan bahawa kesesatan manusia adalah disebabkan tidak mendapat petunjuk yang benar dan manusia mula menyembah dan terpesong dari tuhan yang benar apabila tidak lagi mendapat petunjuk daripada utusan yang dipilih dari kalangan manusia yang dipanggil sebagai nabi atau rasul. Hanya nabi atau rasul yang mampu memberi petunjuk dan bimbingan bagaimana kaedah sebenar dalam pengibadatan kepada tuhan yang benar iaitu Allah tuhan yang mencipta sekalian alam. 

Dalam pada itu, adalah penting bagi umat nabi Muhammad yang merupakan utusan yang terakhir bagi mengikuti dan mewarisi kaedah ibadat yang benar dan betul yang datangnya dari Alah dan tidak menokok tambah, bahkan mencipta ibadah yang lain selain daripada yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam. Ini adalah penting bagi menjamin bahawa, kaedah ibadat yang dilakukan itu adalah benar yang dimahukan tuhan dan bukannya sekadar amalan ritual yang dicipta sepertimana yang berlaku kepada agama atau amalan taghut yang dilakukan oleh agama lain yang sesat.

Dua perkara yang sangat asas dalam beribadat agar diterima oleh Allah adalah:

i) Ibadat itu adalah ibadat mutaba'ah dari nabi iaitu yang benar dan datang dari ajaran baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam atas baginda)
ii) Segala ibadat yang dilakukan itu hendaklah disertai dengan sifat ikhlas kepada Allah dan bukannya atas sebab lain-lain keuntungan yang bersifat peribadi seseorang itu.

Islam menolak sebarang ibadat yang direka-reka dan dicipta selain dari yang disyariatkan. Adapun sebarang ibadat yang ditokok tambah juga ditolak meskipun ianya kelihatan untuk menambahbaik kepada ibadat yang sedia ada. Sebagai contoh, seseorang yang mahu menambah amalannya menambah rakaat solat subuh dari dua rakaat kepada empat rakaat.

Hanya ada satu cara sahaja untuk mengenalpasti sama ada ibadat itu benar iaitu kembali merujuk kepada dua sumber asal Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah. Maka dengan ini barulah kita akan benar-benar dapat mengetahui dan kenalpasti suatu amalan itu adakah ianya sahih ataupun hanyalah yang diada-adakan oleh sesetengah golongan dan mengatakannya adalah ibadah. Sesungguhnya celakalah bagi mereka yang mengadakan sesuatu amalan yang bukan agama tetapi mengganggapnya sebagai agama walaupun pada mata kasarnya amalan itu kelihatannya seperti baik kepada kita.

Ust Abdul Halim Ismail
22 Januari 2019
16 Jamadil Awal 1440H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments