Siri Faham Islam - Siri 43 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Adab & Sikap Seorang Muslim Terhadap Al-Quran ; Al-Quran untuk Diamalkan dan Dilaksanakan

Pada hari ini kita melihat lambakan sekolah-sekolah tahfiz di negara kita tumbuh bagai cendawan. Majlis-majlis dimulai dengan bacaan Al-Quran, sekolah-sekolah yang memulakan perhimpunan paginya dengan membaca surah-surah tertentu sebelum anak-anak masuk ke kelas. Apabila kita melihat kepada siaran TV ianya dimulakan dan diakhiri dengan bacaan Al-Quran. Bila kita pergi ke mana-mana, berkumandang bacaan Al-Quran dipasang di kaset dan radio dijadikan sebagai halwa telinga si pendengar. 

Dalam satu sudut pandang, ini adalah fenomena yang bagus bagi sebuah negara Islam. Akan tetapi adakah dengan cerminan yang kami bawakan tadi sudah menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah menjadikan Al-Quran sebahagian dari kehidupan mereka? 

Jika kita telusuri kehidupan para sahabat, mungkin tidak ada senario-senario seperti yang kami sebutkan tadi. Akan tetapi kefahaman dan tindak balas mereka terhadap Al-Quran akhirnya memacu bangsa mereka membina satu ketamadunan yang hebat sehingga terbinanya sebuah empayar Islam yang amat digeruni pada satu ketika dahulu. Al-Quran yang mereka bawa adalah sama seperti yang kita ada hari ini. Akan tetapi hari ini umat Islam sudah terkebelakang dalam memimpin dunia walaupun kesuburan Al-Quran itu tampak lebih jelas berbanding apa yang berlaku di zaman para sahabat. 

Para sahabat belah menjadikan Al-Quran sebagai metode dalam kehidupan mereka. Mereka bersandar kepada Al-Quran dan sangat yakin dengannya, segala persoalan mereka akan kembali kepada Al-Quran menjadi solusi kepada mereka. Apabila turun suatu ayat, para sahabat bersegera untuk melaksanakannya. Mereka tidak bertangguh malah tidak melambat-lambatkan akan sesuatu yang telah tuhan perintahkan kepada mereka. Al-Quran menjadi sangat dekat dengan mereka sepertimana yang dinukilkan oleh Sayyid Qutb "Mereka tidak membaca Al-Quran dengan sekadar melihat,  bertujuan membudayakannya, juga bukan tujuan merasakan dan menikmatinya, akan tetapi mereka mendapatkan Al-Quran untuk dilaksanakan sebaik sahaja mereka mendengarnya."

Abu Talhah adalah seorang yang antara banyak harta di Madinah, diantaranya ada suatu kebun yang sangat disayanginya yang berdepan dengan masjid. Apabila turun surah Ali-Imran ayat 92 yang berbunyi,

Allah SWT berfirman:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ  ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَىْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 92)

Setelah mendengar ayat ini Abu Talhah telah berjumpa dengan Nabi, dan mahu menyedekahkan kebunnya itu. Nabi berkata adalah lebih baik beliau memberikan kebunnya kepada saudara maranya. Maka Abu Talhah pun menghadiahkan kebunnya kepada saudara maranya dan anak-anak saudara beliau. 

Dalam satu kisah lain Umar al-Khattab telah berkata kepada Nabi bahawa, "Tidak ada harta yang paling aku cintai dan paling berharga milikku melainkan sahamku di dalam perang Khaibar, apakah perintah baginda ke atas hartaku ini?" Maka Rasulullah bersabda, "Pertahankan modal utamanya dan sedekahkan dari hasilnya." Rasulullah telah memerintahkan bahawa mewakafkan tanah ini dengan memegang modalnya dan menyedekahkan hasilnya kepada fakir miskin. Maka Umar pun bersegera melakukan sedemikian sepertimana yang telah diperintahkan oleh Nabi kepadanya. 

Ini adalah antara kisah bagaimana para sahabat melaksanakan Al-Quran dengan penuh tanggungjawab dan bersegera dalam melaksanakannya. Kita dapat lihat apa yang dilakukan sahabat ini tidak sepertimana yang kita lakukan melaksanakan Al-Quran sekadar budaya membacakannya sahaja, akan tetapi para sahabat terus mengusahakan apa termampu sehabis mungkin oleh mereka dalam melaksanakan Al-Quran.

Semoga kita dapat melaksanakan segala apa perintah Al-Quran dengan bersegera kepadanya dan bukan sekadar budaya membacanya sahaja dan menjadi perhiasan hidup sedangkan tidak difahami dan dihayati maksudnya. 

Ust Abdul Halim Ismail
17 September 2019
17 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments