Siri Faham Islam - Siri 42 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Adab & Sikap Seorang Muslim Terhadap Al-Quran ; Keutamaan Muslim Mengamalkan Al-Quran Dengan Pengamalan Yang Betul

Allah SWT berfirman:

وَهٰذَا كِتٰبٌ أَنْزَلْنٰهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

"Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat."

(QS. Al-An'am 6: Ayat 155)

Dalam pemahaman sesetengah masyarakat muslim hari ini, mengamalkan Al-Quran adalah dengan melihat keajaiban yang boleh didatangkan oleh Al-Quran kepada mereka. Ada yang menulis ayat-ayat Al-Quran tertentu dengan kaligrafi cantik dan meletakkannya di dinding-dinding rumah serta mendakwa bahawa dengan cara ini sesuatu kebaikan seperti membawa masuk rezeki kepada tuan rumah, menghindari malapetaka dan lain-lain khasiat yang tidak ketahuan sumber dalilnya.

Tidak kurang juga yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran ini dengan menjadikanya sebagai tangkal dan azimat dengan harapan cara ini mampu untuk menyembuhkan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh mereka. Sebahagian pula meletakkan mushaf-mushaf tertentu di dalam dompet, juga di dalam kenderaan agar ayat-ayat tersebut mampu memberikan pertambahan kewangan kepadanya mahupun perlindungan keselamatan semasa memandu kenderaan mereka. Sebahagian yang lain pula memetik ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran sebagai mantera untuk dijadikan amalan tertentu seperti mengambil sepotong ayat dan dibaca semasa membasuh beras untuk memasak nasi dan dikatakan dengan pengamalan begini mempunyai sesuatu kelebihan tertentu.

Lebih malang lagi perkara-perkara ini dianggap sebagai perbuatan 'beragama' sedangkan ia sama sekali menyalahi pengamalan Islam malah mendekati khurafat yang boleh membawa kepada kesyirikan. Al-Quran dengan pengamalan sedemikian maka telah ia dilucutkan hak sebenar Al-Quran itu oleh orang muslim itu sendiri. Sedangkan hak sebenar Al-Quran adalah dijadikan sumber panduan hidup dengan memahami dan mengamalkan ajarannya dan bukannya dicipta amalan-amalan baru dan mencampur adukkan amalan jahiliah dengan mempergunakan ayat Al-Quran supaya ia menjadi lebih Islam.

Allah SWT berfirman:

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ قُرْءَانًا أَعْجَمِيًّا لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ ءَايٰتُهُۥٓ  ۖ ءَا۬عْجَمِىٌّ وَعَرَبِىٌّ  ۗ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا هُدًى وَشِفَآءٌ  ۖ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى  ۚ أُولٰٓئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَّكَانٍۢ بَعِيدٍ

"Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): *Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar)* dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)."

(QS. Fussilat 41: Ayat 44)

Penawar yang dimaksudkan di dalam ayat ini bukanlah penawar kepada penyakit fizikal seperti yang difahami oleh sesetengah pihak, akan tetapi Al-Quran menjadi penawar kepada penyakit-penyakit hati yang sesat yang mana Al-Quran adalah penunjuk jalan kepada asas sebenar ketuhanan dan menjauhkan manusia daripada melakukan perkara yang boleh menidakkan kewarasan akal dan merosakkan kefahaman tentang akidah dan keberadaan Tuhan. 

Jika Al-Quran ini turun sebagai kitab yang membawa ilmu perubatan, sedari awal mungkin baginda nabi menjadi tukang ubat yang paling ulung. Ilmu-ilmu medik juga suatu yang tidak laku dan sia-sia kerana kehebatan ilmu perubatan yang datang terus dari langit adalah berautoriti berbanding ilmu yang ditemui manusia. Akan tetapi segalanya itu tidak berlaku malahan Allah mengizinkan bertumbuh kembangnya ilmu perubatan pada hari ini yang menjadi praktis utama dalam menyembuhkan sesuatu penyakit.

Tidak dinafikan segala penyakit ke atas manusia adalah dari Allah, akan tetapi Allah menjadikan alam ini dengan hukum alamnya yang tersendiri yang kita panggil sunnatullah dan setiap yang berlaku ada sebab dan musabab, ada punca dan akibat yang memerlukan agar manusia berusaha terhadap sesuatu dan bukan sekadar menadah tangan berdoa serta memohon keajaiban dari tuhan agar sesuatu itu berlaku.

Manusia diberikan akal untuk berfikir, dan dibekalkan kitab sebagai panduan. Kesinambungan antara naqli dan aqli ini menjadikan manusia suatu makhluk yang hebat bukan sahaja hebat di dalam urusan akidah dan keimanan kepada tuhan, namun hebat juga dalam membangunkan ilmu, membina ketamadunan dan menjadikan dunia suatu tempat yang indah undtuk didiami dan menjanjikan akhirat sebagai destinasi tujuan pengakhiran abadi.

Begitulah Al-Quran, menjadi panduan kepada manusia, dalam pada masa sama tidak menidakkan peranan akal yang diberi tuhan agar selaras penggunaan akal dan kalam Tuhan dan tidak pula ia bertentangan antara satu dengan yang lain. Semoga kita digolongkan Allah di kalangan manusia yang mencintai Al-Quran dan menggunakan hak sebaiknya berfikir dalam kehidupan seharian. 


Ust Abdul Halim Ismail
16 September 2019
16 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments