Siri Faham Islam - Siri 41 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Adab & Sikap Seorang Muslim Terhadap Al-Quran ; Keutamaan Muslim Memahami dan Menghayati Al-Quran

Allah SWT berfirman:

كِتٰبٌ أَنْزَلْنٰهُ إِلَيْكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا ءَايٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبٰبِ

"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."

(QS. Sad 38: Ayat 29)

Dalam kebanyakan masa, kecenderungan kita terhadap Al-Quran adalah sekadar membacanya sahaja. Atau dalam erti kata lain kita membaca Al-Quran mungkin sekadar mahu mendapatkan pahala membacanya sahaja dan mengejar untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak mana yang kita boleh. Lebih-lebih lagi didalam bulan Ramadan, program-program tadarus berlumba-lumba untuk membaca sebanyak juzuk yang boleh dalam sehari agar dapat segera mengkhatamkan Al-Quran sebelum menjelangnya akhir Ramadan.

Hal ini bukanlah suatu yang tidak baik, akan tetapi ia sepertinya kita terlupakan salah satu keutamaan lain Al-Quran iaitu untuk kita selain daripada membacanya, terdapat satu keperluan lain di satu sudut lain untuk kita mentadabburinya (menghayatinya) dengan memahami ayat-ayat yang dibaca.

Saidina Ali R.A berkata, "Tiada kebaikan didalam suatu ibadah adalah melainkan dengan ilmu, tiada kebaikan di dalam ilmu melainkan dengan pemahaman, dan tiada kebaikan dalam membaca Al-Quran melainkan dengan memahaminya." Salah satu cara kita menghayati Al-Quran adalah dengan membacanya dengan perlahan dan menghayatinya (dengan memahami maksudnya) serta tidak membacanya dalam keadaan tergesa-gesa. Atau boleh juga dilakukan dengan mengulang-ulangi bacaan yang sama sehingga difahami maksudnya untuk dihayati.

Imam Al-Ghazali menukilkan di dalam _Ihya Ulumuddin_ katanya terdapat empat perkara yang menyebabkan penghalang kepada pemahaman kita kepada Al-Quran.

  1. Apabila kita terlalu menumpukan kepada bacaan Al-Quran itu sahaja dengan memfokuskan kepada makhraj huruf dan hukum tajwid Al-Quran itu sahaja sehingga kita terlupa untuk menghayati maknanya.
  2. Sikap orang Islam yang sangat terikat kepada pendapat mazhab dan ketaksubannya terhadap mazhab tertentu bukan sekadar panduan sahaja dan akhirnya kurang mengamati dan pencarian sendiri terhadap pemahaman Al-Quran.
  3. Keadaan diri yang terus-menerus melakukan dosa dengan sifat sombong dan kecintaan kepada dunia menjadikan hati menjadi gelap untuk menerima dan menghayati Al-Quran.
  4. Mereka telah membaca tafsir yang lain, dan meyakini hanya tafsir tersebut merupakan makna yang disampaikan oleh Al-Quran dan selain dari pegangan tersebut maka tafsiran terhadap Al-Quran itu adalah salah melainkan tafsir yang difahaminya dari satu sumber itu sahaja.

Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, Al-Quran adalah kitab panduan umat sepanjang zaman. Maka berbetulan dengan itu seharusnya kefahaman terhadap isi kandungan Al-Quran adalah sepatutnya menjadi keutamaan kepada setiap Muslim. Membaca tanpa memahami seolah seperti burung kakak tua yang yang pandai berkata-kata tanpa ia sendiri pun tidak mengerti apakah yang diucapkannya. Begitulah Al-Quran yang kita akui sendiri ianya sebagai suatu manual panduan hidup, tapi dalam masa yang sama kita tidak mahu memahaminya. Suatu yang sangat jelek, tetapi itulah yang berlaku dalam kebanyakan dari kita hari ini. 

Di pasaran sudah banyak jenis terjemahan Al-Quran yang diusahakan oleh pengeluar dan pencetak Al-Quran. Tidak kurang juga khazanah tafsir yang dinukilkan oleh ulama silam dan tidak ketinggalan juga ulama kontemporari yang terus menerus cuba memahami kitab ini dalam konteks terkini agar Al-Quran sentiasa kekal relevan menjadi rujukan sepanjang zaman. Dan sebenarnya kita tidak ada satu alasan pun untuk mengatakan kita tidak punya sumber dalam usaha memahami isi kandungan kitab suci ini.

Apa yang harus kita tekankan adalah memperuntukkan masa khas agar kehidupan seharian kita dimasukkan masa untuk kita memahami Al-Quran. Tidak sukar mana kalau kita mengambil sekitar 20 ke 30 minit sehari memberi masa kepada diri sendiri untuk membaca Al-Quran dan menghayati maksudnya agar membuktikan ternyata benar Al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dan bukan sekadar kitab lubuk pahala membaca sekadarnya sahaja. 

Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan kemudahan di dalam usaha kita memahami Al-Quran. 

Allah SWT berfirman:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرٰىةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًۢا  ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئَايٰتِ اللَّهِ  ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِى الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, *samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).* Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim."

(QS. Al-Jumu'ah 62: Ayat 5)

Ust Abdul Halim Ismail
13 September 2019
13 Muharam 1441H
Bukit Baru, Melaka.

Post a Comment

0 Comments