Adab & Sikap Seorang Muslim Terhadap Al-Quran ; Keutamaan Muslim Menghafal Al-Quran
Allah SWT berfirman:
فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
"Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya)."
(QS. Ad-Dukhan 44: Ayat 58)
Sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) bermaksud
_Orang yang tidak mempunyai hafalan Al-Quran sedikit pun adalah seperti rumah kumuh yang sedang roboh._
Riwayat Tirmizi dari Ibnu Abbas (2914)
Tidak terhad hafalan Al-Quran itu sekadar mereka yang mahu menjadi ahli agama, atau mereka yang menjadi Huffaz (penghafal Al-Quran) sahaja. Tidak juga hanya para imam yang mahu mengimami solat yang perlu menghafal ayat-ayat Al-Quran tertentu. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah untuk semua. Ianya telah dipermudahkan Allah untuk setiap hambanya sama ada untuk dibaca, dipermudahkan juga untuk dihafal dan diingati.
Para penghafal Al-Quran mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Pada zaman Rasulullah, ketika mengumpulkan jenazah yang mati syahid dalam peperangan, Rasulullah akan meminta dibawa kepadanya para sahabat yang paling banyak hafalannya untuk disembahyangkan terlebih dahulu berbanding yang lainnya. Ini menunjukkan betapa amalan sebagai penghafal Al-Quran adalah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah dan sudah tentunya ianya lebih istimewa daripada mereka yang lain.
Maka adalah suatu yang baik bagi diri kita agar dapat menghafal, biarpun sedikit demi sedikit ayat-ayat ataupun surah-surah dari Al-Quran. Mungkin setidaknya sekadar untuk dibacakan ketika solat terutamanya solat malam (qiyamullail). Jangan sekadar mengharapkan anak-anak kita yang kita hantar ke sekolah-sekolah tahfiz sahaja untuk menghafal Al-Quran. Tanggungjawab menghafal Al-Quran itu tidak hanya terbeban pada mereka, akan tetapi juga ke atas kita sebagai seorang muslim yang biasa.
Mungkin tidak sehingga kepada Al-Quran seluruhnya, mungkin sekadar surah-surah tertentu. Bagus juga sekiranya menghafal kesemua Juzuk Amma yang boleh kita lazimi di dalam solat. Atau paling tidak, sekadar ayat-ayat tertentu untuk kita ingati, fahami dan hayati serta diulang-ulang sebagai zikir harian. Sesungguhnya tidak akan nyanyuk mereka yang sentiasa melazimi menghafal Al-Quran kerana otaknya telah dilatih selalu untuk mengingat.
_Institusi Tahfiz dan Masa Depan_
Dalam tradisi kaum Arab, anak-anak mereka dilatih menghafal keseluruhan Al-Quran sebelum usia 12 tahun. Namun ada diantara mereka sudah selesai menghafaz seawal usia kurang dari 10 tahun seperti yang dilakukan oleh Sheikh Yusof Al-Qardhawi. Walaupun ada yang berpendapat menghafal pada usia ini sepertinya sia-sia kerana ketidakmengertian mereka terhadap ayat-ayat ini. Namun ianya memberi kesan apabila mereka dewasa dan mudah untuk memetik ayat-ayat ini di dalam ingatannya sehingga mempermudahkan untuk mereka mempelajari agama yang banyak memetik dalil-dail dari Al-Quran.
Dari satu sudut yang lain, kami kurang bersetuju jika ada mana-mana di institusi Tahfiz yang sekadar mengajarkan ilmu hafazan Al-Quran sahaja kepada pelajar-pelajar mereka. Sedangkan didalam budaya Arab, hafazan Al-Quran hanya sekadar menjadi batu asas kepada pembelajaran seterusnya. Ilmu-ilmu lain juga harus dipelajari seperti sains, matematik dan lain-lain. Seeloknya, institusi-institusi tahfiz juga harus sealiran dengan sistem pendidikan arus perdana manakala hafazan Al-Quran menjadi salah satu silibusnya yang membezakan mereka dengan pelajar aliran lain. Kita dapat lihat ramai professional di negara di timur tengah seperti arkitek, doktor jurutera atau lain-lain profession, ramai di antara mereka adalah terdiri daripada penghafaz Al-Quran.
Di negara kita hari ini, institusi tahfiz tumbuh bagaikan cendawan. Ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak mereka menjadi penghafal Al-Quran di sekolah tahfiz. Namun begitu kami sedikit kesal, apabila pelajar-pelajar ini hanya sekadar belajar ilmu hafazan Al-Quran, tidak diberi ilmu-ilmu lain. Mereka tidak ada peluang dalam pasaran pekerjaan yang akhirnya mereka turut membuka sekolah-sekolah tahfiz baru yang sama kaedah pembelajaran yang mereka terima sebelum ini. Maka lahirlah lambakan sekolah tahfiz yang kurang berkualiti dan lebih malang apabila sekolah-sekolah ini tidak dipantau dari segi pembinaannya, aspek keselamatan apatah lagi sistem pendidikan, menjadikan kita bukan sekadar mempertaruhkan masa depan yang kabur untuk anak-anak ini, malahan turut mempertaruhkan nyawanya apabila mereka mendiami struktur bangunan yang tidak selamat.
Hal ini tidaklah berlaku kepada semua institusi tahfiz seluruhnya. Banyak institusi tahfiz pada hari ini yang menggabungkan sistem akademik dan aliran tahfiz. Usaha sebegini harus dipuji kerana ianya begitu ikhlas mendidik anak bangsa menjadi berkualiti dan bukan sekadar membuka sekolah untuk mengutip yuran bagi memenuhi kepentingan peribadi.
Semoga Allah memberi sebaik-baik kebaikan kepada mereka yang berusaha menghafal Al-Quran, juga kepada mereka yang mengajar orang lain untuk menghafal Al-Quran. Kita bermohon agar segala usaha itu dipermudahkan oleh Allah dan diberikan ganjaran yang sebaiknya.
Ust Abdul Halim Ismail
12 September 2019
12 Muharam 1441H
Putrajaya.
0 Comments