Siri Faham Islam - Siri 4 : Islam adalah negara tanah air ; Konsep tanah air di dalam Islam



Konsep Tanah Air

Tanah air juga selalu disebut sebagai watan merupakan suatu elemen asas kepada sesebuah negara. Ianya bermaksud tanah atau tempat mendiami bagi sesuatu bangsa, kaum, umat atau rakyat. Secara realitinya tidak ada negara yang terbina tanpa wilayah tanah air kerana setiap manusia yang lahir mempunyai tanah air sendiri yang mereka tidak boleh menafikan mempunyai tanah kelahiran sendiri. Atas dasar itu secara fitrahnya kecintaan kepada tanah air adalah sesuatu yang biasa dan lahir dari dalam hati setiap manusia.

Kecintaan terhadap tanah air ini selalunya dikaitkan dengan semangat nasionalisme iaitu dalam konteks nasionalisme ianya juga merangkumi kecintaan terhadap bangsa sendiri selain kecintaan terhadap tanah air. Namun begitu ada sesetengah pendapat bahawa kecintaan kepada tanah air atau semangat nasionalisme ini merupakan suatu yang haram dan tidak menepati ajaran Islam. Timbul persoalan di sini adakah pendapat ini benar?

Pendapat yang mengharamkan semangat nasionalisme itu sebenarnya merujuk kepada kecintaan kepada tanah air yang melampaui ketaatan kepada Allah. Dan ditambahkan pula kecintaan kepada bangsa yang akhirnya menjadi suatu semangat fanatik kaum atau asobiyah yang akhirnya menidakkan kebenaran kerana membela tanah air dan bangsa sendiri.

Jika diimbau kembali zaman Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda), kecintaan kepada tanah air ini wujud pada ketika itu. Yang mana baginda nabi ketika sekian lama berhijrah ke Madinah, sekiranya ada yang baru pulang dari Makkah, maka baginda akan bertanya mengenai tanah airnya itu. Sehinggakan apabila diceritakan tentang keadaan semasa Mekah baginda meminta orang itu berhenti bercerita kerana mendatangkan kesedihan dan kerinduan dan tidak mampu untuk mendengarnya lagi.

Sejarah kemerdekaan kita sendiri juga menunjukkan bahawa kecintaan tanah air ini dipelopori oleh tokoh-tokoh agama yang memperjuangkan tanah ini dari penjajah. Slogan Abdul Rahman Limbong "Tanah adalah hak Allah," antara sentimen agama yang penting menyebabkan ramai orang Melayu ikut turut sama berjuang berperang dengan penjajah pada ketika itu dengan mengharapkan syahid di medan perang kerana mereka percaya memperjuangkan tanah air adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Islam ketika itu sudah faham bahawa perjuangan mempertahankan tanah air merupakan suatu dari elemen keislaman.

Daripada semua perkara yang disebutkan tadi, jelas kepada kita bahawa mempertahankan dan membela tanah air adalah suatu tuntutan Islam yang mana paksinya juga mesti berasaskan kepada akidah dan mempertahankan kebenaran. Ianya juga semestinya tidak melampaui batasan tanggungjawab dan kecintaan kepada Allah. Asalkan tidak terlalu ekstrim dan akhirnya menimbulkan semangat asobiyah yang merosakkan kecintaan kepada tanah air ini. Ianya adalah suatu yang dituntut kerana sememangnya kecintaan kepada tanah air itu lahir dari hati yang merupakan sebahagian daripada fitrah manusia.

Post a Comment

0 Comments