Adab & Sikap Seorang Muslim Terhadap Al-Quran
Allah SWT berfirman:
إِنَّآ أَنْزَلْنٰهُ قُرْءٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
"Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya."
(QS. Yusuf 12: Ayat 2)
Al-Quran diturunkan didalam bahasa Arab sebagai bahasa pengantar kepada Islam itu sendiri. Sesiapa yang mahu memahami Islam maka adalah wajib baginya memahami bahasa Arab supaya kefahaman yang diperolehi adalah betul dan bertepatan dengan laras makna yang hendak dimaksudkan oleh Al-Quran. Dalam pada itu, sebagai muslim terdapat adab-adab dan sikap secara asas yang patut diamalkan atau dipraktikkan oleh umat Islam sebagai tindakbalas terhadap seruan Allah terhadap manusia tentang Al-Quran.
- Membaca Al-Quran sebagai amalan harian
- Keutamaan untuk menghafal Al-Quran tidak terhad kepada para Huffaz sahaja.
- Memahami maksud dan isi kandungan Al-Quran.
- Mengamalkan dan praktis prinsip yang terdapat dalam Al-Quran
- Keutamaan untuk menyampaikan Al-Quran kepada orang lain
_Membaca Al-Quran sebagai amalan harian_
Dalam kebanyakan pemahaman dalam masyarakat, membaca Al-Quran dengan betul dan bertajwid merupakan sesuatu yang wajib bagi seseorang muslim. Anak-anak muslim hari ini sekecil usia 4 tahun telah telah diajar mengaji Al-Quran. Membaca Al-Quran hari ini juga sudah menjadi suatu silibus wajib dalam sistem pendidikan di sekolah-sekolah. Namun dalam satu kajian yang dibuat, masyarakat Melayu muslim yang boleh membaca Al-Quran hanya sekitar 24 peratus sahaja berbanding 76 peratus lagi tidak mampu membaca Al-Quran pada usia dewasa.
Antara punca berlaku sedemikian adalah kerana walaupun setiap dari kita mendapat pendidikan yang sempurna semasa kecil dalam membaca Al-Quran, namun ianya terhenti sebaik sahaja khatam Al-Quran dan tidak menjadikan Al-Quran sebagai amalan pembacaan harian. Al-Quran ditinggalkan begitu sahaja dan mereka ini hanya akan teringat kembali untuk membaca Al-Quran jika telah masuk usia tua atau pra persaraan.
Ini adalah suatu penyakit masyarakat Islam yang harus diberikan solusi bagaimana sepatutnya Al-Quran diamalkan dalam kehidupan. Hari ini Al-Quran hanya dibaca di majlis-majlis tahlil atau di rumah yang terdapat orang yang mahu hampir mati. Sebilangan orang hanya teringat membaca Al-Quran ketika berasa takut melalui di tempat-tempat yang dikatakan berhantu. Ada juga sesetengah orang yang membaca Al-Quran ketika gusar dan gundah kerana suatu masalah yang melanda diri agar dapat menghilangkan rasa resah tersebut. Tidak kurang juga Al-Quran digunakan didalam merawat penyakit dengan mengambil ayat-ayat tertentu untuk menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Adakah sekadar ini pengamalan kita terhadap Al-Quran?
Allah SWT berfirman:
يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُمْ مَّوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."
(QS. Yunus 10: Ayat 57)
Tidak dinafikan Al-Quran adalah sebagai penawar kepada hati manusia, namun keutamaan dalam mengamalkannya adalah lebih utama daripada kita hanya melihat kepada Al-Quran apabila sampai dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Jika membacanya sahaja sudah sukar walaupun sekadar lima ke sepuluh minit sehari, bagaimana pula kita mahu melatih diri untuk mengamalkan ajaran dan rahsia-rahsia yang terkandung didalamnya.
Maka apa yang perlu kita amalkan didalam diri kita adalah menjadikan Al-Quran sebahagian daripada bacaan harian. Kita perlu memperuntukkan masa khas dalam memberi masa untuk membaca Al-Quran agar hati kita senantiasa disinari Al-Quran dan ianya akan menjadi peneman setia kita ketika di alam barzakh nanti.
Mungkin ada beberapa amalan yang boleh kami cadangkan di sini agak mudah diamalkan dalam seharian kita dengan Al-Quran. Pertamanya membaca Surah Al-Waqiah sebagai bacaan harian.
Dengan mengamalkan surah Al Waqi’ah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah akan menjauhkan kita kefakiran selamanya.
من قرأ سورة الواقعة في كل ليلة لم تصبه فاقة أبدا
“Barangsiapa membaca surat Al Waqi’ah setiap malam, maka dia tidak akan jatuh miskin selamanya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Waqi’ah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al- Baihaqi).
Keduanya mengamalkan membaca surah Al-Mulk setiap kali sebelum tidur.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.
Riwayat Ibn Majah (3786)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.
Riwayat al-Tirmizi (2890)
Ini adalah sebahagian daripada pengamalan mudah yang boleh dilakukan dalam pada mana kita mencari fadhilat membaca Al-Quran agar kita boleh mengamalkannya setiap hari. Kami akan mengupas lagi bagaimana sikap dan adab seseorang muslim terhadap Al-Quran sebagai umat istimewa yang mendapat kelebihan mukjizat nabi sehingga ke akhir zaman didalam siri yang akan datang.
Semoga kita digolongkan dikalangan mereka yang rajin membaca dan mengamalkan Al-Quran.
Ust Abdul Halim Ismail
11 September 2019
11 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.
0 Comments