Siri Faham Islam - Siri 38 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 7; Menyeru Manusia Supaya Saling Membantu Serta Membina Ketamadunan.

Allah SWT berfirman:

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ  ۚ وَأُولٰٓئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 104)

Antara seruan yang paling besar yang tidak boleh dinafikan yang terdapat didalam Al-Quran adalah seruannya kepada berbuat baik sesama manusia tidak kira sama ada di kalangan muslim atau bukan muslim dan mendorong manusia kepada pembinaan tamadun dengan memperbaiki akhlak manusia, serta menerapkan nilai-nilai akhlak bangsa yang bertamadun. Terdapat 5 ciri besar yang merujuk kepada pembinaan bangsa bertamadun yang diseru di dalam Al-Quran. 

_Membebaskan Manusia dari Amalan Perhambaan Sesama Manusia_

Hari ini kita melihat sistem perhambaan manusia sepertinya sudah tiada lagi, adalah antara hasil usaha baginda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) yang disokong dengan syariat dari Al-Quran menggalakkan manusia membebaskan hamba di kalangan manusia. Namun begitu dalam konteks moden sistem perhambaan tampaknya masih wujud. Jika kita lihat perhambaan manusia yang menjadi hamba seksual dalam sindiket pelacuran yang merosakkan kehidupan seorang manusia merdeka. Mereka ini bukan semuanya adalah yang sukarela akan tetapi terdapat di kalangan mereka yang dijual kepada sindiket sindiket ini. 

Maka barulah hari ini kita faham, mengapa syariat berzakat itu diperuntukkan juga kepada golongan ini sebagai asnaf riqab, yang perlu ditebus dan dibebaskan daripada belenggu perhambaan moden yang menjadikan diri mereka tidak merdeka.

Sesungguhnya manusia hanya layak menjadi hamba kepada tuhannya dan tidaklah sesuatu yang patut apabila manusia memperhambakan sesama manusia.

_Persaudaraan dan Persamaan Sesama Manusia_

Manusia pada hakikatnya mempunyai hak yang sama sesama manusia yang terbina atas dua perkara besar iaitu pertamanya; semua manusia adalah hamba kepada Allah tuhan yang satu dan keduanya semua manusia adalah datang dari bapa yang satu iaitu Adam Alaihissalam. Warna kulit, bahasa pertuturan, sempadan geografi tidak membezakan antara manusia kerana Tuhan menjadikan manusia berbilang bangsa agar manusia saling mengenali antara satu sama lain dan ini juga sebahagian daripada ujian kepada manusia supaya Allah dapat menilai siapa diantara mereka paling tinggi taqwanya. 

_Keadilan Bagi Seluruh Manusia_

Bukan sekadar kepada bangsa Arab sahaja, atau terhad kepada muslim sahaja, keadilan yang diseru oleh Al-Quran adalah untuk semua manusia. 

Allah SWT berfirman:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنٰتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتٰبَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ  ۖ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِالْغَيْبِ  ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, *dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan* dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

(QS. Al-Hadid 57: Ayat 25)

Hampir setiap ayat di dalam Al-Quran yang menyebut tentang keadilan tidak dispesifikkan hanya sekadar orang Islam. Ini kerana keperluan kepada keadilan adalah sifat fitrah manusia, dan Islam datang dengan menyuburkannya serta memegang teguh prinsip keadilan bukan sekadar untuk penganutnya tetapi juga kepada seluruh manusia. 

_Perdamaian Dunia_

Walaupun dalam kefahaman orientalis barat bahawa Islam adalah agama yang ditegakkan dengan pedang, namun suatu yang harus difahami adalah peperangan yang dianjurkan di dalam Islam adalah peperangan yang menuju kedamaian. Dan bukan bermudah-mudah di dalam ajaran Islam untuk memulakan suatu peperangan walaupun menerima kecaman yang kuat. Islam menetapkan bahawa peperangan boleh dimulakan hanya apabila suatu golongan itu memerangi Islam dengan menghalau orang Islam keluar dari tanah kediamannya. Dan ini garis besar batasan bagi umat Islam untuk memulakan peperangan dan selain dari sebab ini maka kita disyariatkan berdakwah dengan hikmah dan mencari jalan perdamaian selagi mana mampu untuk dibuat. 

Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهٰىكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقٰتِلُوكُمْ فِى الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِّنْ دِيٰرِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا إِلَيْهِمْ  ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

(QS. Al-Mumtahanah 60: Ayat 8)

Dalam hal ini kami kurang bersetuju dengan mana-mana pihak yang bermudah-mudah menjatuhkan kafir Harbi kepada sesetengah golongan bukan Islam kerana seruan dakwah. Ini kerana ruang memberi kefahaman kepada golongan ini masih banyak yang belum digunakan. Jalan perdamaian dan perundingan masih belum digunakan sepenuhnya untuk menambat hati non-muslim ini supaya tidak memperseterukan Islam dan umatnya. 

_Toleransi Dengan Non-Muslim_

Al-Quran dengan tegas membezakan kaedah bertoleransi dengan non-muslim dengan membahagikan mereka kepada dua pihak iaitu yang pertama adalah golongan _Muharribin_ (kafir Harbi) yang mana golongan ini adalah mereka yang memerangi secara jelas sehingga mengusir orang Islam dari tanah kediamannya seperti yang kami titipkan ayat dari surah Al-Mumtahanah  ayat 8 dan 9. 

Manakala golongan kedua adalah mereka yang tidak terlibat dengan golongan yang pertama tadi dan mereka didalam perdamaian sesama orang Islam di dalam sebuah negara yang juga didiami oleh orang Islam.

Islam melihat peperangan adalah sebagai jalan terakhir kepada sesuatu konflik yang tidak dapat diselesaikan. Kerana peperangan itu manusia sudah tidak lagi menjadi manusia, harta tidak lagi bernilai berharga dan nyawa juga tidak boleh dijaga sepertimana ketika manusia hidup di dalam aman. Seruan kepada kedamaian di dalam Al-Quran adalah lebih utama dan lebih banyak berbanding seruan kepada peperangan. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menjaga kesejahteraan umat manusia agar tidak bersengketa sesama sendiri malah sesama bukan Islam dan mengutamakan perdamaian berbanding seruan peperangan. 


Ust Abdul Halim Ismail
10 September 2019
10 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments