Siri Faham Islam - Siri 37 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 6;  Membentuk Manusia Yang Berlaku Adil Terhadap Manusia yang Lain.



Sebelum Islam datang di tanah Arab, bangsa ini amat terkenal dengan sikap berpuak dan kabilah serta saling berperang sesama mereka. Segala sesuatu keputusan kabilah itu bergantung kepada ketua kabilah yang menentukan akan sesuatu. Mereka berperang bukan atas dasar kebenaran, akan tetapi berperang atas dasar kabilah mereka tidak kira kebenaran itu berpihak pada mereka atau di pihak lawan. Mereka berperang tidak kira sama ada mereka dizalimi atau juga menzalimi kabilah lain. Sikap fanatisme atau asobiyyah ini sangat subur dikalangan bangsa Arab kerana mereka saling untuk mengungguli di atara satu sama lain.

Apabila datangnya Islam, Rasulullah meleburkan semua kekabilahan ini di atas satu perkara iaitu akidah mengimani Allah S.W.T. Rasulullah melarang para sahabat untuk memangil yang lain dengan panggilan kekabilahan atau sesuatu yang merujuk kepada keturunan seseorang kerana ianya mungkin bakal menimbulkan sentimen fanatisme terhadap kabilah akan kembali.

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلٰىٓ أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوٰلِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ  ۚ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلٰى بِهِمَا  ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوٰىٓ أَنْ تَعْدِلُوا  ۚ وَإِنْ تَلْوُۥٓا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

(QS. An-Nisa' 4: Ayat 135)

Kebenaran itu tidak mengira kaum atau bangsa. Ianya juga merentasi sempadan kekeluargaan atau pangkat dan kedudukan. Tiada siapa yang boleh menafikan akan kebenaran apa bila ianya telah duduk di satu tempat. Manusia seharusnya berpegang teguh kepada kebenaran akan sesuatu walaupun akhirnya ia tidak berpihak kepada dirinya. Tidak kira dalam apa jua situasi, mendepani kebenaran adalah suatu tuntutan Islam kepada semua muslim.

Kita cenderung menyalahkan pihak berkuasa yang mengambil tindakan menegakkan undang-undang sesuatu itu dan akhirnya kita menjadikan ianya sentimen bangsa. Atau mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang mungkin tidak berpihak kepada orang yang kita sokong sedangkan segala prosedur dan bukti telah pun dikemukakan untuk mengadili sesuatu kes itu. Mungkin juga kita mudah menyalahkan bangsa lain yang lebih ke depan sedangkan kita sendiri kurang usaha untuk maju dan bersaing dengan yang lain.

Segala apa yang belaku di dunia adalah kerana sunnatullah dan ianya adalah hukum alam yang telah tuhan tetapkan bukan sahaja pada manusia, tetapi juga kepada makhluk yang lainnya. Sudah menjadi hukum alam, mereka yang bersalah diadili, menjadi hukum alam juga mereka yang berusaha dengan betul akan maju diantara lainnya.

Al-Quran menekankan 4 sifat utama yang menjadikan manusia akhir zaman merupakan manusia yang istimewa berbanding umat terdahulu.

  1. _Rabbaniyyah_ - Umat yang berpegang atas akidah dan prinsip-prinsip ketuhanan sebagai perkara utama dalam setiap perkara.

  1. _Moderate_ - Dalam ertikata lainnya bersederhana atau tidak bersifat melampau atau ekstrim akan sesuatu. Mempertimbangkan sesuatu itu bukan sahaja memenuhi dan memuaskan hatinya sendiri, tetapi juga memikirkan kesan dan natijahnya terhadap orang lain.

Allah SWT berfirman:

وَكَذٰلِكَ جَعَلْنٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا  ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِى كُنْتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلٰى عَقِبَيْهِ  ۚ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ  ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمٰنَكُمْ  ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) *satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)* dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 143)

  1. _Dakwah_ - Mengajak orang lain kepada sesuatu yang baik adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Tidak cukup hanya sekadar menjaga ibadah sendiri, mengajak kepada sesuatu kebaikan juga disyariatkan juga kepada orang Islam.

Allah SWT berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم  ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 110)

  1. _Kesatuan_ - Merentasi sebarang sentimen bangsa, etnik, sempadan negara atau kelas sosial, kesatuan yang dianjurkan oleh Islam adalah atas dasar akidah dan melenyapkan perbezaan-perbezaan yang lain. Mungkin sesetengah perbezaan agak jelas dan sukar atau mustahil dipadam, namun budaya meletakkan perbezaan di tepi dan mengutamakan persamaan adalah sesuatu yang lebih patut difahami daripada bersengketa atas perbezaan yang sedikit.

Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ هٰذَا صِرٰطِى مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ  ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِۦ  ۚ ذٰلِكُمْ وَصّٰىكُمْ بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa."

(QS. Al-An'am 6: Ayat 153)

Inilah anjuran Al-Quran yang menerangkan bagaimana harus manusia hari ini hidup bersama dengan manusia yang lain, meletakkan keadilan atas asas iman, mencegah kemungkaran atas dasar kemanusian. Segala apa yang telah diterangkan, adalah sesuatu yang menjadi tuntutan, agar Islam ini tidak sekadar menjadi agama sekadar ibadah, akan tetapi melihat tuntutan yang lainnya sebagai suatu ajaran yang dianjurkan juga oleh agama langit ini.


Ust Abdul Halim Ismail
9 September 2019
9 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments