Siri Faham Islam - Siri 36 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 5;  Membentuk Keluarga dan Berlaku Adil Terhadap Wanita.



Allah SWT berfirman:

وَمِنْ ءَايٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً  ۚ إِنَّ فِى ذٰلِكَ لَءَايٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

(QS. Ar-Rum 30: Ayat 21)

Islam mengikat tali persaudaraan antara sesama manusia dengan mensyariatkan ikatan perkahwinan. Hanya perkahwinan di antara lelaki dan wanita sahaja diiktiraf di dalam Islam dan pasangan sejenis diharamkan oleh Allah kerana ianya menyalahi fitrah manusia yang diciptakan berkehendak hanya kepada lawan bukan sejenis.

Ikatan perkahwinan adalah pertalian yang kukuh dan kuat. Ianya menyatukan dua keluarga yang tidak ada pertalian dan menjadikan mereka bersaudara. Pengiktirafan terhadap pernikahan itu sahaja sudah sangat kuat untuk menyatukan dua manusia yang asalnya berbeza dari jalur keluarga yang berbeza akhirnya menjadi suami dan isteri yang sekiranya tiada ijab dan kabul pernikahan itu, perhubungan antara mereka adalah  perbuatan zina dan dianggap sangat jijik serta berdosa besar di sisi Islam.

Semua ini disyariatkan supaya manusia bakal melahirkan zuriat dan keturunan yang soleh serta taat kepada tuhan. Di samping itu ia juga bertujuan menjaga maruah wanita yang hanya dianggap sebagai pemuas nafsu syahwat sahaja oleh kaum Arab jahiliah pada ketika itu dan sangat rendah martabatnya di kalangan mereka. Sehinggakan mereka berasa malu jika isteri-isteri mereka melahirkan anak perempuan dan anak itu dibunuh hidup-hidup kerana ingin menutup rasa malu tersebut.

Al Quran sangat menekankan hal ini semua  agar kaum wanita terbela haknya dan manusia tidak memandang hina terhadap kaum wanita. Al-Quran juga menegaskan tentang kedudukan yang sama rata dalam hal kemuliaan wanita walaupun berbeza dari segi beban hukum kepada mereka. Kita dapat lihat juga betapa Al-Quran mengangkat martabat seorang ibu yang mengandungkan anaknya selama sembilan bulan dan disebutkan secara khusus di dalamnya;

Allah SWT berfirman:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسٰنَ بِوٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلٰى وَهْنٍ وَفِصٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِى وَلِوٰلِدَيْكَ إِلَىَّ الْمَصِيرُ

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

(QS. Luqman 31: Ayat 14)

Ini sangat jelas bahawa Al-Quran tidak mengkastakan kedudukan wanita di kalangan manusia, akan tetapi manusialah yang menjadi wanita ini dipandang hina suatu ketika dahulu. Walaupun pada hari ini, kebanyakan bangsa-bangsa di dunia sudah tidak terlalu mendiskriminasi wanita dalam masyarakatnya, dalam konteks hari ini kita perlu meletakkan kehormatan wanita di tempat yang sewajarnya. Kejadian-kejadian seperti salah-laku gangguan seksual terhadap wanita contohnya, haruslah ditentang dan diberikan keadilan secukupnya kepada pelaku yang melakukan perbuatan tersebut. Ini adalah suatu yang merendahkan martabat wanita sebagai manusia biasa yang diiktiraf sama tahap kemuliaannya antara manusia yang lainnya. 

Tidak ada bangsa, agama, hukum dan undang-undang yang memberikan hak sebaiknya terhadap wanita sebagaimana yang digariskan Islam kepada penganutnya. Manusia itu adalah sama, dan tiada apa yang membezakannya melainkan iman dan taqwa kepadanya. Menghormati kemuliaan wanita bukanlah menghina martabat lelaki, namun ia mengangkat lagi darjat lelaki ke tahap yang lebih tinggi kerana memberikan hak yang sebaiknya terhadap kaum yang lemah ini.

Ust Abdul Halim Ismail
6 September 2019
6 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments