Siri Faham Islam - Siri 35 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 4;  Membersihkan Jiwa Manusia.

Allah SWT berfirman:

هُوَ الَّذِى بَعَثَ فِى الْأُمِّيِّۦنَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ ءَايٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتٰبَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِى ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

(QS. Al-Jumu'ah 62: Ayat 2)


Antara perbicaraan Al-Quran yang lain adalah ianya berfungsi sebagai pembersih kepada jiwa manusia. Pembersihan jiwa ini adalah sesuatu yang menjadi keperluan manusia kerana jiwa manusia menjadi kotor adalah kerana melakukan kejahatan di atas muka bumi ini.  Maka risalah nabi yang berupa Al-Quran ini, mengajak umat menuju kepada ketaqwaan yang secara langsung akan dapat membersihkan jiwa manusia daripada kekotoran kejahatan yang telah dilakukan.

Perkataan _tazkiyyah_ (pembersihan) ini dari segi bahasanya mempunyai dua maksud asas. Yang pertama ia membawa maksud iaitu pembersihan dan yang kedua adalah pertumbuhan. Oleh Yang demikian, tugas nabi kepada bangsa arab pada ketika itu ada dua perkara iaitu; Pertamanya membersihkan akal mereka dari kesyirikan dan kebatilan dan membersihkan hati mereka dari kekerasan jahiliah serta membersihkan keinginan mereka dari nafsu binatang juga menjauhkan diri mereka dari melakukan perbuatan-perbuatan kotor.

Keduanya ; Rasulullah juga berperanan mengambangkan akal mereka dengan ilmu pengetahuan dan hati mereka dengan keimanan supaya ianya cenderung kepada amal soleh dan menjadikan akhlak mereka sebaik-baik manusia. Inilah tugas baginda nabi yang harus juga dipikul oleh semua muslim pada hari ini agar Islam ini dikatakan agama yang membawa rahmah daripada menghukum manusia dengan melabel mereka sebagai munafiq, ahli neraka dan sebagainya.

Allah SWT berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم  ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 110)

Pembersihan jiwa yang kami maksudkan di sini bukan bermaksud Al-Quran menjadi seperti menjadi penawar yang ditiupkan ke dalam air menjadi jampi dan menjadikan manusia menjadi baik atau menjadi lebih cerdik. Akan tetapi, Al-Quran mengandungi penerangan-penerangan yang jelas memberi manusia kefahaman yang betul tentang kewujudan tuhan dan membersihkan jiwa manusia daripada kepercayaan taghut dan karut marut serta diada-adakan manusia.

Perkara-perkara ini akhirnya menjadi suatu kepercayaan manusia sehingga ia ditokok tambah, lalu merosakkan pemikiran manusia mengenai ketuhanan dan pengibadatan kepada tuhan. Keajaiban Al-Quran bukanlah dengan kaedah ini yang nabi hendak tonjolkan akan tetapi penghayatan dan pemahaman terhadapnya merupakan intipati asas dalam memahami prinsip Al-Quran sebagai kitab yang memandu manusia ke jalan yang benar.

Pembersihan jiwa ini akan akhirnya membawa manusia kepada akhlaq yang baik yang merupakan nilai sebenar yang mahu ditonjolkan di dalam peribadi seseorang muslim. Akhlaq yang baik ini bakal menjauhkan lagi manusia daripada melakukan kejahatan dan lain-lain amalan kemunafiqan yang berkemungkinan boleh merosakkan keimanan dan ketaqwaan manusia kepada Allah S.W.T.


Ust Abdul Halim Ismail
4 September 2019
4 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments