Siri Faham Islam - Siri 34 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 3; Menyembah Allah dan Bertaqwa KepadaNya.

Jika kita semak dengan perlahan, helai demi helaian Al-Quran, kita akan dapati hampir tidak ada satu helaian pun di dalam kitab ini tanpa menyebut puji-pujian kepada Allah S.W.T. Kita diperingatkan tentang Allah tuhan yang menciptakan alam, tuhan yang memiliki segala puji-pujian, pemberi rezeki dan nikmat kepada manusia seluruhnya, yang maha mengampuni segala dosa dan kesalahan hambanya serta tuhan yang memiliki dunia dan akhirat tempat manusia diberikan balasan sama ada baik dan buruk atas amalan yang dilakukan di atas dunia.

Al-Quran dimulakan dengan puji pujian kepada Allah iaitu surah Al-Fatihah yang dikatakan intipati utama keseluruhan rahsia di dalam Al-Quran.

Allah SWT berfirman:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ
"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
"Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."

مٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ
"Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)."

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan."

(QS. Al-Fatihah 1: Ayat 1 - 5)

Kitab ini juga diakhiri dengan tiga Al-Mu'awwizat yang kita kenali sebagai 'tiga Qul' iaitu meminta perlindungan kepada Allah sebagai tuhan yang maha menguasai setiap sesuatu di alam ini yang mana manusia tiada daya sedikitpun terhadapnya tanpa izin dari Allah. Tiga surah tersebut adalah dari surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Lafaz Al-Jalalah (lafaz Allah) disebut sehingga 2697 kali sebagai penegasan tentang Tuhan yang menurunkan kitab ini dan lain-lain kata sifat seperti lafaz Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Alim, Al-Hakim, Al-Ghanniy, Al-Qadir dan lain-lain lafaz yang merujuk sifat Allah yang maha kaya dengan sifat terpuji dan kebesarannya yang maha hebat menunjukkan betapa kecilnya manusia dan lain-lain makhluk di alam ini.

Ini adalah kerana tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah untuk memperkenalkan Allah sebagai tuhan sebenar manusia serta menyambungkan komunikasi manusia terus kepada Allah tanpa ada sebarang perantaraan sepertimana kesyirikan yang berlaku sepanjang ketiadaan Nabi sebelum pengutusan nabi yang berikutnya di sepanjang sejarah peradaban manusia.


Ibadah, Manusia & Taqwa

Tidak ada agama lain selain Islam yang mengikat seseorang individu itu dengan ikatan yang kuat dengan pelbagai jenis ibadah. Ibadah diikat kepada seorang muslim secara harian seperti solat 5 waktu, secara mingguan seperti solat jumaat, secara tahunan seperti puasa Ramadan dan dikerjakan sekali seumur hidup seperti ibadah haji. Ada ibadah yang dikerjakan dengan tubuh badan seperti solat, ada berupa dengan harta seperti zakat dan sedekah. Kesemua ibadah ini adalah latihan yang menjurus kepada suatu perkara iaitu taqwa kepada Allah.

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِى خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 21)

Secara mudahnya taqwa itu bermaksud takut kepada Allah. Mencapainya adalah dengan melakukan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Ianya adalah bermula dari dalam hati dan Allah memerintahkan orang beriman agar bertaqwa terlebih dahulu sebelum mematuhi perintah-perintahnya yang lain.

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),"

يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ  ۗ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

"Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat (bertaqwa) kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."

(QS. Al-Ahzab 33: Ayat 70 - 71)

Taqwa ini menjadi kunci kepada ketaatan manusia kepada Allah. Ia juga menjadi motivasi dan mendorong kita dalam melakukan ibadat kepadaNya. Maka tidak sempurnalah ibadah itu jika ianya tidak melahirkan perasaan taqwa seperti kita meminum air teh tanpa gula maka kemanisan dan nikmat minuman itu sepertinya tiada. Begitulah diumpamakan taqwa, ianya adalah kemanisan hidup dalam keimanan yang akhirnya kita redha bahawa Allah adalah tuhan yang memiliki kita dan segala ketaatan adalah kerananya walaupun tiada sebab yang memenuhi kepentingan kita sebagai manusia dan semua ibadah itu adalah kerana Allah.

Tidak pula taqwa itu bererti sudah bebas daripada dosa dan orang-orang bertaqwa bukanlah menjadi malaikat suci tanpa dosa. Mereka juga manusia biasa yang kadangkala benar dan ada masanya berbuat dosa atas kealpaan mereka. Jika sekali mereka tergelincir dalam kemaksiatan, maka segeralah mereka bertaubat atas kesilapan dosa mereka. Itulah makna taqwa yang mana ia mengimbangi manusia dari terus menerus melakukan kemaksiatan dan kembali kepada Allah apabila sedar akan dosa yang telah dilakukan.

Dengan taqwa Allah memudahkan rezeki seseorang (At-Thalaq : Ayat 2-3), kerana taqwa dipermudahkan oleh Allah segala urusan (At-Thalaq : Ayat 4). Kita juga akan dilindungi dari tipu daya musuh kerana ketaqwaan (Ali- Imran : Ayat 120). Allah akan bersama memberi pertolongan dalam setiap usaha kita (Al-Baqarah : Ayat 194). Taqwa menjadikan kita mulia di sisi Allah (Al-Hujurat : Ayat 13) dan setiap amalan diterima Allah kerana ketaqwaan (Al-Maidah : Ayat 27). Inilah antara kelebihan sifat taqwa dalam diri yang dapat kami sebutkan di sini yang mana banyak lagi kelebihan orang bertaqwa yang disebutkan di dalam Al-Quran.

Tidak cukup sebagai muslim kita sekadar beriman, tetapi ketinggian iman kita dinilai dengan ketaqwaan kita kepada Allah. Inilah kunci sebenar keimanan kita sebagai seorang yang mengaku sebagai muslim dan membezakan iman kita dengan orang munafiq. Maka tidak hairan mengapa seruan bertaqwa ini diingatkan setiap kali di dalam khutbah Jumaat setiap minggu.


Allah SWT berfirman:

وَسَارِعُوٓا إِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 133)


Ust Abdul Halim Ismail
3 September 2019
3 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments