Siri Faham Islam - Siri 33 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 2; Menetapkan Kemuliaan Manusia dan Hak-haknya.



Hak-hak Manusia di dalam Al-Quran.

Sebelum berlaku Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights UDHR), Al-Quran telah pun menyebutkan hak-hak manusia di dalam Al-Quran. Perkara-perkara ini disebut dalam banyak ayat dan ianya bertepatan dengan fitrah manusia yang memerlukan hak tersebut untuk hidup bersama-sama dengan manusia lain tanpa ditindas di kalangan sesama manusia.

Antaranya disebutkan di sana hak untuk berfikir, mengkaji dan meneliti dan kebebasan dalam anutan agama, yang mana perkara ini juga termaktub dalam perkara 1 UDHR

Perkara 1
_Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan._

Manakala Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنَّمَآ أَعِظُكُمْ بِوٰحِدَةٍ  ۖ أَنْ تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنٰى وَفُرٰدٰى ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا  ۚ مَا بِصَاحِبِكُمْ مِّنْ جِنَّةٍ  ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُمْ بَيْنَ يَدَىْ عَذَابٍ شَدِيدٍ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)."

(QS. Saba' 34: Ayat 46)

Al-Quran juga menyebutkan beberapa tentang persamaan antara manusia tanpa dibezakan dengan warna kulit sepertimana yang disebut dalam perkara 2 UDHR. 

Perkara 2 UDHR
_Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, ugama, faham politik atau lain-lain fahaman, asal-usul bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain._

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَأُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا  ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقٰىكُمْ  ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

(QS. Al-Hujurat 49: Ayat 13)

Dalam ayat lain Al-Quran menyebutkan

لَآ إِكْرَاهَ فِى الدِّينِ  

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), 

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 256)

Al-Quran juga memberi hak untuk mencari rezeki dan bekerja kepada manusia

Allah SWT berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِىٓ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزْقِ  ۚ قُلْ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا فِى الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيٰمَةِ  ۗ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الْأَايٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 32)

Manakala disebutkan juga dalam UDHR dalam perkara 23

_Setiap orang adalah berhak kepada pekerjaan, kepada pemilihan pekerjaannya secara bebas, kepada keadaan-keadaan pekerjaan yang adil dan berfaedah baginya dan kepada perlindungan daripada pengangguran._

Dan banyak lagi jika ingin kami senaraikan di sini, tentang hak-hak asasi yang telah disebutkan oleh Al-Quran lebih awal, daripada apa yang difikirkan oleh manusia sehingggalah termaktubnya deklarasi ini yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. Kita semua maklum, bahawa deklarasi ini digarab hanya apabila telah berlaku pelbagai penindasan dan ketidakadilan yang berlaku di kalangan manusia sehinggakan memaksa manusia menyusun deklarasi ini. Sedangkan Al-Quran telah menyebutkan hal ini lebih awal daripada itu.

Bahkan Al-Quran juga telah menambah agar dibela juga golongan kaum yang lemah dan miskin yang telah banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Hari ini Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu telah melancarkan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals (SDG) yang bertujuan membela golongan lemah dan miskin.

Allah SWT berfirman:

أَرَءَيْتَ الَّذِى يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?"

فَذٰلِكَ الَّذِى يَدُعُّ الْيَتِيمَ
"Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,"

وَلَا يَحُضُّ عَلٰى طَعَامِ الْمِسْكِينِ
"Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin."

(QS. Al-Ma'un 107: Ayat 1 - 3)

Ini juga yang terkandung di dalam perkara Pertama dan Kedua SDG yang mana matlamatnya untuk menghapuskan kemiskinan dan ke arah sifar kelaparan. Semuanya telah disebutkan Al-Quran terlebih dahulu sebelum manusia sedar yang ianya adalah hak yang sepatutnya diberikan sama rata sesama manusia kerana ianya adalah keperluan asas manusia untuk hidup dan sewajibnya manusia tidak menindas antara satu sama lain.

Islam adalah agama yang adil, ia membela hak orang Islam, juga mempertahankan hak bukan Islam sebagai manusia yang berhak hidup di atas muka bumi. Orang yang menerima kebenaran hendaklah berdakwah kepada yang belum beriman, bukan memerangi mereka dan menafikan hak mereka untuk hidup di muka bumi tuhan. Inilah kecantikan dan kehebatan Tuhan menjadikan manusia yang pelbagai, agar kita saling melengkapi antara satu sama lain.


Ust Abdul Halim Ismail
3 September 2019
3 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments