Siri Faham Islam - Siri 32 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 2; Menetapkan Kemuliaan Manusia dan Hak-haknya.

Kemuliaan Manusia Diiktiraf Al-Quran


وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنٰهُمْ فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنٰهُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلٰى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan."

(QS. Al-Isra' 17: Ayat 70)


Suatu keistimewaan yang dimiliki manusia adalah kerana Tuhan sendiri yang menjulang martabat manusia sebagai makhluk yang menjadi khalifah di muka bumi ini ditaklifkan kepadanya untuk menjadi makhluk yang mengurus alam ini. Keistimewaan ini tidak diberi kepada makhluk yang lainnya walaupun kepada malaikat yang dikatakan lebih taat daripada manusia dalam menurut perintah Allah.

Oleh kerana Allah telah mengiktiraf darjat kemuliaan manusia, maka Al-Quran menjadi kitab yang menegur atau menempelak golongan-golongan manusia yang menjatuhkan kredibiliti kemuliaan manusia atas perbuatan-perbuatan tertentu.

Al-Quran menempelak orang yang berlebihan dan mengharamkan nikmat dan perhiasan dunia terhadap diri mereka.

Allah SWT berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِىٓ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزْقِ  ۚ قُلْ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا فِى الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيٰمَةِ  ۗ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الْأَايٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 32)

Al-Quran juga telah menempelak golongan yang menghinakan diri mereka dengan menyembah makhluk lain selain Allah padahal kedudukan manusia itu adalah lebih mulia daripada makhluk yang lainnya. 


Allah SWT berfirman:

وَمِنْ ءَايٰتِهِ الَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ  ۚ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِى خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah."

(QS. Fussilat 41: Ayat 37)

Al-Quran juga melarang orang yang membabi buta mengikut kepada pemimpin sehingga tidak menggunakan akal untuk berfikir dan menyerahkan segalanya kepada pimpinan. Tidak kurang juga yang 'mempertuhankan orang-orang alim' serta mematuhinya meskipun hingga ke tahap mengharamkan yang halal serta sebaliknya. 

Allah SWT berfirman:

وَقَالُوا رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

"Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar."

(QS. Al-Ahzab 33: Ayat 67)


Allah SWT berfirman:

اتَّخَذُوٓا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبٰنَهُمْ أَرْبَابًا مِّنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا إِلٰهًا وٰحِدًا  ۖ لَّآ إِلٰهَ إِلَّا هُوَ  ۚ سُبْحٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ

"Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan."

(QS. At-Taubah 9: Ayat 31)

Daripada dalil-dalil yang telah kami berikan, maka jelaslah bahawa kepada kita, sebagai manusia yang diangkat martabat kemuliannya. Tidak seharusnya kita menghinakan diri kita dengan melakukan kesyirikan kepada Allah, mengharamkan sesuatu yang telah diberikan nikmat kepada kita dan juga tidak menggunakan akal dengan sebaiknya dan sebaliknya hanya mengikut kepada pemimpin tertentu walau sekalipun mereka itu sebagai ahli agama yang dikatakan hampir dengan tuhan, sedangkan telah jelas dan nyata mereka itu memperalatkan orang lain dalam mencapai matlamat diri sendiri sahaja. Sesungguhnya manusia itu adalah sama, tiada yang beza melainkan amal dan taqwanya kepada Allah. Tidak seharusnya manusia itu merendahkan akalnya dalam berbuat sesuatu kerana itulah penghinaan sebenar terhadap kemuliaan manusia yang telah tuhan berikan darjat yang tinggi berbanding makhluk lain di muka bumi ini.

Semoga Allah menjadikan manusia yang sentiasa memanfaatkan akal dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik atau sebaliknya.


Ust Abdul Halim Ismail
2 September 2019
2 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments