Siri Faham Islam - Siri 31 : Asas Kedua ; Al-Quran & Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Meluruskan Akidah & Kepercayaan

Tema-tema Utama Perbincangan Al-Quran : Tema 1; Meluruskan Akidah & Kepercayaan

Tiada sumber yang lebih primer berkenaan dengan isu-isu tauhid melainkan ianya datang sendiri dari tuhan yang menciptakan sekalian alam. Al-Quran bukanlah kitab suci pertama yang diturunkan kepada manusia mengajarkan tentang keesaan Tuhan, yang mana apabila kitab-kitab terdahulu yang telah tercemar dengan tangan-tangan manusia dan akhirnya fahaman ketuhanan telah disadur dengan kepercayaan paganisme dan animisme yang merosakkan akidah manusia. Maka Al-Quran adalah kitab terakhir yang akan memperbetulkan akidah manusia yang tersesat daripada menjadikan berhala-berhala dan makhluk-makhluk lain di dalam dunia dipertuhankan.



Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ لُقْمٰنُ لِابْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ  ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

(QS. Luqman 31: Ayat 13)


Inipati utama dalam pokok perbincangan akidah adalah menentang kesyirikan manusia daripada menyekutukan Allah dari segenap segi. Penekanan ini diberitahu berkali-kali di dalam Al-Quran dengan memberitahu keuntungan golongan yang beriman dan azab kepada golongan yang mengamalkan kemusyrikan di dalam hidup mereka. Golongan yang paling banyak disebut dalam melakukan kemusyrikan adalah golongan Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang mana kaum Yahudi digambarkan sebagai orang yang engkar kepada Tuhan walau dalam keadaan mereka mengetahui manakala golongan Nasrani termasuk di kalangan mereka yang sesat namun tetap tidak mahu menerima kebenaran walaupun sudah diberitahu kebenaran sebenar.

Selain itu Al-Quran juga memurnikan semula tentang kenabian dan risalah yang dibawa oleh nabi-nabi sebelum Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda). 

Allah SWT berfirman:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّۦنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ  ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ الْبَيِّنٰتُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ  ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ 
مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِۦ  ۗ وَاللَّهُ يَهْدِى مَنْ يَشَآءُ إِلٰى صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ


"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 213)

Tidak ada beza risalah para nabi bermula dari Adam Alaihis Salam sehingga Rasul terakhir Muhammad (Selawat dan salam atas baginda) mengenai ajaran tauhid mengajar tentang tuhan yang satu. Cuma yang berbeza adalah syariat dan ibadat mengikut kesesuaian kaum pada ketika itu. Al-Quran juga mengesampingkan tuduhan-tuduhan buruk yang dilemparkan kepada nabi-nabi sebelum ini mengatakan mereka adalah pendosa seperti manusia biasa sehingga menuduh para nabi sebagai penzina dan sebagainya. Kitab ini mengangkat semula martabat rasul yang telah direndahkan oleh kaum yang tidak mahu menerima kebenaran dan memfitnah para rasul sehingga ada diantara mereka yang dibunuh.

Al-Quran juga adalah sebagai pemberi peringatan tentang balasan mereka yang beriman dan azab kepada mereka yang tidak beriman. Diberitahu tentang kewujudan syurga dan neraka agar memberikan rasa pesona kepada yang beriman dan rasa gerun kepada yang musyrik. Ia juga mengingatkan tentang penciptaan alam yang besar disamping membandingkan apa yang diciptakan manusia adalah kecil dan tidak mempunyai nilai jika dibandingkan dengan ciptaan Allah.

Maka jelaslah kepada kita apa yang telah diberitahu kepada kita di dalam Al-Quran mengenai perkara yang ghaib dan tidak dapat dilihat adalah asas kepada akidah dan kepercayaan kita. Manakala apabila sesuatu itu tidak diberitahu, namun terdapat pendapat dari para ulama mengenai perkara ghaib itu, maka kekhilafan tentang itu tidak seharusnya dibincangkan secara berjela kerana kebenarannya hanyalah Tuhan sahaja yang tahu. Maka pendapat-pendapat tersebut kekal tinggal sebagai pendapat yang mana hanya Allah sahaja yang mengetahui hakikat sebenar perkara tersebut.


Ust Abdul Halim Ismail
1 September 2019
1 Muharam 1441H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments