Siri Faham Islam - Siri 29 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Al-Quran adalah Kitab Suci Untuk Sepanjang Zaman

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman : Ciri Keenam; Al-Quran adalah Kitab Suci Untuk Sepanjang Zaman



Oleh kerana Al-Quran ini adalah merupakan kitab yang menjadi sumber rujukan utama kepada nas agama dan hukum, maka semestinya kandungannya perlu terus relevan sepanjang zaman. Ini kerana tidak ada lagi nabi yang akan diutuskan lagi selepas Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda), yang akan memperbaharui hukum-hakam yang berupa perintah dari tuhan.

Kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini merupakan bersifat hanya spesifik terhadap sesuatu kaum, dan diperbaharui apabila datangnya nabi-nabi yang lain yang membawa syariat baru. Terdapat juga kitab / mushaf yang diturunkan hanya untuk kaum-kaum tertentu sahaja. Maka seperti yang telah kami sebutkan sebelum ini bahawa Al-Quran sebagai sebuah kitab yang terpelihara, maka semestinya juga ia juga membawa sesuatu bersifat universal dan mampu digunapakai isi kandungannya sehingga akhir dunia.

Suatu yang mesti kita fahami bahawa, segala isi kandungan Al-Quran itu bukan hanya untuk dijadikan pengajaran hanya pada waktu tersebut, akan tetapi ianya adalah untuk panduan sepanjang zaman. Kisah-kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran juga merupakan suatu yang perlu diambil iktibar sebagai nasihat untuk pada semua masa dan tidak hanya kerana untuk kaum tertentu atau pada masa tertentu sahaja.

Sesetengan pihak beranggapan bahawa Al-Quran itu diturunkan atas asbabun nuzulnya (sebab turun Quran) sahaja dan tidak boleh digunapakai dalam kehidupan hari ini. Pemikiran ini merupakan sesuatu yang tidak tepat kerana Al-Quran diturunkan untuk sepanjang zaman dan hukum yang tetap itu akan terus kekal, dan terdapat juga hukum yang bersifat ijtihad yang boleh berubah mengikut peredaran zaman.

Mana-mana pihak yang mengatakan Al-Quran adalah kitab yang membawakan peradaban kuno dan sudah tidak relevan pada masa kini haruslah ditentang kerana pengekalan Al-Quran itu sebagai kitab akhir zaman telah dimuktamadkan semasa diutuskan Nabi Muhammad sebagai rasul terakhir yang membawa syariat langit yang datangnya dari Tuhan sebenar pencipta sekalian alam.

Para ilmuan pasca Nabi Muhammad (selawat dan salam atas baginda) telah menggariskan apakah perkara-perkara rigid dan fleksibel dalam kaedah menentukan hukum Quran yang mana bersifat berubah, dan mana-mana kandungan yang lain bersifat qat'ie (tetap) dan tidak boleh berubah walau dalam apa keadaan masa dan zaman sekalipun. Sebagai contoh pengharaman babi sebagai haiwan yang haram dimakan adalah bersifat tetap dan tidak berubah, dan mungkin dalam kebanyakan hal berkaitan dengan muamalat seperti sistem kewangan atau fiqh zakat bakal berubah mengikut peredaran zaman, sesuai dengan keadaan masyarakat dan aras pemikiran masing-masing.

Ust Abdul Halim Ismail
29 Ogos 2019
28 Zulhijjah 1440H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments