Siri Faham Islam - Siri 28 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Al-Quran adalah Kitab Suci Agama Keseluruhannya

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman : Ciri Kelima; Al-Quran adalah Kitab Suci Agama Keseluruhannya.

Dalam konteks agama, Al-Quran dilihat sebagai sebuah kitab yang mengasaskan segala urusan agama di dalamnya. Tiga perkara utama yang menjadai topik perbincangan Al-Quran adalah

  1. Perkara-perkara yang berkaitan akidah
  2. Perkara-perkara yang berkaitan dengan syariat / hukum
  3. Perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlaq.

Akidah di dalam Al-Quran

Suatu masa dahulu ahli kalam (ahli falsafah) berpendapat bahawa dalil-dalil dalam Al-Quran hanya sekadar nas biasa sahaja yang tidak mengandungi bukti akal yang dapat memberi penerangan kepada mereka yang mencari kebenaran. Sedangkan ini merupakan suatu tanggapan yang salah di mana Al-Quran juga mengandungi bukti naqli (nas) dan aqli (akal) sebagai hujah dalam menyampaikan kebenaran. 

Allah SWT berfirman:

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَىْءٍ أَمْ هُمُ الْخٰلِقُونَ
"(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?"
(QS. At-Tur 52: Ayat 35)


أَمْ خَلَقُوا السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ  ۚ بَل لَّا يُوقِنُونَ
"Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya)."
(QS. At-Tur 52: Ayat 36)

Al-Quran memberi bukti akan kewujudan Allah sebagai Tuhan yang menciptakan alam dan segala apa yang ada di dalamnya. Ia juga memberi khabar tentang Allah mengenai yang ghaib yang ada padanya serta memberikan bukti akal akan kewujudannya agar manusia dapat menerima kebenaran kewujudan tuhan. Al-Quran mengkhabarkan hakikat-hakikat tauhid agar dapat diimani manusia sama ada dengan jalan nas naqli ataupun aqli. 

Syariat & Hukum di dalam Al-Quran

Selain akidah, Al-Quran juga menjadi sumber hukum dan pensyariatan akan sesuatu sama ada berkaitan dengan ibadat iaitu hal-hal urusan manusia dengan Tuhan dan perkara-perkara muamalat iaitu hal-hal urusan manusia dengan Allah. Al-Quran adalah sebagai rujukan primer bagi kedua perkara besar ini yang merangkumi keseluruhan hidup manusia. Syariat adalah sisi agama mengenai pengamalan manusia manakala akidah pula adalah sisi agama mengenai keimanan dan kepercayaan manusia terhadap Tuhan yang menjadikan dan mentadbir alam.

Perkara ibadat yang disyariatkan kepada manusia disebut di dalam Al-Quran sama ada secara terperinci atau tidak. Jika tidak secara terperinci, ibadat itu akan diterangkan oleh baginda Muhammad (selawat & salam ke atasnya) dan perkara ini terdapat di dalam sunnah dan hadis tinggalan beliau. Perkara ibadat yang dimaksudkan adalah seperti solat, puasa, zakat haji dan lain-lain ibadat yang disyariatkan Allah.

Dalam perkara muamalat ianya merangkumi perkara-perkara seperti hubungan kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, pewarisan dan lain-lain lagi. Ianya juga merangkumi tentang hal-hal pemerintahan, kewajipan melantik ketua dan lain-lain prinsip tentang hak dan kewajiban dalam bernegara. Dalam kebanyakan ayat hal-hal seperti ini hanya disebut secara umum mengenai prinsip-prinsip asas yang harus dipegang manusia, dan perinciannya adalah berdasarkan ijtihad dan kebijaksanaan manusia itu sendiri.



Akhlaq di dalam Al-Quran

Al-Quran banyak menyebut ciri-ciri manusia yang baik yang mendapat balasan syurga di ahkhirat. Hal ini dapat dicapai sekiranya selain daripada seseorang itu mengimani akidah yang benar, beramal dengan amalan yang benar dan bersikap dengan akhlak yang baik. Banyak ayat-ayat yang menerangkan ciri-ciri manusia yang baik seperti ;

Allah SWT berfirman:

فَئَاتٰىهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْأَاخِرَةِ  ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
"Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 148)


وَكَأَيِّنْ مِّنْ نَّبِىٍّ قٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا  ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرِينَ

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 146)

Dapat disimpulkan di sini bahawa, tiga perkara asas dalam agama adalah bersumberkan dari Al-Quran yang mana Islam tidak seperti mana-mana agama atau fahaman lain yang kadangkala hanya bersifat falsafah sahaja yang hanya datang daripada nukilan pemikiran manusia dan bukannya daripada langit. Maka jelaslah bahawa Al-Quran ini merupakan kitab panduan sepanjang zaman dan merupan kitab suci secara keseluruhan sepanjang zaman.


Ust Abdul Halim Ismail
28 Ogos 2019
25 Zulhijjah 1440H
Bukit Katil, Melaka.
 

Post a Comment

0 Comments