Siri Faham Islam - Siri 27 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Al-Quran Kitab Suci Yang Dipermudahkan Kefahaman Terhadapnya

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman : Ciri Keempat; Al-Quran Kitab Suci Yang Dipermudahkan Kefahaman Terhadapnya




Allah SWT berfirman:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

"Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya)."

(QS. Ad-Dukhan 44: Ayat 58)

Tidak seperti kitab-kitab suci di dalam lain-lain agama, yang mana ianya bersifat eksklusif kepada golongan tertentu yang biasanya hanya ahli agama sahaja yang layak untuk membaca kitab suci agama mereka. Akan tetapi Al-Quran diturunkan untuk semua umat manusia yang sesiapa sahaja layak membacanya dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja yang layak membaca Al-Quran. 

Ianya adalah sebuah kitab yang mudah difahami dengan maksud yang langsung yang walaupun padanya terdapat penggunaan gaya bahasa yang tinggi, namun ia masih boleh difahami oleh golongan biasa untuk memahami membacanya. Al-Quran bukanlah seperti kitab falsafah yang mempunyai gaya bahasa yang terlalu tinggi sehingga terlalu sukar difahami manusia, malahan ketinggian bahasa yang mempunyai misalan yang logik serta jelas menjamin ianya terus mudah difahami dari zaman berzaman. 

Apa yang membezakan adalah aras dan laras pemikiran manusia dalam memahami dan menafsirkan ayat Al-Quran. Oleh kerana itu, adalah suatu yang tidak berapa tepat sekiranya kita hanya bergantung pada satu-satu tafsir Al-Quran sahaja yang dikarang oleh ulama. Malahan kepelbagaian dalam kita meneliti tafsir-tafsir tersebut dapat menambahkan lagi pemahaman yang lebih jitu sesuai dengan kerangka masa dan tempat dalam memahami Al-Quran. Dalam pada itu juga, sesuatu tafsir itu mungkin benar dan mungkin salah kerana ianya ditaakul oleh manusia biasa yang terdedah dengan kesilapan. Maka tidak menjadi kesalahan jika kita menolak pendapat sesuatu yang ditafsirkan oleh ulama itu kerana tafsir adalah wacana kepada suatu ayat Al-Quran yang ditulis manusia berdasarkan pengukuhan dalil-dalil lain dengan ayat Al-Quran ataupun sunnah Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda). Namun begitu, haruslah seseorang itu mempunyai hujah yang tuntas dalam menolak sesebuah pandangan agar ianya masih berlegar dalam landasan ilmu dan bukan didasari oleh nafsu atau kepentingan diri sendiri sahaja. 

Sebagai manusia biasa, tidak menjadi kesalahan sekiranya kita cuba memahami Al-Quran dalam aras pemikiran biasa sahaja kerana Allah telah janjikan Al-Quran itu suatu yang telah dipermudahkan oleh Allah kepada manusia untuk memahaminya. Namun begitu adalah lebih baik juga kita mempelajari ilmu-ilmu alat seperti _nahu dan balaghah_ di dalam bahasa Arab untuk memperkaya lagi pemahaman kita serta mengamalkan nilai dan ajaran yang dibawakan Al-Quran kepada kita. Jika Al-Quran itu suatu yang sukar difahami, lihatlah pelbagai kisah dan bukti golongan non-muslim yang membaca Al-Quran akhirnya memahami dan menerima agama Islam sebagai agama yang sebenar didatangkan oleh tuhan kepada manusia. 

Walaupun terdapat perbahasan di dalam memahami serta menafsirkan ayat mutasyabihat, iaitu ayat yang tidak terus boleh difahami jika kita membacanya kerana mengandungi perkara yang sukar ditakwilkan dengan sekali baca sahaja. Akan tetapi ianya bukanlah penghalang bagi kita untuk terus berusaha memahami Al-Quran kerana para ilmuan sudah menegaskan agar dijauhi perbincangan ayat-ayat jenis ini kerana hanya mengundang perbalahan sedangkan hanya Allah mengetahui akan perkara sebenarnya dan pendapat itu kekal sebagai pendapat yang difikirkan oleh aras akal manusia yang lemah. 

Oleh yang demikian, berusahalah kita untuk memahami Al-Quran, kerana khazanah ulama dalam menafsirkan Al-Quran adalah banyak dan ternilai harganya kepada keilmuan umat. Sikap yang mengatakan agama ini tidak boleh dipelajari hanya dengan kitab dan buku sahaja adalah suatu yang tidak tepat kerana awal mula penurunan Al-Quran lagi tuhan telah tegaskan, Bacalah! Dengan nama tuhanmu, yang menjadikan segala sesuatu. Maka membaca adalah satu kaedah dan metodologi terbaik yang disarankan oleh Al-Quran sejak dari awal pensyariatan Islam lagi. 


Ust Abdul Halim Ismail
27 Ogos 2019
25 Zulhijjah 1440H
Bukit Katil, Melaka.
 

Post a Comment

0 Comments