Siri Faham Islam - Siri 26 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Al-Quran Kitab Suci Yang Menjadi Mukjizat

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman : Ciri Ketiga; Al-Quran Kitab Suci Yang Menjadi Mukjizat

Antara lain sifat dan karakteristik Al-Quran ialah sifatnya yang menjadi mukjizat kepada umat manusia yang masih boleh dilihat pada hari ini. Mukjizat yang ingin dinyatakan di sini bukanlah Al-Quran itu sekadar digunakan sebagai ayat untuk menjampi air atau menghalau hantu seperti dalam pemahaman dalam kebanyakan masyarakat pada hari ini, tetapi kemukjizatan Al-Quran itu adalah kerana kandungannya yang mampu menceritakan sesuatu yang melangkaui zaman dan menerangkan sesuatu itu melebihi aras pemikiran biasa manusia. 

Allah SWT berfirman:

 غُلِبَتِ الرُّومُ . فِىٓ أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِّنۢ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ

"Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -"

(QS. Ar-Rum 30: Ayat 2 - 3)



Antara ayat yang menceritakan tentang masa depan adalah mengenai Rom yang bakal dikalahkan menunjukkan kemukjizatan Al-Quran sejak dari zaman baginda Rasulullah masih lagi dalam proses menyampaikan dakwahnya di kalangan bangsa Arab pada ketika itu ketika mana kerajaan Rom merupakan kerajaan yang sangat kuat dan hampir mustahil untuk dikalahkan. 

Antara kemukjizatan Al-Quran yang lain adalah kehebatan gaya bahasanya yang dikatakan melangkaui kehebatan kesusasteran bangsa Arab pada ketika itu yang sangat masyhur dengan karangan syair-syair Arab. Sehinggakan dikatakan mana-mana syair terbaik pada ketika itu ditampalkan di dinding Kaabah sebagai tatapan umum dan menghargai karya sastera tersebut. Segalanya berubah bila datangnya Al-Quran apabila bukan sahaja gaya bahasanya yang hebat, tetapi kandungannya yang mengandungi perkara yang menyentuh soal kehidupan manusia dan melebihi tahap pemikiran semasa pada masa tersebut menunjukkan ketinggian dan ianya bukan karya biasa-biasa serta lebih pelik lagi datang dari seorang yang buta huruf tidak tahu membaca dan menulis. 

Tidak kurang juga mukjizat Al-Quran ini dilihat dari sudut ilmiah sains yang menerangkan tentang sesuatu yang belum dibuktikan lagi oleh sains manusia. Proses kejadian manusia, kejadian hujan dan lain-lain lagi antara yang telah disebut Al-Quran ratusan tahun lebih awal lagi sebelum pembuktian sains oleh manusia. 

Namun begitu, mukjizat terpenting Al-Quran adalah ianya adalah bukti yang paling besar akan kenabian Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) dalam dalam pada masa sama ianya adalah hidayah dan Rahmah kepada umat manusia, di mana ajaran Islam itu terkandung didalam Al-Quran itu sendiri. Ianya sangat berbeza dengan mukjizat tongkat nabi Musa, atau kebolehan berjalan di atas air oleh Nabi Isa, atau lain-lain mukjizat yang boleh dilihat dengan mata oleh umat pada ketika itu. Akan tetapi mukjizat tersebut tidak ada kaitannya dengan ajaran nabi itu sendiri dan hanya untuk melahirkan rasa takjub mereka sebagai pembuktian kenabian atas mukjizat tersebut. 

Inilah keistimewaan Al-Quran yang menjadi mukjizat dan mempunyai di dalamnya ajaran Islam itu sendiri malah disebabkan itu ianya dikekalkan sehingga ke akhir zaman yang mana mukjizat nabi terdahulu terhenti pada masa hidup nabi tersebut, sedangkan Al-Quran terus hidup zaman berzaman menjadi panduan kepada manusia yang mengimani Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai utusan dan pesuruhnya. 

Ust Abdul Halim Ismail
26 Ogos 2019
24 Zulhijjah 1440H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments