Siri Faham Islam - Siri 25 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Al-Quran Kitab Suci Yang Terpelihara

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman : Ciri Kedua; Al-Quran Kitab Suci Yang Terpelihara



Allah SWT berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحٰفِظُونَ

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."

(QS. Al-Hijr 15: Ayat 9)

Tidak ada satu kitab pun sebelum Al-Quran yang boleh ditentusahkan kesahihannya selepas kewafatan nabi yang membawa mushaf atau kitab tersebut. Jika ditelusuri sejarah kitab Taurat dan Injil, ianya telah mengalami kerosakan yang teruk disebabkan dicampurkan dengan tulisan tangan dari akal pemikiran manusia yang mencipta kepentingan dalam agama menjadikan agama itu sebagai hak eksklusif golongan agamawan dan bangsawan tertentu.

Antara kecelaruan yang dapat dilihat pada kitab-kitab ini adalah pertamanya cetakan yang tidak seragam antara cetakan. Ianya berbeza-beza ayat dan surah antara satu cetakan dengan cetakan yang lain. Selain itu riwayat yang saling bertentangan juga menjadi satu pertikaian adakah tulisan ini benar-benar datangnya dari Tuhan atau tulisan manusia. Kesucian kitab yang tercemar dengan dimasukkan cerita seksual atau porno serta mencacatkan kredibiliti nabi sebagai utusan Tuhan yang membawa kitab tersebut. Oleh yang demikian ianya sudah tentulah kitab-kitab yang telah diturunkan pada sebelum ini sudah tidak boleh diterima sebagai wahyu suci yang datangnya terus dari Tuhan. 

Berbeza dengan Al-Quran, sedari awalnya lagi baginda nabi telah menjaga kesahihan tekstualnya dengan melarang para sahabat menulis perkataan yang diucapkan oleh baginda melainkan ianya adalah Al-Quran. Semasa pemerintahan Sayyidina Abu Bakar, ramai penghafal Al-Quran telah syahid dalam satu peperangan yang akhirnya timbul cadangan daripada Umar al-Khattab supaya membukukan Al-Quran supaya ianya tidak hilang dalam hafalan para sahabat yang berperang jika berlaku peperangan. Walaupun pada awalnya Abu Bakar tidak bersetuju dengan cadangan itu, namun atas kemaslahatan umat, idea itu dilaksanakan juga. Sehingga hari itu maka terbentuklah Al-Quran dalam satu naskah yang khas yang kita boleh lihat sehingga ke hari ini. 

Dalam pada itu, Al-Quran ini juga dibezakan juga kandungannya dengan kata-kata daripada Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda). Tidak seperti di dalam kitab agama lain dimasukkan juga kata-kata ahli agama mereka, surat-surat, dan kata-kata pengikut nabi Isa ( hawariyyun) yang dikatakan dimasukkan sekali didalam Bible. Hal ini menunjukkan ketinggian Al-Quran yang hanya merakamkan firman Tuhan sahaja tanpa ada campur tangan manusia serta dijamin kesahihannya sehingga kiamat. Atas dasar ini jugalah menunjukkan kebenaran kenabian Muhammad sebagai rasul pilihan Allah yang membawa Al-Quran sebagai risalah ajarannya. 

Sangat jelek mereka yang menafikan kebenaran Al-Quran ini sedangkan telah didatangkan kepada mereka pembuktian yang jelas dan nyata tentang kesahihan dan tertolak kebatilan bila datangnya Al-Quran kepada manusia. 

Ust Abdul Halim Ismail
25 Ogos 2019
23 Zulhijjah 1440H
Bandar Baru Bangi

Post a Comment

0 Comments