Siri Faham Islam - Edisi Khas Merdeka : Kita Seharusnya Merdeka Dari Apa?



Hari ini sudah genap 62 tahun. Gemilang yang kita raikan sudah mencapai usia tua jika kita nisbahkan kemerdekaan ini sepertinya seorang manusia. Namun bagi sebuah ketamadunan ianya masih muda. Kita masih bertatih dan berlatih. Di saat bangsa-bangsa lain sudah mula menunjukkan gemilang maju yang mendahului mungkin sepuluh atau lima belas tahun di hadapan kita. Namun begitu, kejayaan yang pernah kita kecapi sepanjang 62 tahun ini bukanlah suatu yang boleh dipandang sepi. Ianya tetap sebuah kejayaan bagi suatu bangsa yang muda walau di mata bangsa yang matang ianya seperti tidak bernilai apa.

Masih banyak lagi yang harus kita perbaiki. Masih boleh dihitung lagi penambahbaikan yang perlu dimodifikasi. Kerna merdeka itu tidak akan sampai maknanya jika kita hanya merdeka dari penjajahan negara, akan tetapi pemikiran kita masih lagi terkuasa oleh tangan-tangan hitam yang mahu merosakkan pemikiran kita yang akhirnya membawa kepada kemunduran dan kesempitan pertimbangan akal waras kurniaan Tuhan.

Awal mula; bangsa ini harus merdeka dari berjiwa kecil. Harus kita mempunyai cita-cita besar yang mampu mengubah sesuatu yang buruk kepada baik, yang baik kepada lebih baik dan yang lebih baik kepada kesempurnaan. Walau kesempurnaan itu logiknya suatu yang mustahil, namun berusaha kepada kesempurnaan itu bakal menjadikan kita bangsa yang tekun dan bersungguh dalam melaku usahakan suatu perkara. Yang harus diperbaiki adalah usahanya, yang harus diteliti adalah cara kerjanya dan yang harus dimodifikasi adalah kesungguhannya kerana setiap satu yang diusahakan secara ikhlas dan bernyalarasa, bakal menghasilkan suatu yang luar biasa.

Keduanya; kita harus merdekakan diri dari meminta-minta. Kita meminta sesuatu yang mungkin bukan hak kita. Kita memohon sesuatu yang bukan dalam keperluan kita, padahal kita masih punya kudrat untuk mengusahakan sesuatu. Dan kita harus berhenti menyalahkan orang lain hanya kerana permintaan kita tidak dipenuhi seraya berkata, "Inilah, bangsa sendiri pun tidak mahu dibantu." Bantuan itu bukan atas dasar bangsa, ia juga bukan soal ahli keluarga atau saudara, tidak juga ia bersabit jika ia kerana isu siapa India atau Cina. Kita harus berani memulakan sesuatu dari kecil hingga jadi besar. Kita harus berani bersusah jika mahu diiktiraf sebagai orang berjaya. Kerana itu tidak Tuhan memberi segala mudah kepada nabi mahu Islamkan dunia, banyak juga pancarobanya.

Ketiga; bangsa ini harus menjadi bangsa pemberi. Mudah memberi apabila diminta. Tidak sukar juga memberi dalam keadaan tidak diminta. Memberi bukan sekadar wang dan ringgit sahaja. Memberi itu juga boleh berupa tenaga. Mungkin sekadar menolong si buta yang terjatuh tersadung batu di jalanan. Kerana memberi itu sifat mulia, dan ianya sifat bangsa merdeka walau padanya sendiri sudah sedikit tapi memberi itu tetap menjadi keutamaannya. Apa sudah jadi dengan pegangan kita janji tuhan yang menambahkan lagi apa bila kita banyak memberi. Memberi itu memerdekakan kita dari bakhil dan tamak. Juga melepaskan kita dari jiwa meminta-minta. Ianya juga bakal menjadikan kita bangsa yang kaya dengan pertolongan walaupun tidak dipinta. Beri dan keluarkanlah dari dirimu. Kerana ianya bakal membebaskan sifat tamak dan kedekutmu.



Keempat; kita sebaiknya menjadi golongan yang tidak malas membaca. Sedangkan tuhan sudah firmankan jika mahu dunia atau akhirat, kuncinya adalah ilmu yang kita bakal dapat dengan dari membaca. Membaca mengeluarkan diri kita dari kejahilan. Membaca membolehkan kita perolehi ilmu yang di sekolah mungkin tidak diajarkan. Malah membaca juga bakal menjadikan kita bangsa yang berilmu dan panjang akal kerana kerajinan membaca itu bakal menyukarkan kita diperbodohkan oleh si polan yang tamak laba kepada keduniaan. Bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan akan sesuatu. Al-Alaq : 1.

Dan Kelima, yang terakhirnya; kita harus bebas merdeka dari fahaman hanya kita bangsa paling mulia di sini. Kerana harus diingat, mulia bangsa bukan kerana keturunannya dan tidak ia jadi mulia juga kerana hartanya. Kita mesti keluar dari kepompong rasa kita adalah istimewa sedangkan kita tidak cuba usaha apa-apa. Kita harus henti fikir yang lainnya hanya mahu pijak kita sahaja sedangkan dalam masa sama kita juga nafikan hak sesama manusia. Kita juga harus bijak tidak hanya bergantung kepada penguasa yang mahu beri kita segala. Setiap sesuatu itu bermula dengan hasil usaha dan setiap keberhasilan itu ada harga ikat perutnya. Kita perlu berani berusaha lebih. Jangan digadai keistimewaan diberi penguasa dengan jalan singkat mahu hidup mewah dengan mudah sahaja. Bukankah kita juga yang berkata, bersusah dahulu bersenang kemudian. Jadikan kekayaan bahasa kita itu motivasi untuk kita terus maju, berjaya, berusaha dan bersama membina bangsa tanpa mengherdik yang lainnya.

Tuhan menjadikan kita untuk menilai siapa antara kita paling baik pengamalannya. Manusia tidak terbeza kerana warna atau lidahnya melainkan hanya berbeza tingkat taqwa dan imannya. Kita mampu merdeka. Lebih merdeka dari yang pernah kita lalui sepanjang 62 tahun ini. Semoga bangsa ini bakal membina ketamadunan tinggi yang bakal disegani.

Selamat Hari Merdeka,

Ust Abdul Halim Ismail
31 Ogos 2019
30 Zulhijjah 1440H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments