Siri Faham Islam - Siri 24 : Asas Kedua; Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Utama Rujukan Agama ; Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman

Ciri dan Karakteristik  Al-Quran Sebagai Kitab Panduan Sepanjang Zaman

Allah SWT berfirman:

الٓر ۚ كِتٰبٌ أُحْكِمَتْ ءَايٰتُهُۥ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

"Alif, Laam, Raa'. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya."

(QS. Hud 11: Ayat 1)

Ciri Pertama: Al-Quran adalah kitab dari Allah 



Suatu yang kita tidak perlu ragui dan kita harus fahami adalah Al-Quran merupakan kitab yang sebenar-benarnya diturunkan oleh Allah melalui Rasulnya Muhammad (selawat & salam ke atas Baginda). Kesucian Al-Quran sebagai kitab yang diturunkan dari tuhan, tidak dicemari dengan tangan-tangan manusia serta terpelihara sehingga akhir zaman.

Selain pembuktian daripada Al Quran itu sendiri yang menyampaikan berita ianya adalah kalam asal dari tuhan, isi dan karakter Al-Quran itu dengan sendirinya membuktikan bahawa ianya benar-benar dari Tuhan yang menciptakan manusia dan sekalian alam. Antaranya, Al-Quran menjawab persoalan-persoalan mengenai sesuatu yang manusia tidak boleh ketahui pada sebelum itu seperti kisah Ashabul Kahfi yang menjadi tanda tanya pada umat Arab ketika itu. Begitu juga kisah Zulkarnain yang juga menjadi persoalan umat pada ketika itu. Kedua persoalan ini dijawab oleh Allah di dalam Surah Al Kahfi. Persoalan-persoalan ini amat mustahil untuk dijawab seorang manusia biasa melainkan hanya tuhan yang boleh menjawabnya. Maka Al Quran adalah sebagai perantara dalam menyampaikan semua berita ini kepada umat manusia.

Penurunan Al-Quran dalam bahasa Arab yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi juga merupakan satu bukti jelas ianya bukan kitab biasa-biasa dan bukan karangan Muhammad sepertimana yang dituduh oleh musyrikin Mekah pada ketika itu. Sehinggakan Allah mencabar agar didatangkan sepuluh surah seperti Al-Quran, kemudian dicabar pula didatangkan satu surah dan akhirnya satu ayat. Namun tidak seorangpun di kalangan musyrikin mampu menyahut cabaran yang dikemukakan kepada mereka. 

Allah SWT berfirman:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرٰىهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِۦ مُفْتَرَيٰتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

"Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!  katakanlah (wahai Muhammad): (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

(QS. Hud 11: Ayat 13)

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرٰىهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِۦ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

"(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!."

(QS. Yunus 10: Ayat 38)


Allah SWT berfirman:

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِۦٓ إِنْ كَانُوا صٰدِقِينَ

"(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya."

(QS. At-Tur 52: Ayat 34)

Semua perkara ini membuktikan kemukjizatan Al-Quran yang sememangnya benar datang dari Tuhan dan bukannya karangan manusia biasa apatah lagi datang dari seorang Nabi yang buta huruf. Ianya sangat jelas sehingga diiktiraf sendiri oleh orang bukan Islam sehingga ramai di kalangan mereka mengakui kitab ini bukan sembarang kitab yang akhirnya membuka pintu hidayah kepada mereka untuk memeluk Islam. Semoga iman kita diteguhkan dengan mengimani akan kebenaran kitab ini datangnya dari Tuhan. 


Ust Abdul Halim Ismail
6 Mei 2019
1 Ramadhan 1440H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments