Siri Faham Islam : Siri 22 - Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih tiada bezanya ; Hanya Islam agama yang memegang akidah yang benar



Hanya Islam agama yang memegang akidah yang benar


Antara misi utama kedatangan Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) adalah bertujuan untuk menyelamatkan akidah manusia daripada tahgut dan kembali kepada akidah yang benar iaitu perhambaan diri kepada Allah sebagai tuhan pencipta alam dan pentadbir alam semesta. Dalam akidah Islam, skop perbincangan adalah termasuk perkara-perkara yang berkaitan kefahaman yang benar tentang dua kalimah syahadah iaitu keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya).

Dalam membahaskan akidah Islam yang benar, beberapa perbahasan utama ulama tentang perkara penting akidah, menjadi topik perbincangan utama dalam skop pengajian akidah. Perkara-perkara tersebut adalah :

Ar-Rububiyyah ; perbincangan mengenai Allah sebagai tuhan pencipta alam, pentadbir dan penguasa keseluruhannya.

Al-Uluhiyyah ; Perbincangan mengenai hanya Allah sahaja sebagai tuhan yang layak disembah dan ditaati segala peraturan yang telah ditetapkannya, tempat berdoa dan tempat berharap oleh manusia kerana ianya memiliki sifat kesempurnaan sebagai tuhan.

An-Nubuwwah ; Perbincangan mengenai sifat-sifat kenabian rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia yang mempunyai sifat maksum dan diiktiraf kesolehannya.

As-Sam'iyyat ; Perbincangan tentang kebenaran mengenai perkara-perkara ghaib seperti dosa dan pahala, syurga dan neraka, kewujudan dan peristiwa hari kiamat berdasarkan nas dan dalil yang sahih tanpa ada unsur penciptaan baru oleh manusia sendiri.

Apa yang perlu ditekankan di sini adalah, tiada suatau apapun yang boleh diambil sebagai kefahaman Islam atau akidah, sekiranya tidak terdapat dalil yang khusus yang dapat diambil daripada Quran atau hadis yang sahih yang disandarkan kepada Baginda Muhammad (selawat dan salam ke atasnya). Sebagai contoh yang telah berlaku terhadap umat terdahulu, apabila mereka menggambarkan terdapat tuhan selain daripada Allah, kuasa yang menghidup, memati dan memberi rezeki selain daripada Allah, kehendak dan iradat akan sesuatu selain Allah, dan gambaran-gambaran tuhan yang dijelmakan dalam bentuk berhala dan lukisan. Antara lain, fahaman animisma yang percaya roh-roh jahat boleh memberi kemudharatan yang akhirnya mereka mengadakan pelbagai ritual untuk menolak bala atau menghindarkan kecelakaan.

Setelah berlakunya kemasukan Islam dari kumpulan yang dahulunya menganut fahaman animisme membawa kepercayaan tersebut dengan menyadurkannya dengan ibadat Islam seperti upacara mandi safar dan buang sial daripada sesuatu kejadian seperti rumah dimasuki binatang liar atau kesialan dari seseorang yang dianggap membawa malang.

Dalam satu sudut lain, aliran pemikiran moden juga menjurus kepada kecelaruan akidah apabila golongan ini mengambil sikap prejudis terhadap Islam. Aliran pemikiran liberalisme dan sekular contohnya percaya bahawa, kehidupan beragama Islam membawa kemunduran pemikiran, pencetus kepada sikap ekstrimisme dan membawa tindakan keganasan. Pemikiran ini bukannya sesuatu yang baharu kerana telah muncul sejak zaman awal kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah yang akhirnya kepercayaan terhadap fahaman Islam yang membawa kepada kemajuan umat Islam terdahulu, dituduh sebagai ekstrimis agama dan pencetus keganasan. 

Akan tetapi bukanlah pemikiran Islam itu pembawa kepada keganasan, akan tetapi sikap ekstrimisme itulah yang membawa kepada tindakan ganas dan membawa nama yang buruk terhadap Islam sehingga kini nama keganasan itu seolahnya dijunjung oleh umat Islam. Padahal ianya hanyalah sikap skeptik golongan bukan Islam terutamanya pemimpin dalam negara penganut Kristian. 

Adalah penting memahami akidah Islam sebenar adalah berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah semata-mata dan tidak ada satu sumber lain pun yang boleh dijadikan rujukan kepada perkara ghaib atau perkara-perkara berkaitan dengan akidah. Ketulusan akidah Islam adalah benar, serta menepati fitrah bertuhan manusia yang mahu mengimani tuhan yang satu, memiliki sifat kesempurnaan serta menjadi tempat meminta dan bergantung harap. Tiada apa yang lebih mampu menenangkan jiwa manusia melainkan jiwa manusia itu memenuhi fitrah asal yang telah tuhan jadikan kerana manusia itu datangnya dari tuhan yang bernama Allah dan kepada Tuhan itulah sahaja manusia itu bakal kembali. 

Allah SWT berfirman:

إِنَّنِىٓ أَنَا اللَّهُ لَآ إِلٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَاعْبُدْنِى وَأَقِمِ الصَّلٰوةَ لِذِكْرِىٓ

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku."

(Surah Ta-Ha 20: Ayat 14)

Ust Abdul Halim Ismail
18 Ogos 2018
6 Zulhijjah 1439H
Bandar Baru Bangi.

Post a Comment

0 Comments