Siri Faham Islam : Siri 20 - Islam adalah Jihad dan Dakwah atau Ketenteraan dan Fikrah ; Tuntutan Jihad Ketenteraan (Peperangan) di dalam Islam

Tuntutan Jihad Ketenteraan (Peperangan) di dalam Islam

Allah SWT berfirman:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ  ۖ  وَعَسٰىٓ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ  ۖ  وَعَسٰىٓ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ  ۗ  وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 216)

Bukanlah suatu yang dianjurkan di dalam Islam untuk menyeru kepada peperangan. Kerana kedamaian itu adalah kunci kepada kesejahteraan kepada sesebuah negara tidak kira dalam suasana pemerintahan Muslim atau bukan Islam. Bahkan sesuatu kemenangan yang dapat diraih daripada perdamaian adalah suatu yang lebih disukai oleh Allah berbanding suatu kemenangan yang menumpahkan darah. Ini dapat dilihat dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pra kemasukan nabi memasuki kota Mekah. Pengiktirafan ini dirakamkan oleh Allah dalam firmannya 

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,"

(QS. Al-Fath 48: Ayat 1) 

Dan juga ayat ke 24

وَهُوَ الَّذِى كَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ عَنْهُمْ بِبَطْنِ مَكَّةَ مِنۢ بَعْدِ أَنْ أَظْفَرَكُمْ عَلَيْهِمْ  ۚ  وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

"Dan Dia lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan."

(QS. Al-Fath 48: Ayat 24)

Kedua ayat ini merupakan pengiktirafan Allah terhadap perjanjian damai yang membawa kemenangan dan kejayaan orang Islam terhadap bukan Islam. Bukan sahaja dalam menguasai wilayah, malahan ianya kemenangan awal dalam dakwah yang mana penguasaan wilayah itu membuka ruang kepada jihad dakwah yang lebih besar serta bebas dari ancaman bukan Islam yang membenci Islam pada ketika itu. Ini adalah penting sepertimana yang telah kita faham, dalam membina dan mengembangkan ajaran dan kefahaman Islam, ianya terkandung dalam prinsip pertama Usul 20 ini iaitu keperluan Islam menguasai sesebuah negara bagi memudahkan urusan lain yang berkaitan dengan keadilan dan lain-lain prinsip kedaulatan sesebuah negara. Dalam ertikata lain, walaupun Islam boleh diamalkan secara individual tanpa menguasai negara, namun ianya akan menjadi lebih mudah apabila menguasai sesebuah negara yang dikuasai orang Islam.
Namun begitu, tidaklah sepanjang masa keamanan ini dipertahankan sehingga membiarkan musuh menggugat kesejahteraan umat Islam. Menurut Dr Yusof Al-Qardhawi, seruan jihad ketenteraan atau peperangan mungkin boleh dilakukan sekiranya berlaku 2 perkara berikut:

Pertama: Apabila musuh dari luar negara Islam yang menyerang dan menjajah umat Islam. Dalam keadaan ini tindakan ketenteraan adalah perlu bagi memerangi golongan ini walaupun yang menyerang adalah golongan yang mendakwa diri mereka Islam. Sebagai contoh dalam peristiwa di Lahad Datu beberapa tahun lepas yang memaksa kerajaan Malaysia melaksanakan tindakan ketenteraan melawan tentera Kiram yang menceroboh kedaulatan negara pada ketika itu.

Kedua: Memerangi musuh yang berada di dalam negara Islam. Dalam konteks kini, tidak lagi dibenarkan memerangi orang bukan Islam yang berada di luar negara orang Islam. Hanya dibenarkan memerangi mereka yang menentang orang Islam secara kekerasan seperti menyeksa dan menumpahkan darah kaum muslimin. Selain itu, mereka yang memberi ancaman dan mengggangu dakwah Islam di dalam negara Islam atau pun secara terang-terangan memberi tekanan kepada kerja dakwah di dalam negara muslim. Melangggar perjanjian dan mencabuli kontrak sosial juga dibolehkan diperangi golongan ini agar kesejahteraan dan agama dapat dijaga dalam konteks menegakkan prinsip maqasid syariah.

Allah SWT berfirman:

وَقٰتِلُوا فِى سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقٰتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا  ۚ  إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 190)




Dalam konteks hari ini, memerangi golongan ini bukanlah dengan terus menghalalkan darah mereka dan melancarkan serta-merta tindakan ketenteraan. Ia juga boleh dilaksanakan oleh penguasa Muslim dengan mengenakan tindakan undang-undang dengan peruntukan sedia ada bagi mengelakkan lebih ramai lagi golongan ini muncul dalam memerangi terang-terangan memusuhi Islam dan dakwah Islam dalam sesebuah negara Islam. Itu sudah memadai dan menepati prinsip yang telah dijelaskan dalam ayat 190 Surah Al Baqarah di atas.

Selain itu, tindakan menentang golongan yang mencetuskan fitnah dan huru hara sehingga hilang jaminan dalam kebebasan berdakwah dalam sebuah negara Islam juga diharuskan dalam konteks ini. Ianya selaras dengan firman Allah:
Allah SWT berfirman:

وَقٰتِلُوهُمْ حَتّٰى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ  ۖ  فَإِنِ انْتَهَوْا فَلَا عُدْوٰنَ إِلَّا عَلَى الظّٰلِمِينَ

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 193)

Sesuatu yang boleh mengundang fitnah kepada agama, juga harus diperangi bagi mengelakkan fitnah tersebut merosakkan agama apatah lagi sekiranya ianya memberi kesan kepada akidah umat Islam. Sebagai contoh penyebar fahaman seperti liberal, LGBT dan sebagainya yang dituntut untuk diiktiraf di dalam negara kita merupakan suatu agenda yang perlu dihentikan gerakannya kerana mengundang fitnah kepada agama dan mampu merosakkan Islam apabila fahaman seperti ini meresap dalam pemikiran umat Islam. Namun begitu, perancangan terperinci dan prosedur operasi standard diperlukan dalam mengatasi golongan ini dan tidak terus diperangi secara undang-undang selagi mana ianya tidak mampu menggugat kedaulatan Islam.

Allah SWT berfirman:

وَقٰتِلُوهُمْ حَتّٰى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ  ۚ  فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan."

(QS. Al-Anfal 8: Ayat 39)

Dalam pada itu, dalam membela dan membebaskan golongan yang lemah juga perlu diambil tindakan secara ketenteraan sekiranya perlu. Ianya bertujuan membebaskan golongan lemah ini dairpada penindasan serta menumpahkan darah orang Islam. Ini sebagaimana yang berlaku di Palestin yang rakyatnya telah ditindas selama puluhan tahun dan ketika ini tidak punya satu cara lain selain daripada tindakan ketenteraan sahaja yang mampu melepaskan Palestin dari cengkaman rejim Israel. 

Daripada semua hujah yang kami kemukakan di atas tentang keharusan kepada jihad ketenteraan atau penentangan secara kekerasan terhadap golongan penentang Islam, dapatlah kita simpulkan bahawa:

i) Islam adalah agama yang menyeru kedamaian dan tidak menganjurkan peperangan secara semberono dan membuta tuli.

ii) Keharusan dalam memerangi sesetengah golongan adalah ketat dalam mempertahankan negara dan agama dan tidak bersifat ofensif terhadap negara bukan Islam yang lain.

iii) Memerangi golongan ini bukan dengan semudahnya menghalalkan darah mereka, akan tetapi perlu melalui satu proses ketat bermula secara perdamaian dan dengan mengggunakan peruntukan tindakan undang-undang sedia ada serta dakwah yang berterusan agar golongan penentang sebegini tidak wujud dalam sesebuah negara Islam.

Ust Abdul Halim Ismail26 Mei 201811 Ramadhan 1439HBukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments