Siri Faham Islam - Siri 19 : Islam adalah Jihad dan Dakwah atau Ketenteraan dan Fikrah ; Islam adalah dakwah

Islam adalah Dakwah

Sebab utama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diutuskan kepada manusia adalah untuk berdakwah daripada hidup daripada dalam taghut kepada menyembah Allah yang satu, iaitu satu-satunya Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Walaupun secara tidak langsung walaupun manusia itu hidup dalam taghut, akan tetapi fitrah mempercayai hanya terdapat satu tuhan dan hanya Tuhan itulah yang menciptakan alam ini tetap kekal dalam jiwa manusia. Tugas utama baginda membetulkan akidah daripada kesyirikan penyembahan berhala dan membawa kepada ibadat menyembah Tuhan yang satu. Inilah rahsia yang terkandung dalam 2 kalimah syahadah yang diucapkan oleh orang-orang yang baru memeluk Islam. 



Usaha dakwah ini tidak terpikul di atas bahu sesetengah individu sahaja. Tidak ia tertanggung di bahu para ustaz dan murabbi sahaja,  tidak pula ia hanya dipikul oleh segolongan jemaah yang mahu keluar ke jalan dakwah, ianya juga tidak hanya terbeban kepada mereka-mereka yang belajar ilmu agama sahaja. Akan tetapi dakwah harus berjalan dan berlaku di semua tempat, masa dan oleh sesiapa sahaja yang memegang kalimah lailahaillallah.

بلِّغوا عنِّي ولو ايه

Sampaikan dariku walau hanya satu ayat.

(H.R Bukhari)

Ini adalah dalil bahawa tugas berdakwah bukanlah hanya terbeban kepada sesetengah golongan atau individu sahaja. Malah ianya terpikul di bahu semua muslim. Tidak kira banyak atau sedikit ilmu padanya, dan juga sudah cukup tanggungjawab ini terlepas hanya dengan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. 

Allah SWT berfirman:

إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

(QS. Al-'Asr 103: Ayat 3)

Menyampaikan sesuatu kebaikan dan kebenaran itu menunjukkan tanda keimanan manusia itu kepada Allah kerana menegakkan kebenaran dan keadilan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. 



Dakwah tidak sekadar berlegar di kalangan sesama Islam sahaja. Tetapi dakwah juga hendaklah menembusi pasaran bukan Islam. Berapa ramai orang yang bukan lahir dari perut ibu-ibu yang bukan Islam hari ini apabila mereka memeluk Islam, mereka mendakwa bahawa tiada dikalangan kawan-kawan Islam mereka yang mengajak mereka kepada Islam sehingga mereka menemui hidayah dari tempat lain. Ini adalah satu kritikan yang sangat perlu diambilkira dan diambil berat bagi semua kita yang bergelar muslim. Menyampaikan dakwah risalah Allah hendaklah disemat didalam hati kita semua agar budaya berdakwah ini sebati sebagai satu amalan yang dilazimi umat Islam sehari-hari. 

Begitu juga berdakwah kepada mereka yang muslim tetapi jauh kehidupannya dari pengamalan Islam yang sebenar. Malah mencegah mereka daripada melakukan dosa dan kemungkaran yang dilarang agama juga sebahagian daripada dakwah. 

Allah SWT berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  ۗ  وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ  ۚ  مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 110)

Maka telah Allah nyatakan disini, umat Muhammad yang diiktiraf sebagai terbaik adalah kerana menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran barulah ianya dikatakan sebahagian daripada kesempurnaan iman. 


Ust Abdul Halim Ismail
2 April 2018
16 Rejab 1439H
Bukit Katil, Melaka.





Post a Comment

0 Comments