Siri Faham Islam - Siri 18 : Islam adalah Jihad dan Dakwah atau Ketenteraan dan Fikrah ; Jihad di dalam Islam

Jihad di dalam Islam

Dari segi bahasa jihad bermaksud berusaha dan jika difahami lebih dalam ianya juga bermaksud berjuang dengan bersungguh-sungguh. Dalam konteks ini, berjuang yang dimaksudkan adalah memperjuang meninggikan martabat Islam sesuai yang mana ianya sebagai Ad Deen (Agama) yang merangkumi konteks yang lebih luas iaitu sebagai gaya hidup sebagai seorang muslim yang berpegang teguh kepada norma-norma Islam sebagai agama yang diiktiraf oleh Allah tuhan yang menciptakan sekalian alam. 

Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata, jihad itu hakikatnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai oleh Allah yang berupa amal soleh, keimanan dan menolak akan sesuatu yang dimurkai Allah berupa kekafiran, kefasikan, dan penderhakaan terhadap sesuatu yang dilarang di dalam syariat. 

Jihad tidak tertumpu dalam soal peperangan suci (holy war) sepertimana yang difahami sebahagian oleh golongan muslim masa kini. Yang mana jihad dalam kefahaman sebegini dimaksudkan sebagai berjuang menentang musuh-musuh Islam dengan mengangkat senjata dan menumpahkan darah. Apatah lagi jika golongan yang diperangi itu adalah golongan bukan Islam. Disamping itu juga mati dalam perperangan sebegini dianggap mati syahid dan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Kefahaman sebegini tidaklah benar-benar tepat memandangkan situasi dalam banyak negara yang didiami oleh orang Islam adalah aman dan tidak berperang dengan golongan bukan Islam. 

Allah SWT berfirman:

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوٰلِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ  ۚ  ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."

(QS. As-Saff 61: Ayat 11)


Jihad itu tidak tertumpu hanya berperang dengan senjata sahaja sahaja. Al Quran telah mengajarkan bahawa seruan jihad juga boleh disahut dengan mengeluarkan harta ke jalan Allah. Berzakat, bersedekah dan menyumbangkan harta kepada sesuatu usaha yang mempunyai nilai Islam dan kemanusiaan juga merupakan jihad yang dituntut di dalam Islam. Selagi mana sesuatu itu diperjuangkan dengan tujuan menegakkan nilai-nilai Islam maka ianya masih boleh diklasifikasikan sebagai jihad ke jalan Allah.



Jangan disempitkan Sabilillah itu tertumpu kepada perkara yang jelas nampak keislaman seperti menyumbang kepada masjid,sekolah tahfiz dan anak yatim. Islam itu mencakupi banyak aspek yang lain seperti memperjuangkan keadilan dan pendidikan. Sebagai contoh kita membiaya seorang yang melawan di mahkamah atas mendapatkan keadilan disebabkan hartanya telah diambil oleh orang lain yang mempunyai kuasa dalam negara. Atau juga kita menderma kepada sekolah anak kita yang memerlukan wang untuk membaiki fasiliti dalam sekolah misalnya. 

Jihad harta seperti ini lebih dituntut berbanding kita sekadar menyumbang kepada masjid dan lain-lain yang bersifat ibadah secara langsung. Dan dalam sesetengah keadaan ianya lebih afdhal dan lebih dituntut. Ini tidak bermaksud kami melarang daripada menderma kepada masjid, akan tetapi kami membawakan sudut pandang yang lain mengenai jihad harta ini supaya ianya dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak tertumpu kepada perkara ibadah sahaja. 

Perbincangan jihad ini merupakan suatu tajuk yang besar untuk dibincangkan dalam penulisan pendek ini. Namun begitu secara mudahnya, jihad dalam konteks kini tertumpu dalam jihad harta dan diri sendiri (tenaga) yang mana agak lebih mudah untuk dipraktikkan selain jihad berperang di jalan Allah. Semoga Allah melorongkan kita ke jalan yang lurus dan memberi kefahaman yang betul dalam beragama. 

Ust Abdul Halim Ismail
15 March 2018
27 Jamadil Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments