Siri Faham Islam - Siri 17 : Islam adalah Hasil Usaha dan Kecukupan ; Mencukupkan terhadap segala rezeki yang telah diberi



Mencukupkan terhadap segala rezeki yang telah diberi

Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُۥ هُوَ أَغْنٰى وَأَقْنٰى

"(Dan bahwasanya Dia yang *memberi kekayaan*) kepada manusia berupa harta benda (dan yang *memberikan kecukupan*) Dia memberikan harta untuk mencukupi keperluan orang itu."

(QS. An-Najm 53: Ayat 48)

Sesungguhnya Allah adalah tuhan yang maha pemberi segala keperluan manusia di atas muka bumi ini. Allah sebagai mudabbir (pentadbir) alam segala perjalanan segala makhluk yang berada di dalam dunia ini. Segala kekayaan yang dimiliki oleh manusia adalah pemberian Allah. Juga segala kekurangan manusia adalah kehendak Allah. Setiap sesuatu berlaku adalah dengan qadarnya. Yang mana Allah maha mengetahui akan setiap keperluan manusia, setiap kemampuan manusia dan setiap apa yang terbaik bagi manusia. 

Pada hakikatnya tiada istilah miskin yang boleh diletakkan kepada manusia. Kerana dalam ayat yang kami petik di atas adalah dalil menunjukkan bahawa sifat berlawanan bagi kekayaan adalah kecukupan dan bukannya kemiskinan. Allah menyediakan keperluan rezeki yang cukup untuk kehidupan manusia. Selagi mana peruntukan rezeki masih ada pada seseorang manusia itu, maka manusia itu masih belum layak ditarik nyawanya. Dalam erti kata lain, tidak ada istilah seseorang itu tidak mendapat rezeki, kerana orang yang terputus rezekinya adalah mereka yang sudah sampai ajalnya. 

Hujah ini bukanlah menafikan kewujudan golongan miskin dalam kaedah fiqh, tetapi memahami erti sebenar syukur dalam konteks tasawuf. Tidaklah kemiskinan itu menjadi halangan kepada ibadah. Dan tidak pula kekayaan itu menjadi rukun kepada kebahagiaan. Agama ini mengajarkan kita meredhoi segala apa yang telah direzekikan kepada kita, dalam pada masa sama menyuruh dan menggalakkan agar menjadi kaya raya. Menjadi kaya itu tidak mengesankan harta itu kepada hati manusia. Malah kekayaan itu diguna sebagai batu loncatan agar mampu membeli tiket ke syurga. 

Setiap apa yang dikurnia kepada kita adalah memenuhi qadarnya. Malah Allah lebih tahu setakat mana kadar sepatutnya kepada kita. Adakah kita pantas (layak) menjadi kaya, atau cukup sekadarnya apa yang telah diberi kepada kita. Bersyukur adalah kunci kepada barakah rezeki yang telah diberi. Manakala usaha pula tidak harus berhenti, kerana sifat syukur itu bukannya maksud berhenti mencari rezeki. Tugas manusia fokuskan pada usaha manakala hasilnya serahlah kepada Allah SWT yang Ar Razzaq yang maha pemberi.

Allah SWT berfirman:

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْأَاخِرَةِ نُؤْتِهِۦ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِى الشّٰكِرِينَ

"Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 145)

Ust Abdul Halim Ismail
13 March 2018
25 Jamadil Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.






Post a Comment

0 Comments