Siri Faham Islam - Siri 16 : Islam adalah Hasil Usaha dan Kecukupan ; Mementingkan Hasil Usaha Bukan Keajaiban dan Keramat



Islam Mementingkan Hasil Usaha Bukan Keajaiban dan Keramat

Semua yang berlaku atas dunia adalah kerana ada satu kuasa yang mempengaruhi iaitu Allah. Allah menjadikan alam ini dengan hukum alam yang dipanggil sebagai sunnatullah. Tidak ada apa yang berlaku di atas muka bumi ini melainkan dengan izin Allah dan tidak pula sesuatu itu secara mudah melangkaui hukum alam yang ditetapkan oleh Allah. Sebagai contoh, apabila sesuatu dilemparkan di atas air, maka ianya akan tenggelam. Dan tidak pula ia akan terapung melainkan ianya mempunyai ketumpatan yang lebih tingg daripada air tersebut. 

Begitu juga manusia, segala apa yang berlaku atas dunia adalah kerana sebab dan musabab, atau usaha dan akibat akan sesuatu. Orang yang menjadi kaya adalah kerana usaha dan betulnya jalan hidup yang dilakukan, bukan kerana keajaiban akan kerana satu-satu amalan tertentu sahaja. Dalam erti kata lain, hanya dengan melakukan suatu amalan seperti zikir harian tertentu contohnya, tidak membolehkan seseorang itu menjadi kaya sekiranya dia tidak berniaga dengan cara betul, menguruskan wang dan perniagaan dengan betul, berusaha bersungguh-sungguh dengan kerja keras dan lain-lain usaha yang berjalan atas landasan sunnatullah membolehkan kita mendapat rezeki yang melimpah ruah. 

Allah SWT berfirman:

بَلٰى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُۥٓ أَجْرُهُۥ عِنْدَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula *berusaha supaya baik amalannya,* maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 112)

Setiap amalan yang kita usahakan hendaklah disertakan dengan usaha. Setiap doa yang kita munajatkan kepada Allah, maka hendaklah disertakan dengan usaha. Maka tidak akan ada kejayaan tanpa ada usaha, dan sukar pula sesuatu urusan yang dibuat dengan betul tanpa ada pertolongan dari Allah, dan untuk kita memintanya hendaklah dengan melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. 

Tidak pula sesuatu itu berlaku kerana keajaiban, sebagai contoh mempercayai menyimpan sesuatu di dalam rumah boleh menambah rezeki kita dan menambahkan kebahagiaan. Ini adalah merupakan suatu yang bersifat khurafat dan ianya adalah bibit-bibit kepada amalan kesyirikan. Walaupun sesuatu yang disimpan itu dikaitkan dengan baginda nabi ataupun ulama-ulama yang bertaraf wali serta dipercayai mempunyai karamah. Rezeki itu merupakan hak Allah. Manakala usahanya itu merupakan hak manusia. Manusia berhak berusaha mencari rezeki dengan pelbagai usaha yang mereka mahukan, manakala Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Allah kehendaki sama ada banyak atau sedikit, cepat atau lambatnya semuanya adalah urusan Allah. Manusia hanya mampu berusaha dan fokus pada usaha. Serahkan hasilnya pada Allah.

Apa yang kami tekankan disini adalah, fokus manusia melakukan usaha terhadap sesuatu dengan cara betul, maka Allah akan berikan apa yang diusahakan berdasarkan hukum alam atau sunnatullah. Doa dan amalan adalah pemangkin kepada usaha supaya Allah melorongkan kita melakukan sesuatu dengan betul dan bakal membuahkan hasil. Tiada apa yang boleh mempengaruhi rezeki manusia melainkan Allah kehendaki akan berlakunya sesuatu kepada diri kita dan rezeki kita. 

Ust Abdul Halim Ismail
22 Februari 2018
21 Jamadil Awal 1439H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments