Islam adalah agama yang membina kekuatan
Umat Islam yang hidup pada era moden adalah umat yang lahir di kala Islam sudah menjadi umat yang ketinggalan. Empayar kerajaan Islam sudah runtuh di Turki, masyarakat Islam sudah ketinggalan dalam sudut keilmuan sains dan teknologi, negara-negara Islam sudah menjadi negara kelas ketiga, umat Islam hanya menjadi konsumer, dan lemahnya ekonomi dengan banyaknya negara Islam yang miskin disamping umat Islam yang tidak mampu bersaing dengan non-muslim dari segenap segi terutama dalam ekonomi dan industri.
Membina kekuatan juga adalah satu tuntutan didalam Islam. Kekuatan yang dimaksudkan termasuklah kekuatan dari segi ekonomi, keilmuan, teknologi, ketenteraan dan lain lain lagi.
Akan tetapi, tunjang kepada semua kekuatan ini adalah berpaksikan kepada satu perkara, iaitu akidah yang benar kepada Allah sahaja. Dalam pada itu ada tiga perkara utama dalam membina kekuatan umat Islam yang harus dibina terlebih dahulu.
*Kekuatan material:* mana mungkin sesuatu yang diusahakan untuk berjaya tidak memerlukan pengorbanan harta. Menuntut ilmu, urusan dakwah, memelihara orang miskin dan yatim semuanya menuntut kepada penguasaan harta dan wang yang banyak bagi membolehkan perjuangan semua ini berjaya. Kita memerlukan lebih ramai orang Islam yang mempunyai kekuatan dari segi material untuk menaja dan membantu membina kekuatan dalam bidang-bidang ini.
*Kekuatan jiwa:* kekuatan ini menjadi dasar kepada kekuatan lain kerana hanya dengan jiwa yang kental sahaja boleh mampu membawa seseorang teguh mencapai matlamat dalam memperjuangkan sesuatu. Dan kekuatan jiwa ini hendaklah disokong dengan niat kerana Allah dan bukan disebabkan mendapat laba dunia yang akhirnya merosakkan sesuatu perjuangan. Dengan kekuatan jiwa ini juga, ia dapat mengekalkan akhlak Islam yang membolehkan pembangunan material dapat diseimbangkan dengan pembangunan sosial.
*Kekuatan sosial:* kekuatan sosial adalah kekuatan yang menghubungkan ukhuwah sesama umat Islam. Jika tiada ukhuwah dikalangan umat Islam, masakan boleh pembangunan material, sosial dan dan lain lain kekuatan dapat dibina. Dengan kekuatan ini barulah masyarakat Islam dilihat sebagai umat yang kuat dan mampu menyaingi umat dan bangsa lain yang telah mendahului umat Islam ketika ini.
*Keseimbangan antara kekuatan dan akhlak*
Tidak ada ertinya jika kekuatan itu tidak disertai dengan akhlak yang tinggi yang mampu mengawal tindak tanduk manusia agar seimbang kekuatannya dengan pembangunan akhlaknya. Namun akhlak yang tinggi tanpa kekuatan juga menjadi tempang kerana ketinggian akhlak itu diambil kesempatan orang lain untuk membuli dan merendahkan bangsa itu sendiri.
Ust. Abdul Halim Ismail,
13 Januari 2018
25 Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.

0 Comments