Siri Faham Islam - Siri 7 : Islam adalah Akhlak dan Kekuatan ; Islam adalah agama yang memperbaiki akhlak



Islam adalah agama yang memperbaiki akhlak

Selain daripada membetulkan akidah manusia yang jauh meninggalkan Allah sebagai Tuhan pencipta yang layak disembah, Islam juga hadir sebagai untuk memperbaiki akhlak manusia. Di mana jika dilihat pada zaman arab jahiliyyah, kerosakan akhlak jelas kelihatan merosakkan bangsa itu sendiri sehingga nilai-nilai kemanusiaan seolahnya luput dari hati mereka. Wanita dilihat sebagai kaum hina sehingga anak-anak perempuan yang lahir dibunuh dengan kejam, hidup berpuak dan berperang sesama sendiri dan pelbagai lagi kemungkaran yang menjatuhkan nilai martabat bangsa itu sebagai manusia. 

Lahirnya Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) yang muncul dengan akhlak yang mulia, muncul di tengah-tengah kota Makkah dengan akhlak terpuji. Terkenal dengan sikapnya yang baik budi, amanah, tiada pernah berdusta, membantu orang lain dengan berkorban kepentingan dirinya dan dengan pelbagai sifat mulia manusia yang pastinya dilihat sebagai luar biasa di tengah-tengah kota yang penuh dusta nista kebobrokan manusia jahiliyyah. Hinggakan baginda digelar sebagai al Amin yang bermaksud yang dipercayai boleh bangsa itu sendiri. Sesuai dengan firman Allah

ÙˆَØ¥ِÙ†َّÙƒَ Ù„َعَÙ„ٰÙ‰ Ø®ُÙ„ُÙ‚ٍ عَظِيمٍ
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."
(QS. Al-Qalam 68: Ayat 4)

Pengiktirafan ini adalah suatu yang besar bagi seorang manusia yang mana memang tidak ada lagi mana-mana manusia yang mempunyai pengiktirafan akhlak sepertimana yang diberikan kepada baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya).

Dengan akhlak terpuji ini juga menjadi suatu senjata yang amat ampuh dalam memberi kekuatan dakwah baginda yang akhirnya mencapai kejayaan yang besar sehingga mampu membina sebuah negara yang kuat terbina atas prinsip akidah kepada Tuhan yang satu. Kerana kekuatan akhlak baginda yang tidak pernah berdusta menjadikan segala apa yang dibawa oleh baginda dibenarkan sahaja oleh orang yang mengenalinya. 

Jika kita lihat dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang mana suatu perkara yang sangat tidak masuk akal diberitakan kepada orang musyrikin Mekah, bagi mereka yang mengenal keperibadian Muhammad, terus sahaja percaya walau tidak diterima akal. Manakala orang yang tidak percaya kepada peristiwa yang diceritakan ini pula berkata tidak menyangka bahawa kini Muhammad sudah menjadi seorang pendusta. Inilah intipati modal akhlak yang dibawa baginda. Ianya dengan sendirinya menjadi suatu kekuatan dari dalam yang akhirnya Islam itu mudah diterima sebagai suatu agama langit yang benar-benar datang dari Tuhan yang menciptakan manusia.

Islam menggariskan akhlak kepada dua jenis iaitu sifat mahmudah yang merangkumi akhlak terpuji dan mulia manakala sifat mazmumah yang mengandungi di dalamnya sifat terkeji dan hina. Tidak semua sifat mahmudah ini bersifat pasif dan lembut kerana di dalam nilai akhlak ini tersemat unsur-unsur kekuatan dalam mempertahankan suatu kebenaran. Maka tidak hairanlah bahawa dalam mengekalkan akhlak dan sifat mahmudah ini, perlu suatu kekuatan yang sebenarnya pada tanggapan orang ianya bersifat mazmumah tetapi sebenarnya ianya adalah bersifat mahmudah. Insyaallah akan dikupas tentang hubungan akhlak dan kekuatan di siri akan datang.

Ust. Abdul Halim Ismail,
11 Januari 2018
23 Rabiul Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.




Post a Comment

0 Comments