Islam dan Ilmu
Tiada apa yang lebih penting dalam kehidupan seorang muslim selain dari ilmu. Yang mana ilmu merupakan kunci kepada kehidupan manusia yang memandu kepada sesuatu yang bermanfaat. Kedudukan manusia di atas dunia ini juga dinilai berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Walaupun secara zahirnya ilmu tidak boleh diukur secara fizikal seperti mengukur panjangnya kayu, tidak mempunyai unit sukatan seperti meter dan kaki, tapi keilmuan manusia itu ternilai dengan dirinya sendiri, dari percakapannya, pemikirannya, penilaiannya dan tindak tanduknya. Malahan Allah menjelaskan bahawa orang berilmu itu sangat jelas bezanya dengan orang tidak berilmu bukan sahaja pada pandangan Allah malahan pada kacamata manusia juga.
Allah SWT berfirman:
أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءَانَآءَ الَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ الْأَاخِرَةَ وَيَرْجُوا رَحْمَةَ رَبِّهِۦ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُوا الْأَلْبٰبِ
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): _*Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu)dengan orang-orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?*_ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (Ulul Albab)."
(QS. Az-Zumar 39: Ayat 9)
Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu. Malahan seruan Islam agar seluruh umatnya menjadi orang berilmu ditunjukkan seawal wahyu pertama diturunkan. Lafaz Iqra' bermaksud "Bacalah" yang disebutkan dalam surah Al A'laq itu sudah cukup membuktikan bahawa perkara terawal yang terpenting dalam kehidupan manusia yang dalam kegelapan dan kesesatan adalah dengan memiliki ilmu.
Allah SWT berfirman:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),"
(QS. Al-'Alaq 96: Ayat 1)
Gemilangnya sesebuah tamadun dan bangsa adalah kerana keilmuannya. Kita sendiri pernah mendengar bahawa tamadun Islam suatu ketika dahulu merupakan suatu tamadun yang unggul dan digeruni oleh empayar-empayar lain di dunia. Sehingga rancangan-rancangan jahat diatur supaya tamadun Islam ini jatuh dan berkubur. Kunci kejayaan tamadun Islam suatu ketika itu adalah menggabungkan keilmuan ilmu-ilmu dunia dan dipakaikan dengan akidah yang benar bahawa Allahlah empunya sekalian alam dan berkuasa dalam mengizinkan sesuatu itu terjadi. Kini semua itu hanya tinggal sejarah. Keruntuhan tamadun itu bukan sekadar kerana dijatuhkan oleh rancangan jahat musuh-musuh Islam, malahan ianya berpunca daripada keruntuhan umat Islam itu sendiri yang terpesona dengan keindahan dunia dan kekayaan yang sementara.
Lihat pada hari ini, kepesatan dalam sains dan teknologi dipelopori oleh golongan bukan Islam. Malahan lahir dari tamadun yang tidak mempunyai paksi akidah yang benar. Menafikan kewujudan tuhan, meninggalkan nilai-nilai moral dan akhlak yang akhirnya lahirnya tamadun yang datang dari keilmuan yang kosong jiwanya walaupun mempunyai penemuan dan teknologi yang sangat tinggi sehingga pernah dianggap suatu yang mungkin mustahil bakal dicapai manusia.
Semuanya kerana ilmu. Betapa umat ini ketinggalan dalam bidang ilmu. Malahan ada yang berpendapat tidak perlu kita menguasai ilmu-ilmu dunia ini kerana matlamat abadi muslim adalah akhirat. Ini adalah suatu pemikiran yang salah. Jika begitu sia-sialah doa kita setiap hari yang mendambakan kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat.
Allah SWT berfirman:
وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الْأَاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka."
(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 201)
Sesungguhnya ilmu itu adalah penyuluh kepada kehidupan manusia. Kehidupan manusia yang punyai dua bahagian iaitu di dunia dan akhirat. Tidaklah suatu yang dianjurkan oleh baginda Nabi mengerjakan dunia sehingga meninggalkan akhirat. Kerana dunia ini adalah ladang yang kita bercucuk tanam, untuk dituai hasilnya di akhirat. Manakan hasil jika tiada usaha, manakan usaha jika tiada kesungguhan untuk berjaya.
Wallahualam.
Ust Abdul Halim Ismail
23 Januari 2018
6 Jamadil Awal 1439H
Bukit Katil, Melaka.

0 Comments