Siri Faham Islam - Siri 12 : Islam adalah kebudayaan dan undang-undang ; Islam adalah undang-undang



Islam Adalah Undang-undang

Kedatangan Islam bukan sahaja membawa akidah yang benar dan ritual ibadah menyembah Tuhan yang esa, akan tetapi ia juga membawa bersamanya undang-undang yang datang dari langit, suatu perintah agung dari yang maha pencipta semua makhluk. Undang-undang Islam bersifat mengawal manusia dari tindak tanduk yang melampaui batas fitrah manusia, menjaga hubungan antara manusia dan makhluk dan memberi keadilan kepada sesama manusia. 

Menurut Yusuf Al-Qardhawi, undang-undang Islam secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu yang pertama undang-undang yang diturunkan oleh Allah, hukum hakamnya adalah tetap yang tidak dipengaruhi oleh faktor masa dan tempat, serta telah dihuraikan secara terperinci. Undang-undang ini adalah tetap dan terpakai sehingga akhir zaman. 

Manakala keduanya merupakan undang-undang Islam dikeluarkan oleh ulama secara ijtihadi yang mana hukum ini adalah berubah-ubah mengikut masa dan tempat serta biasanya diistinbat melalui dalil-dalil naqli dan aqli dan diperincikan oleh para ulama itu sendiri. Undang-undang jenis ini yang akan berubah dari masa ke semasa dan tidak lain ianya bertujuan mengatur hidup manusia menjaganya agar tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam melalui wahyunya Al Quran. 

Falsafah utama undang-undang Islam adalah bertunjangkan akidah menyembah Allah yang satu, menjaga keadilan sesama manusia, dan bersifat Rabbani yang membawa ketaatan kepada Allah sebagai pencipta manusia. Maka dalam undang-undang Allah yang diturunkan terus kepada manusia merupakan undang-undang terbaik yang tak dapat disangkal lagi yang terbaik untuk manusia mengatasi segala undang-undang lain yang ciptaan manusia. 

Matlamat utama undang-undang Islam adalah membawa rahmat kepada bukan sahaja kepada muslim bahkan kepada seluruh umat manusia dan alam ini. 

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُمْ مَّوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."
(QS. Yunus 10: Ayat 57)

Undang-undang ini pula tidak ia bersifat menyusahkan dan membebankan manusia selaras dengan keperluan fitrah manusia yang mana hanya Allah sahaja yang mengetahui keperluan dan kemampuan manusia dalam menerima suatu peraturan dan undang-undang.

Undang-undang Islam juga bersifat syumul yang mana ianya mencakupi undang-undang berkaitan ibadah seperti solat dan puasa, kekeluargaan seperti nikah dan cerai, undang-undang muamalat berkaitan perniagaan dan jual beli, undang-undang berkaitan ekonomi seperti percukaian, jizyah, harta rampasan perang (Ghanimah), zakat dan baitulmal. Selain itu undang-undang Islam juga merangkumi hal jenayah seperti hudud, takzir dan qisas, juga merangkumi undang-undang tatacara hukuman seperti pendakwaan, pembuktian dan penahanan, begitu juga dalam bidang politik, pemilihan pemimpin, keadilan negara dan hak-hak rakyat dan juga berkaitan dengan hubungan antarabangsa seperti hubungan negara Islam dengan negara luar, peraturan peperangan dan etika peperangan.
 
Setelah apa yang telah kami sebutkan di atas amat jelas kepada kita undang-undang Islam adalah suatu undang-undang yang bersifat ketuhanan, menepati fitrah, tidak membebankan malah menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan manusia daripada perkara berkaitan personal sehingga ke hal ehwal bernegara. Inilah suatu keindahan sebuah agama yang menjadi suatu gaya hidup dan merupakan rahmat kepada sekalian alam dan manusia. 

Ust Abdul Halim Ismail
21 Januari 2018
4 Jamadil Awal 1439H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments