Siri Faham Islam - Siri 11: Islam adalah Kebudayaan dan Undang-undang ; Islam sebagai satu kebudayaan



Islam sebagai satu kebudayaan

Secara umumnya kebudayaan boleh diistilahkan sebagai; gaya hidup, hasil karya cipta dan akal budi, pengolahan dan pengerahan terhadap alam, adat dan istiadat, kesenian yang berkaitan dengan cara hidup sesuatu masyarakat setempat. Perkara-perkara ini dipengaruhi oleh faktor alam dan bersifat lokal kerana geografi, sumber alam, pemikiran dan kepercayaan sesuatu kaum tersebut. 

Antara aspek-aspek kebudayaan termasuklah kehidupan spiritual, kesusasteraan, kesenian, sejarah dan ilmu pengetahuan. Kebudayaan sesuatu masyarakat adalah lahir berdasarkan fitrah manusia itu sendiri, dan ianya mempengaruhi pemikiran masyarakat tersebut. 

Islam hadir di kalangan manusia bukan sahaja hadir sebagai sebuah agama, malah ianya juga bertujuan membetulkan gaya hidup manusia menjadi suatu yang dikatakan 'way of life.' Sudah tentunya sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi kebudayaan setempat sesuatu kaum. Namun begitu, ianya tidaklah bertujuan menghapuskan budaya sedia ada, namun ianya bertujuan membetulkan kehidupan manusia daripada kebudayaan yang tidak menyembah tuhan yang satu kepada pegangan akidah tauhid yang sebenar selaras dengan kehendak fitrah asal manusia.

Berkembang Islam ke seluruh alam bermula dari tanah Arab hingga ke seluruh pelosok dunia. Dalam pada itu, jelas kelihatan Islam tidak menghapuskan kebudayaan manusia di tempat yang berbeza malah menambah baik budaya sedia ada di samping memandu manusia dengan syariat agar budaya yang ada tidak bertentangan dengan akidah tauhid.

Oleh yang demikian, kita dapat lihat variasi budaya yang ada dalam masyarakat Islam seluruh dunia. Sebagai contoh, dalam budaya berpakaian, kita dapat lihat variasi jenis pakaian yang dipakai oleh orang Islam namun ianya tidak lari dari tuntutan syariat iaitu menutup aurat dan bersopan. Islam hanya menggariskan polisi aurat, tapi jenis pakaian tidak ditetapkan. Orang Melayu contohnya lazim dengan baju Melayu ketika hendak solat, namun lain halnya di barat yang memakai kemeja dan berseluar panjang. Begitu juga di negara Arab, dengan kelaziman memakai jubah dan serban manakala di India dengan pakaian kurta. 

Kesemua jenis pakaian adalah berlainan sama sekali, namun tetap dalam kondisi menutup aurat demi mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Sedikit sebanyak Islam hadir membentuk kebudayaan masyarakat setempat tetapi dipacu oleh kehendak fitrah manusia. 

Perayaan Arab jahiliyyah Nairuz dan Mahrojan digantikan baginda nabi Muhammad pada masa dulu dengan Aidilfitri dan Aidiladha juga salah satu bukti Islam memperbaiki kebudayaan yang ada pada satu kaum. Perayaan ini bukan sahaja sekadar perayaan yang disambut sekadar bersuka ria, malah ianya berkaitan dengan akidah mengabdi diri kepada Allah yang menciptakan manusia. Malah perayaan ini bukan sahaja disambut oleh orang Arab, malah Aidilfitri dan Aidiladha ini disambut semua umat Islam di seluruh dunia secara serentak. Maka ini adalah bukti yang Islam mendidik manusia menjadi kaum berbudaya yang mengabdikan kepada Allah serta menikah kesyirikan kepada makhluk disamping juga menghapuskan khurafat yang ada dalam budaya dalam satu-satu masyarakat.

Banyak lagi bukti yang Islam tidak menghapuskan kebudayaan sesuatu tempat dan kaum, seperti kesusasteraan, kesenian dan senibina yang tak dapat kami sebutkan di sini. Dan boleh kita simpulkan disini bahawa, Islam adalah agama yang membentuk kebudayaan dan memacu kehidupan manusia dan ianya dipandu oleh akidah dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah melalui wahyu Rasullullah (selawat dan salam ke atas baginda).

Ust Abdul Halim Ismail
18 Januari 2018
1 Jamadil Awal 1439H
Bukit Katil, Melaka.

Post a Comment

0 Comments